Thursday, June 20, 2024

Suami bunuh isteri di hotel Batu Gajah kerana tuntut cerai direman 7 hari

 SEORANG lelaki yang bertindak membunuh isterinya di sebuah hotel di Batu Gajah, Perak pada Khamis direman selama tujuh hari bermula Jumaat sehingga 27 Jun.


Lokasi mangsa dibunuh oleh suaminya di Batu Gajah, Perak pada Khamis. — Facebook


Memetik laporan Berita Harian, permohonan reman dibenarkan Majistret, Azlin Zeti Zainal Abidin, selepas suspek berusia 36 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah pukul 8.33 pagi Jumaat.


Penganggur itu direman bagi membantu polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, suspek dilaporkan datang ke kaunter aduan Balai Polis Batu Gajah kira-kira pukul 2 petang untuk menyerah diri dengan memaklumkan dia sudah membunuh isterinya dalam bilik di hotel itu.


Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, suspek membunuh isterinya menggunakan pisau dan punca pembunuhan dipercayai akibat keretakan rumah tangga yang menghampiri perceraian.


Noor Aehawan berkata, motif suspek membunuh wanita berumur 32 tahun berkenaan, dipercayai kerana tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh. 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...