Sunday, June 30, 2024

Budak 5 tahun maut dilanggar ketika berbasikal


SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan yang sedang bermain basikal maut selepas dilanggar kenderaan di sebuah taman perumahan di Bandar Sri Sendayan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia lima tahun dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), untuk rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 34 tahun menuju ke pos pengawal taman perumahan terbabit.

Katanya, pada masa sama basikal dinaiki mangsa datang dari arah bertentangan di belakang sebuah pikap.

"Basikal berkenaan kemudian dipercayai masuk ke laluan Perodua Ativa menyebabkan pemandunya tidak sempat mengelak lalu terus merempuh mangsa.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di anggota badan dan dibawa ke HTJ untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada jam 8.05 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-2895801.

"Ibu bapa atau orang dewasa dinasihatkan untuk mengawasi pergerakan kanak-kanak yang membuat aktiviti di luar rumah terutama yang menggunakan jalan raya supaya perkara tidak diingini dapat dielakkan," katanya.


 

Penunggang motosikal maut, 1 cedera dirempuh pemandu disyaki mabuk


HULU SELANGOR: Penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Batang Kali, 6.58 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 54 tahun yang memandu Perodua Bezza dari Rawang ke Ulu Yam Bharu cuba memotong kenderaan di hadapannya.

"Bagaimanapun, pemandu melanggar dua motosikal dari arah bertentangan.

"Kemalangan mengakibatkan penunggang Yamaha Lagenda 115Z berusia 57 tahun maut di lokasi, manakala penunggang Honda RS berusia 53 dibawa ke Zon Merah Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, lelaki itu mengaku meminum sebotol bir, namun polis masih menunggu laporan toksikologi bagi mengesahkan tahap alkohol dalam darah suspek.

Katanya, suspek direman selama tiga hari sehingga 3 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



 

Budak 5 tahun maut dilanggar kereta ketika berbasikal di kawasan perumahan Seremban

 SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut ketika menerima rawatan di hospital selepas mengalami kecederaan apabila dirempuh sebuah kereta ketika menunggang basikal di sebuah kawasan perumahan dekat Seremban, Negeri Sembilan.


Basikal yang dinaiki mangsa ketika kejadian — PDRM

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa itu meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar sejam selepas kemalangan yang berlaku sekitar pukul 7 malam Ahad.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa menunggang basikalnya dan mengekori kenderaan pacuan empat roda manakala kereta yang terlibat dalam kemalangan itu datang dari arah bertentangan dan menuju ke pos pengawal.

“Budak perempuan itu tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan pemandu kenderaan itu yang berusia 34 tahun tidak sempat berhenti dan merempuhnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mohamad Hatta berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di badan segera dikejarkan ke hospital namun, meninggal dunia tidak lama kemudian.

Beliau menggesa saksi untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-2895801 atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kami juga ingin mengingatkan ibu bapa dan individu dewasa lain untuk mengawasi pergerakan anak-anak atau ahli keluarga yang masih kecil ketika berada di luar rumah.

“Ini penting bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” tambahnya.

Pemain badminton China rebah, meninggal dunia ketika tunggu servis lawan

 PEMAIN badminton China, Zhang Zhi Jie meninggal dunia selepas rebah semasa perlawanan Kejohanan Remaja Asia 2024 yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia pada Ahad malam.

Pemain badminton Zhang rebah dan meninggal dunia ketika perlawanan menentang Jepun pada Ahad.


Kejadian berlaku ketika pemain muda itu beraksi menentang Jepun dalam saingan peringkat kumpulan pada pukul 11.20 malam.

Sebelum kejadian Zhi Jie dilihat menunggu pukulan servis daripada pemain lawan, sebelum tiba-tiba rebah di gelanggang.

Berita sedih itu dikongsi menerusi kenyataan bersama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI).

