Wednesday, June 5, 2024

Wajah sugul tak bermaya, Prebet Syafiq ditemukan lemah kelaparan dan dehidrasi

 OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang dilaporkan hilang sejak 19 hari lalu ketika bertugas dalam Op Ukur di Limbang, Sarawak ditamatkan pada Jumaat selepas dia ditemukan dalam keadaan selamat pada Sabtu.


Operasi SAR Prebet Muhammad Syafiq Hilmi yang dilaporkan hilang sejak 19 hari lalu ketika bertugas dalam

Op Ukur di Limbang ditamatkan pada Jumaat selepas dia ditemukan dalam keadaan selamat pada Sabtu.


Anggota daripada Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu, Sarawak itu ditemukan kira-kira pukul 11.29 pagi tadi (Sabtu) oleh kumpulan mencari dan menyelamat (SAR) setelah 17 hari operasi dilancarkan.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan berkata berkata, Syafiq berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga dia berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.

“(Prebet) Syafiq ditemukan dalam keadaan selamat serta lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi.

“Anggota tersebut seterusnya diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu lagi, keluarga mangsa telah dihubungi oleh pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi panggilan telefon dan akan diterbangkan ke Sarawak dalam masa terdekat.

Jelasnya, semua perbelanjaan perjalanan akan ditanggung sepenuhnya oleh TDM.

“Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi ini khususnya kepada Kerajaan Sarawak.

“Termasuk juga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), individu serta semua yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga Syafiq berjaya ditemukan selamat,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, TDM juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) atas bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang operasi SAR ini dijalankan.

“Kerjasama erat antara TDM dan ABDB dalam operasi ini telah membuktikan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan operasi ini sehingga beliau berjaya ditemukan dengan selamat.

Tegasnya, satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sebagai penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“Dengan penemuan Syafiq dalam keadaan selamat, maka operasi SAR ini ditamatkan,” katanya.

Susulan daripada insiden itu, turut tular beberapa gambar dan video memaparkan keadaan Syafiq ketika ditemukan di lokasi kejadian.

Dalam video yang dikongsikan, Syafiq kelihatan sugul dan tidak bermaya. Beberapa anggota tentera yang lain turut berada disampingnya untuk memberikan makanan dan air.

Sebelum ini media melaporkan seorang anggota daripada Batalion Ke-7 RS yang berpangkalan di Kem Kidurong hilang ketika sedang bertugas dalam Op Ukur pada 18 Jun lalu.

Empat parah, Bezza dipercayai dilanggar 4x4 sebelum rempuh tiang di HTA

 SERAMAI empat mangsa dilaporkan cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di kawasan Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur pada Khamis.

Tangkap layar CCTV memaparkan kereta Bezza dan Ford yang terlibat dalam kemalangan di HTA, Kuala Lumpur pada Khamis.


Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial sejak Jumaat, kemalangan dipercayai melibatkan dua kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Bezza dan Ford Ranger.

Berdasarkan informasi yang dikongsikan orang awam, berlaku pelanggaran antara kedua-dua kenderaan itu berhampiran lintasan pejalan kaki.

Difahamkan, tiga mangsa yang menaiki Bezza dengan bonet belakangnya yang tercabut itu dilanggar terlebih dahulu oleh pemandu Ford sebelum merempuh tiang di lokasi kejadian.

Kesemua mangsa termasuk pemandu Ford tersebut dikatakan cedera parah dan dibawa ke unit kecemasan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Malah, menurut saksi yang bekerja di jabatan keselamatan HTA, pemandu lelaki kereta Ford dipercayai seorang pengamal media yang memandu secara laju sehingga melanggar belakang kenderaan Bezza.

Setakat ini, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kemalangan tersebut. 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...