Sunday, July 14, 2024

Peniaga bunuh pelancong warga Perancis terlepas hukuman mati


JOHOR BAHRU: Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini, hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadap peniaga yang membunuh pelancong warga Perancis pada Mei 2011.

Mahkamah kemudian menggantikan hukuman itu dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan bermula dari tarikh tertuduh, Asni Omar, 49, ditahan pada 21 Julai 2011.

Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Sebelum ini, Asni didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Stephanie Foray yang ketika itu berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Tekek, Pulau Tioman, antara jam 8 malam, 10 Mei 2011 hingga waktu tengah hari, 12 Mei 2011.

Difahamkan, mayat Stephanie yang ditanam dalam sebuah gua di Pulau Tioman kemudian dijumpai kira-kira tiga bulan kemudian.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam, Kee Wie Lon dan Ee Gen You.

Pada 16 Ogos 2016, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman mati ke atas Asni selepas rayuan akhirnya ditolak panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria.

Arifin bersama empat lagi hakim yang bersidang dalam panel terbabit iaitu Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali; Tan Sri Abu Samah Nordin; Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan berkenaan.


 

Polis tahan penjawat awam lelaki disyaki terbabit kes bunuh Nur Farah Kartini

 POLIS menahan seorang penjawat awam susulan penemuan mayat seorang wanita Miri, Sarawak yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu.


Seorang suspek lelaki ditahan polis susulan kes kematian Nur Farah Kartini.


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek lelaki berusia 26 tahun itu ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada pukul 9 pagi Selasa di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Selangor untuk membantu siasatan.

Katanya, polis menemui mayat perempuan warga tempatan di sebuah ladang kelapa sawit, di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, Selangor.

"Pemeriksaan awal mendapati, mayat terbabit dipercayai adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait repot (OH) bersangkut Tanjung Malim pada 11 Julai lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, wanita tersebut dilaporkan ditemukan mati di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, Selangor pada Isnin.

Mangsa, Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu lalu.

Mangsa juga difahamkan, bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta. 

Tukang cuci maut motosikal terperosok bawah kereta di Johor Bahru

 SEORANG penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 11 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor pada awal pagi Isnin.


Mangsa warga Sri Lanka itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang maut dalam nahas kira-kira pukul 12.40 pagi itu merupakan warga Sri Lanka yang bekerja sebagai tukang cuci kereta.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah pusat bandar di lorong tengah melanggar sebuah motosikal lain yang berada di hadapannya.

"Akibatnya mangsa jatuh ke lorong kanan. Pada masa sama, datang sebuah kereta melanggar mangsa dan kereta tersebut turut dilanggar sebuah kereta lain di belakangnya.

"Mangsa yang berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Seorang lagi penunggang motosikal mengalami luka di tangan. Dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Raub memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi awam yang melihat kejadian tersebut diminta tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Hafiza Othman di talian 014-8068350," katanya.

Video kemalangan tersebut turut dikongsikan menerusi laman Facebook pada Isnin, sebelum ia menjadi tular. 

Abang tak putus harapan, keluarga di Sarawak terkedu terima khabar duka kematian Nur Farah Kartini

 ABANG kepada wanita berasal dari Miri, Sarawakyang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu meluahkan harapan agar adiknya ditemui beberapa jam sebelum menerima berita kematian mangsa pada Isnin.


Wanita Miri yang dilaporkan hilang ditemukan maut di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, Selangor pada Isnin. — Polis


Menerusi hantaran di Facebook, Mohd Farizza Azmi masih mengharapkan adiknya ditemui dalam keadaan selamat.

"Aku harap adik aku kembali dalam keadaan selamat. Jangan berhenti posting berkenaan adik aku. Dan jangan pernah berhenti mendoakan adik aku," tulisnya pada Isnin.

Hantarannya itu turut menerima ucapan takziah daripada orang awam yang bersimpati terhadap kejadian tragis yang menimpa adiknya itu.

Sementara itu, pihak keluarga yang dihubungi Majoriti memaklumkan masih belum menerima laporan polis berhubung perkhabaran duka tersebut.

Malah, mereka juga memberitahu yang pihak keluarga belum dimaklumkan andai mayat yang ditemui polis itu adalah Nur Farah Kartini.

