Friday, June 28, 2024

Pemandu bas terbabit nahas di Genting Sempah tiada lesen memandu, ada 27 rekod saman — Polis

 PEMANDU bas persiaran yang terbalik dalam kemalangan maut di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands dekat Bentong, Pahang pada Sabtu tidak mempunyai lesen memandu.


Sebuah bas persiaran membawa pelancong China dilaporkan terbabas di laluan Genting Sempah-Genting Highlands, Bentong, Pahang pada Sabtu.


Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu berusia 32 tahun itu juga didapati mempunyai 27 saman lampau yang melibatkan pelbagai jenis kesalahan.

Menurutnya, kesalahan itu dikesan selepas polis melakukan semakan terhadapnya.

"Kita sedang menjalankan siasatan serta akan mengambil tindakan susulan selepas pemandu bas selesai mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Zaiham berkata, dalam nahas kira-kira pukul 11 pagi itu, pemandu bas berusia 32 tahun berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan.

Tambahnya, kemalangan yang dipercayai berlaku ketika bas membawa 21 penumpang termasuk pemandu itu dalam perjalanan turun dari Genting Highlands menuju ke Kuala Lumpur.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, bas terbabit terbabas melanggar tembok tengah pembahagi jalan sebelum terbalik.

"Akibat kejadian, dua penumpang warga China, Wang Shuhong, 49, dan Zhang Ping, 58 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Zaiham memaklumkan, pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong warga tempatan serta 16 penumpang Warga China berjaya dibawa keluar dari bas sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Ujarnya, seramai 13 mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala enam lagi dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut.

"Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan," jelas beliau. 

Bas persiaran pelancong terbalik di Genting Sempah, 2 penumpang maut

 SEBUAH bas persiaran dilaporkan terbalik di Kilometer 16.5 laluan Genting Sempah-Genting Highlands, Bentong, Pahang kira-kira pukul 11 pagi Sabtu.


Sebuah bas persiaran membawa pelancong China dilaporkan terbabas di laluan Genting Sempah-Genting Highlands, Bentong, Pahang pada Sabtu. - Ihsan bomba


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani menerusi laporan Sinar Harian berkata, mangsa yang maut merupakan dua penumpang lelaki dipercayai warga China.

Menurutnya, pemandu bas, dua pemandu pelancong warga tempatan dan 16 penumpang warga China yang lain dilaporkan cedera dan berjaya dibawa keluar.

"Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pukul 10.43 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting dan Unit Bomba Genting ke lokasi untuk operasi menyelamat," katanya.

Rakaman kejadian tular di laman sosial dan meraih perkongsian ramai warganet.

Tambahnya, anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat.

"Mangsa yang cedera diserahkan ke hospital menaiki ambulans untuk rawatan, manakala mangsa yang maut dihantar kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. 

Pembantu ladang bunuh adik dihukum gantung


SEREMBAN: Pembantu ladang dijatuhi hukuman gantung di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh adik lelaki kandungnya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap K Paramasivam, 49, selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan suatu kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari di sebuah ladang kelapa sawit dekat Rantau, di sini, pada Jun 2020.

Terdahulu, Peguam Raftfizi Zainal Abidin yang mewakili tertuduh merayu hukuman penjara 30 ke 40 tahun kerana mangsa dalam kes berkenaan adalah adiknya sendiri dan tertuduh tiada niat untuk membunuhnya.

Beliau berkata, ketika kejadian tertuduh mengaku dalam keadaan mabuk dan kejadian berlaku dengan pantas, selain memohon mahkamah mengambil kira tertuduh tiada rekod jenayah.

Raftfizi turut berhujah tempoh penjara maksimum selama 40 tahun memberi pengajaran kepada tertuduh dan jika dibebaskan kelak, tertuduh sudah berusia lebih 80 tahun.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Alauddin Baharom, mencadangkan hukuman gantung dikenakan terhadap tertuduh kerana berdasarkan fakta kejadian, tertuduh memanggil adiknya ke ladang kelapa sawit dengan menggunakan alasan petrol.

Tambahnya, tertuduh memang berniat dan merancang membunuh adiknya, selain mengambil kira 13 kecederaan pada keseluruhan badan yang dianggap kejam.

Malah katanya, mayat si mati dibiarkan sehingga berulat di ladang kelapa sawit berkenaan sebelum dijumpai orang awam.


 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...