Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR: Tiada istilah pinjaman penuh kenderaan sejak dahulu lagi dan pelanggan perlu membayar minimum 10 peratus sebelum mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan, demikian menurut penganalisis.
Penganalisis automotif, Shamsul Yunos, berkata Bank Negara Malaysia (BNM) juga tidak memiliki istilah pembiayaan penuh atau 'full loan' secara rasmi untuk urusan pembelian kereta, sebaliknya penggunaan 'full loan' adalah amalan tertentu yang digunakan pengedar untuk menarik pelanggan.
"Dahulu, sesetengah pengedar menambahkan kos tersembunyi harga kereta untuk menampung bayaran deposit pelanggan dengan memasukkan beberapa item dalam permohonan pinjaman yang dikemukakan kepada bank. Amalan ini lebih sukar dilakukan dengan sistem e-invois yang lebih telus," katanya.
Sebelum ini, tular dakwaan mengatakan kerajaan akan menggunakan sistem e-invois dalam sistem jualan kenderaan bermula Ogos ini sekali gus menghapuskan amalan pinjaman penuh pembelian kereta.
Susulan itu, pembeli perlu membayar sekurang-kurangnya 10 peratus wang pendahuluan.
Difahamkan, amalan pinjaman penuh digunakan sesetengah pengedar dengan meletakkan jumlah termasuk pakej lain atau aksesori tambahan dalam invois supaya jumlah pinjaman sepadan dengan harga kereta sebelum permohonan pinjaman dikemukakan kepada bank.
Sebagai contoh, harga atas jalan termasuk insurans kereta A adalah RM50,000 di mana mengikut peraturan sebenar, jumlah pinjaman yang diluluskan bank adalah RM45,000 (90 peratus), manakala baki RM5,000 adalah deposit 10 peratus yang perlu dibayar pembeli.
Disebabkan pembeli tiada kemampuan membuat pembayaran deposit 10 peratus berkenaan, mereka tiada pilihan untuk bersetuju mendapatkan 'pinjaman penuh' dengan pengedar menambah beberapa aksesori dan pakej untuk melengkapkan harga atas jalan kereta A iaitu RM50,000 atau dalam situasi lain permohonan pinjaman lebih tinggi dari harga kereta di mana pengedar boleh menawarkan 'pulangan tunai' pula kepada pelanggan.
Seorang lagi penganalisis automotif, Hezeri Samsuri berkata, sememangnya menurut undang-undang pinjaman sewa beli kenderaan, had maksimum yang dibenarkan sejak dahulu lagi ialah sehingga 90 peratus, bukannya 100 peratus.
"Apa yang berlaku ialah kurang pengawalan daripada BNM dan pelbagai pihak menyalahguna cara invois dibuat dengan menjadikan harga kenderaan termasuk dengan aksesori atau pakej tambahan, sekali gus meningkatkan harga 'jualan' di atas kertas.
"Kenderaan yang diterima tidak datang pun dengan pakej atau varian yang dihantar semasa permohonan pinjaman," katanya.
Hezeri berkata, sekiranya pelaksanaan e-invois membebankan pembeli muda ketika didakwa tiada lagi 'full loan', maka mereka boleh mencari kenderaan yang lebih mampu dimiliki.
"Disiplin kewangan adalah sesuatu yang perlu dilakukan oleh kerajaan dan pinjaman sewa beli sehingga 90 peratus ini sebenarnya sangat tinggi dalam industri automotif global," katanya
Bagi Shamsul pula, bagi membantu golongan pembeli muda yang bergaji kecil memiliki kereta, beberapa cadangan boleh diberikan termasuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menabung deposit sebelum membeli kereta; dan menawarkan skim pembiayaan kereta dengan bayaran pendahuluan yang lebih rendah dan tempoh bayaran yang lebih panjang.
"Mungkin perlu mewujudkan program bantuan kewangan untuk pembeli kereta muda atau mereka boleh mempelajari kemungkinan penggunaan teknologi kewangan untuk menyediakan akses pembiayaan yang lebih baik kepada pembeli muda.
"Sebenarnya, membeli kereta adalah keputusan kewangan yang besar. Pembeli muda harus menimbang dengan teliti kemampuan kewangan mereka sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta," katanya.