Ketika ditanya lebih lanjut, pihak keluarga juga meminta ruang dan enggan mengulas lanjut kerana masih tidak dapat memastikan bahawa mayat mangsa adalah Nur Farah Kartini.

Terdahulu, wanita tersebut dilaporkan ditemukan mati di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, Selangor pada Isnin.

Mangsa, Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu lalu.

Mangsa juga difahamkan, bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta.

Polis sebelum ini merakam keterangan tujuh individu yang dapat membantu siasatan kes kehilangan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang.

Bukan kes ragut, mayat wanita dalam parit di Jalan SKN Lama mangsa nahas motor terbabas masuk parit

 SEORANG wanita menemui ajal dalam keadaan tragis selepas mayatnya ditemui terperosok dalam parit dalam satu kejadian dipercayai di Pantai Remis, Lumut, Perak pada Isnin.


Tangkap layar memaparkan keadaan wanita berkenaan ketika ditemui.

Difahamkan, mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Melalui maklumat awal daripada orang awam, wanita malang berkenaan dikatakan berjalan berseorangan sebelum dikatakan diragut hingga menyebabkan dia terjatuh masuk ke dalam parit.

Melalui video yang dikongsikan, beberapa anggota polis dibantu orang awam mengangkat mayat mangsa ke atas jalan.

Turut tular satu gambar memaparkan mayat mangsa yang terjatuh di dalam sebuah parit.

Sementara itu, dalam satu kenyataan polis Manjung, mangsa dikatakan meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu merempuh tembok batu dalam kejadian di kampung nelayan, Jalan SKN Pekan Lama, Pantai Remis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden yang menimpa mangsa berusia 44 tahun itu sekitar pukul 10.15 pagi.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku sewaktu mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Vario dalam perjalanan dari arah tokong Sian Tian San menghala ke arah pelantar ke kawasan kampung nelayan tersebut.

“Motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan selepas tongkat motosikal bergesel dengan batu pengadang jalan sebelah kiri lalu terbabas dan merempuh tembok batu di kawasan berkenaan.

“Mangsa disahkan maut di lokasi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Asyraf Henry Philip di talian 016-557 2540. 

Mayat remaja jatuh bot di Sungai Pahang ditemui terapung

 SEORANG remaja yang hilang di Sungai Pahang, Pekan, Pahang pada Sabtu lalu ditemui orang awam pada pagi Isnin.


Mayat mangsa yang ditemui terapung di Sungai Pahang, Pekan, Pahang pada Isnin. — Bomba Pahang

Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan 5 itu dilaporkan terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di sungai berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria dilaporkan berkata, mayat Muhammad Danial Fakhrullah Mohd Azri, 17, ditemukan kira-kira 25 kilometer dari lokasinya dipercayai jatuh.

Menurutnya, mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran itu ditemukan dalam keadaan terapung di sungai terbabit.

Sebelum ini tular di media sosial video memaparkan sebuah bot kosong yang berpusing-pusing di sungai terbabit.

Dalam video itu, bot berkenaan dipercayai dikemudi mangsa terlanggar kayu dan berpusing di permukaan air sebelum tercampak ke dalam sungai.

Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut. 

Ibu bapa perlu terbuka, pastikan anak OKU boleh berdikari

 


Seremban: Ibu bapa yang mempunyai anak autisme atau berkeperluan khas perlu bersikap terbuka terhadap anak masing-masing bagi memastikan mereka dapat melalui proses hidup berdikari sebagai persiapan masa hadapan.

Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah Jacob, berkata ibu bapa tidak harus menyekat kecenderungan, minat dan bakat yang ada pada anak mereka itu kerana ia boleh menjejaskan masa hadapan.

"Kita dapati kebanyakan ibu bapa di negara ini yang mempunyai anak autisme atau sindrom down dan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) tidak berani membenarkan anak mereka hidup berdikari.

"Sepatutnya ibu bapa memberi peluang kepada anak itu untuk mendapatkan pelbagai kemahiran sesuai dengan minat.

"Dengan adanya kemahiran tertentu berkenaan, akan membantu mereka untuk berdikari dan tidak mengharapkan bantuan orang lain semata-mata sekali gus dapat meringankan beban keluarga dan masyarakat," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi lawatan ke rumah Pertubuhan Guru, Ibu Bapa dan Anak-Anak Berkeperluan Khas Negeri Sembilan di Taman Widuri Indah, Senawang, di sini, lewat petang tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.

