Saturday, July 6, 2024

Saksi mengucap panjang lihat motor tiba-tiba rempuh belakang lori di Kota Damansara

SEORANG penunggang motosikal dipercayai cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke Sungai Buloh, Selangor pada Jumaat.


Tangkap layar seorang penunggang motosikal dipercayai cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori di Lebuhraya PLUS pada Jumaat.

Insiden malang itu turut berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam di lokasi kejadian.

Berdasarkan maklumat yang tertera dalam rakaman itu, kejadian tersebut berlaku pada pukul 3 petang.

Klip kemalangan berkenaan turut di muat naik di laman X, pada hari yang sama.

"Kemalangan motor dengan lori. Lokasi di Tanjakan maut Kota Damansara," tulis pentadbir laman X @update11111.

Melalui video berdurasi kurang seminit, penunggang motosikal berkenaan berada di laluan kiri jalan.

Namun secara tiba-tiba, mangsa dilihat seperti hilang kawalan dan merempuh belakang lori berkenaan.

Impak daripada rempuhan tersebut menyebabkan mangsa terpelanting ke tepi jalan.

Turut kedengaran suara seorang wanita, dipercayai penumpang pemilik kenderaan tersebut menjerit terkejut.

"Lailahaillallah (mengucap). Macam mana dia (mangsa) boleh langgar?" jeritnya.

Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan keadaan mangsa dan belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. 

'Budak itu bukan anak saya,' ipar maut 'in real life' wujud di Pulau Pinang

 JIKA berbicara tentang filem Ipar Adalah Maut, pasti ramai sudah 'panas punggung' melihat adegan kemesraan yang ditonjolkan antara seorang suami dengan adik iparnya sendiri.


Hasil keputusan ujian DNA Putri mengesahkan anak perempuan itu bukan anak kandung Putra.

Karya seberang yang diinspirasikan daripada kisah benar itu nyata berjaya meruntun banyak jiwa yang menonton.

Jika filem arahan Hanung Bramantyo itu memfokuskan pada isu isteri tersakiti, lain pula kisah yang menimpa sebuah keluarga di Perak apabila si suami pula yang menjadi mangsa kecurangan.

Hati bapa mana yang tidak luluh apabila mendapat tahu anak perempuan yang dimanjakan selama ini ternyata bukanlah puteri kandungnya.

Sebaliknya, budak perempuan berusia tiga tahun, mesra disapa Putri itu adalah anak kepada bekas adik iparnya sendiri.

Satu kebenaran pahit untuk ditelan lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Putra, 38, selepas hubungan sulit isterinya, Shaz (bukan nama sebenar) dengan biras, Khal (bukan nama sebenar), 36, terbongkar pada tahun lalu.

Bukanlah hendak mengeruhkan keadaan atau mahu mencanang perihal rumah tangganya ke seantero dunia, Putra bagaimanapun sudah tidak mampu berdiam diri apabila berterusan difitnah oleh bekas isteri yang mendakwa dirinya enggan bertanggungjawab ke atas puteri bongsu mereka.

Kepada kaum keluarga yang lain, wanita berusia 35 tahun itu bermati-matian mengaku bahawa Putri adalah anak kandung mereka berdua.

Berkongsi kepada Majoriti, Putra memberitahu, selepas mendapatkan pandangan daripada peguam, dia tidak menunggu lama untuk melakukan ujian paterniti asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas Putri, di sebuah klinik swasta dekat Ampang, Selangor pada 26 Disember 2023 bagi mendapatkan kepastian mengenai status kanak-kanak berkenaan.


Tangkap layar perbualan bekas isteri bersama bekas adik iparnya.


Lemah longlai kaki ahli perniagaan itu selepas hasil ujian DNA yang keluar pada 4 Januari tahun ini mengesahkan budak perempuan tersebut bukan anak kandungnya.

"Saya amat terkejut dan terus hubungi ahli keluarga bagi memaklumkan tentang perkara berkenaan.

"Sehari selepas itu, kami sekeluarga pergi ke rumah bekas mentua di Pulau Pinang untuk mendapatkan penjelasan daripada bekas isteri sambil membawa laporan DNA.

"Namun Shaz dan keluarganya malah menganggap saya menipu dan berulang kali menegaskan bahawa Putri anak kandung kami," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas Putra, reaksi bekas keluarga mentua yang masih membela bekas isteri meskipun sudah menunjukkan bukti ujian DNA, menyebabkan dirinya tekad mahu menghebahkan hal tersebut kepada pihak media pada awal tahun ini.

Bagaimanapun pada keesokan harinya, bekas bapa mentua menghubunginya dan menyatakan hasrat ingin berjumpa dan berbincang mengenai perkara itu di rumah Putra yang terletak di Perak.


Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...