Monday, July 1, 2024

'Anak itu penyeri rumah tangga', Achey kecewa pasangan 'childfree' cuba racuni pemikiran individu lain

 PELAWAK Achey menempelak fahaman individu yang lebih memilih untuk tidak memiliki anak kerana beranggapan perkara itu hanya satu bebanan.

Achey tidak bersetuju wujud golongan yang berkahwin tetapi mengamalkan konsep childfree.


Juara Bintang Mencari Bintang musim pertama itu bercakap sedemikian selepas tular rakaman pasangan suami isteri yang mengamalkan konsep childfree.

"Tahu tak anak ini membebankan bagi saya. Sebab saya career woman dan suami pun bekerja dan masing-masing tiada masa dengan anak. Bila ada anak kena fikir pampers, susu, pendidikan dia," kata seorang wanita menerusi rakaman video tular bersama pasangannya.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah beranggapan bahawa rakaman itu sangat mengecewakan kerana seakan-akan cuba meracuni pemikiran pasangan lain.

"Aku kalau bab anak memang tidak bolehlah. Aku tak suka kenyataan kau racun pemikiran orang lain.

"Mak, nenek, dan moyang awak pun agak menyesal bila awak keluarkan kenyataan ini," katanya.

Bagi Achey, anak itu merupakan satu penyeri dalam rumah tangga yang mampu menjadikan kehidupan lebih bahagia.

"Pewaris dan penyeri dalam hidup itu. Kerjaya awak tak boleh masuk kubur. Doa anak yang boleh tembus. Yang suami (wanita terbabit) pun aku kalau depan-depan aku sepak sahaja ini,” katanya.

Tentangan yang diberikan oleh Achey turut disokong beberapa artis tempatan lain.

Antaranya, seorang pelakon, Siti Elizad Mohd Sharifuddin turut menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Achey.

"Dan bila manusia tak percayakan rezeki yang tertulis. Dia tidak tahu betapa para Trying To Conceive (TTC) ini susah untuk mendapatkan meskipun hanya seorang zuriat.

"Siap sudah sediakan bilik dan katil double decker okay! Berangan mahukan anak ramai punya pasal," katanya.

Personaliti fesyen dan pelakon, Wak Doyok turut bengang dengan fahaman individu yang lebih memilih untuk tidak memiliki anak.

"Dah tua pun bod*h," katanya.

Pelakon lain, Zulin Aziz turut beranggapan individu yang mengamalkan konsep childfree tidak percaya bahawa rezeki datangnya daripada Tuhan.

"Orang macam ini dia tak sedar ke diri yang rezeki milik ALLAH. Setiap yang lahir itu ada rezeki dia," katanya. 

Tak lepas memotong, penunggang superbike putus badan kena gilis treler di Pulau Pinang

 GAGAL memotong lori punca seorang penunggang lelaki maut digilis treler dalam kemalangan di Kilometer 161.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) dekat Bandar Casia, Pulau Pinang pada Isnin.

Seorang penunggang lelaki dilaporkan maut akibat digilis treler di Kilometer 161.4 Lebuh raya Utara Selatan, Bandar Casia, Pulau Pinang pada Isnin.


Insiden yang berlaku kira- kira pukul 6.45 petang itu, mangsa, Amirruddin Ghazali, 38, berasal dari Kampung Lubuk Kawah, Jitra, Kedah dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurut Malaysia Gazettelaporan kemalangan diterima pukul 7 malam dan hasil siasatan mendapati, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha YZF-R25 dipercayai cuba memotong sebuah lori namun bergesel dengan sebuah treler lain di laluan sama.

Mangsa yang gagal memotong dilaporkan terbabas, lalu digilis treler berkenaan.

Rakaman kejadian dikongsikan di laman sosial dan hangat diperkatakan warganet sejak Isnin.

"Mangsa maut di lokasi kejadian manakala pemandu treler berusia 53 tahun tidak mengalami kecederaan," kata sumber polis.

Siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus, kering serta keadaan cuaca juga baik.

"Kawasan kemalangan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), justeru pihak polis meminta saksi awam yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil memberi maklumat berhubung kemalangan tersebut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.