Isaiah berkata, kerajaan sudah menyediakan pelbagai kemudahan termasuk Pusat Dalam Komuniti (PDK) dan pusat berkeperluan khas untuk melatih golongan OKU bukan sahaja dari menguruskan diri tetapi juga pelbagai kemahiran yang lain.

"Ibu bapa perlu menghantar anak ke pusat-pusat berkenaan untuk mereka mendapatkan kemahiran," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui PDK perlu diperkasakan lagi dengan mewujudkan pelbagai modul supaya OKU yang menerima pendidikan atau bimbingan di pusat itu benar-benar dapat membantu golongan berkenaan untuk berdikari apabila dewasa kelak.

"Kita perlu wujudkan PDK yang memberi penekanan kepada bidang kemahiran seperti membuat produk makanan, pertanian dan sebagainya dengan bimbingan guru terlatih.

"Melalui kaedah ini kita dapat menyediakan OKU dengan pelbagai kemahiran dan akhirnya dengan kemahiran itu mereka boleh menjana ekonomi dan berdikari," katanya.

Sementara itu, Isaiah berharap kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama dalam menyediakan kawasan sesuai bagi membina lebih banyak pusat kanak-kanak atau orang berkeperluan khas.

Beliau akui ketika ini pusat berkenaan yang sedia ada di seluruh negara belum mencukupi bagi menampung keperluan golongan berkenaan.

"Saya berharap kerajaan negeri khasnya dapat membantu menyediakan kawasan seluas sekurang-kurangnya 1.2 hektar untuk membina bangunan sebagai pusat kemahiran dengan teknologi baharu untuk golongan autisme dan sindrom down.

"Saya sedia membantu mendapatkan dana yang mencukupi bagi merealisasikan usaha dan matlamat ini.

"Saya fikir melalui bidang kemahiran sahaja, akan dapat membantu golongan berkenaan untuk berdikari dan membina masa hadapan yang lebih baik ," katanya.

Wanita Miri hilang ditemukan mati, dipercayai dibunuh di Hulu Selangor

 WANITA berasal dari Miri, Sarawak yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ditemukan mati di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, Selangor pada Isnin, lapor Harian Metro.


Mangsa dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada pada Rabu. — Facebook

Mayat mangsa, Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan ditemukan kira-kira 6 petang dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan mengesahkan berhubung penemuan individu yang dilaporkan hilang berkenaan.

Menurutnya, polis sudah melakukan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, rakan baiknya yang dikenali sebagai Amira memaklumkan menerima berita duka itu.

"Ya saya tahu (dia meninggal dunia)," katanya kepada Majoriti.

Difahamkan wakil syarikat yang merupakan tempat kerja mangsa kini dalam perjalanan ke balai polis berkenaan untuk mengesahkan maklumat berhubung kematian Nur Farah.

Terdahulu, wanita tersebut dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu lalu.

Mangsa juga difahamkan, bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta. 

20 akaun bank suami isteri pempengaruh kena beku bantu siasatan kes seleweng dana derma awam

 SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan kira-kira 20 akaun bank pasangan pempengaruh bersama dua lagi individu membabitkan nilai lebih RM700,000 susulan siasatan penyelewengan dana derma awam.


Pasangan itu ditahan reman bagi membantu siasatan selepas membuat kutipan derma melebihi jutaan ringgit

Sumber SPRM mendedahkan bahawa akaun itu termasuk akaun peribadi dan syarikat, disyaki telah digunakan untuk menerima sumbangan dalam talian.

"Ada kemungkinan lebih banyak akaun bank akan dibekukan," katanya.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

Beliau berkata, akaun itu dibekukan di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. — The Star/ JUSTIN ZACK


Ibu 2 anak meninggal dunia lepas 5 hari kritikal akibat kebakaran bilik sewa di Melaka

 SEORANG wanita yang kritikal selepas terperangkap dalam satu kebakaran di sebuah bilik sewa di Jalan Plaza Mahkota, Melaka pada Khamis lepas meninggal dunia di Hospital Melaka pada Isnin.


Tangkap layar video memaparkan kebakaran yang berlaku di sebuah bilik sewa di Jalan Plaza Mahkota, Melaka pada Khamis lalu. — Facebook


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, mangsa, Azliha Ngah Ariffin, 40, meninggal dunia pukul 12.44 tengah hari.