"Pemain perseorangan China, Zhi Jie rebah di atas gelanggang ketika beraksi. Doktor kejohanan dan pasukan perubatan kemudian bergegas memberi bantuan awal.

"Dia kemudian dikejarkan ke hospital menerusi ambulans, namun meninggal dunia pada pukul 11.20 malam waktu tempatan semalam (Ahad)," kata kenyataan tersebut.

Badminton Asia, PBSI dan Jawatankuasa Penganjur merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Zhi Jie dan Persatuan Badminton China (CBA).

"Dunia badminton kehilangan pemain berbakat,” katanya.

Acara berpasukan kejohanan itu bermula pada 28 Jun dan akan diteruskan sehingga 2 Julai.

Selepas acara berpasukan, pertandingan akan diteruskan dengan kategori individu.


Dua anggota polis cedera pemandu Honda City rempuh kereta peronda di Shah Alam

 DUA anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengalami kecederaan selepas kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta Honda City di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kayangan – Persiaran Bestari, Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu.

Tangkap layar memaparkan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Honda City dengan kereta peronda polis di Shah Alam pada Sabtu.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kemalangan pada pukul 8.10 malam itu berlaku ketika pemandu MPV polis iaitu Proton Waja menerima panggilan kecemasan berhubung satu kes pergaduhan di Pusat Komersial Seksyen 7.

Menurutnya, MPV polis yang melintasi persimpangan lampu isyarat itu dalam keadaan memasang siren dan beacon light sebelum bahagian sisi kiri dilanggar Honda City yang bergerak lurus semasa lampu isyarat hijau.

“Kemalangan tersebut menyebabkan kerosakan di bahagian fender dan pintu sisi kiri, dengan cermin hadapan dan sisi kiri penumpang juga pecah, manakala Honda City mengalami kerosakan bumper, bonet hadapan serta radiator dan komponen enjin,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


Dua anggota polis cedera selepas kenderaan MPV dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta Honda City pada Sabtu.

Jelas Mohd Iqbal, siasatan mendapati pemandu dan penumpang MPV polis mengalami luka-luka di tangan dan muka serta bengkak di dahi dan kepala.

“Kedua-dua anggota polis yang berumur 33 tahun itu dikejarkan ke Hospital Shah Alam dengan ambulans.

Sebelum ini tular satu satu video memaparkan detik kemalangan membabitkan Honda City dengan kereta peronda polis.

Kejadian tersebut dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain, sebelum dikongsikan di laman Facebook pada Isnin.

Sedih lihat rupa terkini Faisal Halim selepas disimbah asid



Rata-rata peminat bola sepak Malaysia sedih melihat rupa terkini Faisal Halim dalam sidang media pertamanya selepas insiden disimbah asid lebih sebulan lalu.

Kelihatan kulit disebelah kiri wajahnya terkesan, begitu juga dengan bahagian tangannya.

“Saya beritahu isteri saya, keluarga saya termasuk abang saya, saya tidak kisah hilang gaji RM50,000 dan nak balik kampung. Saya hanya mahu hidup tenang, saya boleh ambil gaji RM50 sehari janji keluarga saya selamat saya tak nak hidup dalam ketakutan.

“Apa yang berlaku ini di luar jangkaan, saya tak boleh terima keluarga saya dalam ketakutan.

“Bukan perkara mudah kasih sayang seorang ayah, bila balik saya masuk tak dapat peluk sayang anak saya. Sehinggalah baru-baru ini dalam empat lima hari ke belakang ini dapat peluk anak saya lagi.

“Saya belum dapat tidur dengan dia lagi. Anak saya semangat, kekuatan saya. Apa jadi saya terima dengan reda dan hati yang terbuka.

“Saya harap saya dapat kembali memberikan hadiah untuk anak saya.

“Saya tidak tahu sama ada mampu untuk kembali bermain bola sepak.

“Saya cuma mengharapkan semua pihak mendoakan untuk kembali pulih seperti sebelum ini dan kembali bermain semula.”

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...