Pembunuh Baby Zara kekal ke tali gantung, rayuan akhir ditolak


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut kerana membunuh anak asuhan isterinya berusia 11 bulan dikenali sebagai 'Baby Zara', enam tahun lalu.

Mangsa Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal turut mengalami kecederaan seksual dan laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan vagina bayi berkenaan sangat serius sehingga doktor terpaksa menjahit luka dengan dua jahitan bagi menghentikan pendarahan.

Ketika kejadian, Baby Zara berusia 11 bulan dengan berat badan hanya 8.26 kilogram dan belum tumbuh gigi turut mengalami kecederaan pada dubur dan pendarahan serius pada keseluruhan otaknya.

Panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan akhir Hazmi Majid, 42, terhadap sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Ogos 2021 dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Mac 2023.

Hakim Datuk Rhodzariah Bujang yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berpuas hati hukuman yang sesuai dijatuhkan adalah hukuman mati kerana jenayah yang dilakukannya sangat kejam.

Mengikut pertuduhan, Hazmi yang juga suami kepada pengasuh mangsa disabitkan membunuh Nur Muazara Ulfa di sebuah unit pangsapuri di Bandar Baru Bangi, antara jam 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.

Terdahulu, peguam T Vijayandran yang mewakili perayu berhujah, anak guamnya tidak sedar perbuatan itu kerana di bawah pengaruh dadah selain memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara 30 hingga 35 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi berhujah, rayuan Hazmi wajar ditolak dan dakwaan mengatakan bawah pengaruh dadah tidak boleh diterima berdasarkan tindakannya cuba melupuskan bahan bukti dengan membasuh tuala bagi menghilangkan darah menunjukkan dia sedar ketika kejadian berlaku.

Kes yang paling jarang antara yang jarang berlaku

Tetralina berhujah, kes berkenaan menepati kehendak 'kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku' yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.

"Mangsa dihantar ibunya ke rumah pengasuh pada hari kejadian jam 6.45 pagi dan didapati dalam keadaan nazak pada 1.30 tengah hari dengan kecederaan serius di kepala," katanya.

Pendakwaan berhujah, keterangan mengatakan perayu tidak pernah membantu isterinya namun pada hari itu dia menawarkan diri memandikan Baby Zara.

Pada 29 November 2018, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dengan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kajang kerana memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 13 November 2018.


 

Pecah rumah pemain Selangor FC: Kes selesai, 2 ditahan tiada kaitan serangan pemain lain


SHAH ALAM: Kejadian pecah rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, pada 23 Mei lalu selesai apabila dua lelaki ditahan di Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, Marang, Terengganu pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, berkata dengan penahanan dua suspek berusia 28 dan 33 tahun itu juga mengesahkan kes berkenaan tidak ada kaitan dengan insiden yang membabitkan beberapa pemain bola sepak, baru-baru ini.

Katanya, tangkapan terhadap dua suspek berkenaan dilakukan sepasukan polis dari Unit Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor; IPK Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

"Suspek ditangkap selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dijejak pasukan polis.

"Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam sembilan kes pecah rumah, melarikan kenderaan dan samun di sekitar Selangor (dua kes); Terengganu (tiga kes); Pahang (dua kes) dan Melaka (dua kes)," katanya di IPK Selangor, hari ini.

Polis turut merampas beberapa barang antaranya sebuah kereta Honda City; motosikal Yamaha Y15ZR; beg pelbagai jenis dan jenama; telefon bimbit serta komputer riba yang mana keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM55,000.

Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mereka dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

"Polis kini dalam tindakan untuk melengkapkan siasatan dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Media pada 23 Mei lalu melaporkan kediaman pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor.

Menurut laporan polis yang beliau kongsikan di Instagram, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya.

Beberapa insiden membabitkan pemain bola sepak turut berlaku sebelum itu antaranya pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang cedera akibat disimbah asid pada 5 Mei di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara.

Pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid pula mengalami kecederaan di kepala dan kaki dalam kejadian samun pada 2 Mei di Kuala Terengganu.

Pada 7 Mei pula, cermin belakang kereta dipandu pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang juga bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim dipecahkan berhampiran pusat latihan JDT di Sri Gelam, Johor Bahru.

 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...