Tuesday, July 16, 2024

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor


SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelum mayatnya ditemui semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata ini berdasarkan keadaan mayat ketika ditemui dalam sebuah paya di ladang kelapa sawit berhampiran Gedangsa, Hulu Selangor.

"Ketika mayat mangsa ditemukan, keadaannya sudah hampir reput kerana telah meninggal dunia beberapa hari.

"Buat masa ini, kita belum dapat memastikan jenis kecederaan yang dialami. Perlu tunggu proses bedah siasat yang dijalankan petang ini selesai," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Media semalam melaporkan graduan UPSI yang dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemui mati di kawasan tidak jauh dari FELDA Gedangsa, Hulu Selangor.

Susulan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Ia kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal polis mendapati tempat penemuan mayat adalah lokasi utama kejadian pembunuhan.

Mengulas lanjut, Hussein berkata masih terlalu awal pihaknya untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung motif kejadian selain tiada sebarang rampasan senjata di lokasi penemuan mayat termasuk dakwaan perselisihan faham antara mangsa dan suspek.


 

Polis tahan 2 lelaki, rampas dua pistol di Kedah


ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki dan merampas dua pucuk pistol serta pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM148,000 dalam dua tangkapan di Taman Lam Foong, di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata dalam tangkapan pertama, sepasukan anggota daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menahan seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun ketika sedang melakukan rondaan cegah jenayah.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek menjumpai dua pucuk pistol bersama 48 butir peluru. Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, suspek turut positif dadah jenis methamphetamine.

"Hasil tangkapan pertama telah membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan berumur 65 tahun pada hari yang sama.

"Polis turut menjumpai 62 paket plastik dadah disyaki ketamin seberat lebih 1.3 kilogram, 40 pembalut aluminium berisi pil Erimin 5 seberat 113 gram dan 76 peket plastik berisi ekstasi seberat 989 gram," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Fisol berkata polis turut menyita sebuah kereta jenis Audi A4 dan sebuah televisyen yang dipercayai diperoleh daripada aktiviti pengedaran dadah.

Katanya, suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah.

"Kedua-duanya ditahan reman selama tujuh hari hingga 21 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti) 1971, Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita percaya mereka ada kumpulan sendiri dan dadah jenis ketamin ini digunakan di pusat-pusat hiburan. Polis masih menjalankan siasatan, mungkin juga ada permintaan (dadah) oleh individu perseorangan," katanya.

Dalam pada itu, Fisol berkata pada Khamis lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar melancarkan Op Letrik bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan membuat serbuan terhadap 14 premis yang menjalankan aktiviti mencuri elektrik untuk menjalankan kegiatan melombong bitcoin di sekitar daerah Kota Setar.

"Hasil serbuanberjaya menahan tiga lelaki dan merampas 564 mesin bitcoin. Kita percaya mereka telah lama melakukan aktiviti melombong ini dan polis sebelum ini ada menerima aduan berhubung gangguan tenaga elektrik.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.

- BERNAMA



 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...