Beliau berkata, mayat mangsa kini dalam proses bedah siasat di hospital berkenaan.

Untuk rekod, mangsa juga merupakan ibu kepada dua anaknya yang maut dalam kebakaran sama.

Dalam kejadian sama, dua beradik perempuan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka selepas terperangkap dalam kebakaran di bilik sewa berkenaan.

Sementara itu, arwah Azliha juga dikatakan terpaksa meletakkan anaknya berusia dua tahun di dalam almari untuk mengelakkan daripada terhidu asap tebal sebelum ketiga-tiga mereka meninggal dunia.

Dua anaknya, Nur Riaisha Zahra Abdullah, 2, dan Nuralia Karisa Abdullah, 12, bersama Azliha juga ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota bomba di tingkat tiga bangunan rumah kedai itu. 

Pekebun dipanggil polis berkaitan kes budak nyaris mati ratah biskut beracun di Kemaman

 POLIS telah memanggil seorang lelaki yang juga pekebun untuk memberikan keterangan berhubung kes seorang remaja lelaki yang nyaris maut selepas dipercayai termakan biskut dicampur racun di sebuah kebun di Kemaman, Terengganu pada Jumaat lalu.


Mohd Daynail Haikal Alias nyaris maut setelah termakan biskut beracun dalam kejadian di Kemaman, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, warga emas berusia 70 tahun itu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

"Pihak polis mengambil keterangan warga emas tersebut bagi mengenal pasti punca kejadian. Siasatan berhubung kes ini akan dilakukan meliputi pelbagai aspek sebelum tindakan lanjut diambil," katanya pada Isnin.

Jelasnya, selepas keterangan diambil polis membebaskan suspek dengan jaminan polis.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana cuai berkenaan benda beracun.

Sampel makanan yang mengandungi racun itu juga turut dihantar ke jabatan kimia bagi mengenalpasti jenis racun yang digunakan oleh suspek.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai remaja lelaki berusia 13 tahun yang nyaris maut selepas termakan biskut yang dicampur racun dalam kejadian pada Jumaat lepas.

Dalam kejadian sekitar pukul 1.45 petang itu, Mohd Daynail Haikal Alias dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman selepas pengsan ketika dirawat di Klinik Kesihatan Air Puteh.

Difahamkan, mangsa bersama seorang rakannya masuk ke sebuah kebun pisang dan kelapa milik seorang penduduk kampung untuk memancing yang terletak kira- kira tiga kilometer dari kediamannya.

Mangsa yang terlalu lapar memakan sekeping biskut berkenaan yang telah dicampur racun dan digantung di atas sebatang kayu di kebun untuk menghalau kera dan beruk. 

Dah nampak ada yang tak kena, 'rider' parah dirempuh pemandu semberono dekat simpang stesen minyak Sungai Petani

 SEORANG penunggang p-hailing dipercayai mengalami kecederaan selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan di Seri Wang, Sungai Petani, Kedah pada Ahad.


Tangkap layar memaparkan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dengan motosikal di Seri Wang, Sungai Petani, Kedah pada Ahad.

Nahas tersebut dirakam menerusi kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) kenderaan lain dan dikongsikan di laman Facebook pada Isnin.

Terdapat dua rakaman yang dimuat naik, dengan video pertama memaparkan tindakan pemandu tersebut memandu dalam keadaan melulu dan membahayakan, sebelum melanggar penunggang motosikal berkenaan di simpang tiga berdekatan stesen minyak.

Sementara itu, video kedua menunjukkan kereta tersebut terbabas masuk ke dalam sebuah parit besar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pemandu berkenaan pada mulanya memberikan alasan terlepas simpang hingga menyebabkannya membelok secara tiba-tiba sebelum berlaku kemalangan dengan seorang penghantar makanan.

Menurutnya, kejadian pada jam 4.25 petang di hadapan sebuah stesen minyak di Taman Sri Wang itu berlaku apabila pemandu kereta berusia 20-an dikatakan terlanggar penunggang motosikal tersebut ketika ingin membelok.

"Pemandu kereta yang panik dikatakan bergegas meninggalkan kawasan kemalangan dipercayai akibat ketakutan sementara mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi dan pipi selain calar di bahagian tangan dan kaki.

"Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, kereta yang dipandu lelaki terbabit dilaporkan telah terjatuh ke kolam takungan najis lebih kurang 100 meter dari lokasi kejadian pertama," katanya. 

Sampai busuk dan tersumbat, parit jadi 'tong sampah' peniaga buang sayur tak elok di Pasar Borong KL

 TINDAKAN kebanyakan peniaga warga asing yang kerap membuang sayur-sayuran lama ke dalam parit besar di Jalan 2/3A, Pasar Borong Kuala Lumpur, Kuala Lumpur mendatangkan kemarahan penduduk tempatan.


Bukan hanya sayuran, barangan lain seperti perabot lama dan papan lapis yang masih elok turut sama dibuang ke dalam parit.

Hasil tinjauan Majoriti di sekitar kawasan tersebut mendapati parit besar yang terletak di belakang bangunan kedai itu sememangnya dipenuhi dengan sayur-sayuran seperti kangkung, kacang panjang, sawi, daun ketumbar, bawang besar dan limau kasturi.

Bukan hanya sayuran, barangan lain seperti perabot lama dan papan lapis yang masih elok turut sama dicampak.

Lebih mendatangkan bahaya, parit itu juga tidak dihalang dengan apa-apa penghadang kerana difahamkan penghadang besi sebelum ini telah dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.

Keadaan itu mungkin juga menjadi antara faktor yang memudahkan proses pembuangan sampah tersebut.

Salah seorang peniaga di pasar borong berkenaan, Saifuldin Osman, 55, berkata, aktiviti pemantauan yang kurang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan golongan itu tidak takut untuk membuang sampah di situ.

Selain itu jelasnya, kawasan tersebut juga tidak disediakan tong sampah besar untuk kegunaan penduduk dan peniaga di kawasan sekitar membuang sampah mereka.

"Kawasan ini tidak dikawal dengan tegas menyebabkan mereka sesuka hati membuang sampah ke dalam longkang dan juga kaki lima.

"Situasi ini memberikan imej kurang baik kepada orang lain yang berkunjung ke sini, selain baunya juga yang tidak menyenangkan," katanya ketika ditemui Majoriti.

Kongsinya lagi, aktiviti pembuangan sampah kebiasaannya bermula kira-kira pukul 3 hingga 7 pagi, yakni ketika orang lain sedang lena tidur.

Jelasnya, menjelang tempoh waktu tersebut, ramai peniaga warga asing yang dilihat galak membuat 'operasi'.

"Biasanya memang pada waktu itu mereka akan datang ke belakang dan buang, masa hari tengah gelap lagi mereka buat kerja.

"Iyalah, kalau siang orang ramai boleh nampak perbuatan mereka," katanya.

Adu Saifuldin, jadual kutipan sampah yang tidak tersusun juga mengakibatkan mereka semakin kerap menjalankan aktiviti membuang sampah ke dalam parit.

"Tengoklah, kadang 'rajin' mungkin datang dua hari seminggu, kalau tidak, sekali seminggu sahaja," ujarnya ketika ditanya tentang jadual pengutipan sampah di lokasi tersebut.

Dia yang sudah berniaga selama 10 tahun di kawasan itu berkata, pihaknya sudah membuat laporan menerusi laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.

Bagaimanapun ujarnya, tiada sebarang maklum balas yang diberikan agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan itu kepadanya.

"Sekiranya ada tong sampah besar disediakan PBT berkaitan, masalah pembuangan sampah ke dalam parit mungkin dapat dikurangkan," katanya.

‘Allahuakbar’, saksi kemalangan sayu lihat ibu meraung ratap mayat anak ditutup kain putih di Langkawi

 SEORANG wanita tidak dapat menahan sebak apabila melihat mayat seorang lelaki dipercayai anaknya sudah ditutup kain putih selepas maut dalam kemalangan di Batu Tampoi dekat Langkawi, Kedah pada Ahad.


Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Batu Tampoi dekat Langkawi pada Ahad.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan di media sosial, tragedi malang itu berlaku selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah lori dari arah bertentangan.

"Kemalangan di Batu Tampoi, jalan licin dan mangsa hilang kawalan. Penunggang motosikal maut di tempat kejadian. Lagi emosi nampak ibu mangsa meraung menangis dalam hujan," tulis individu tersebut.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan.

Video wanita itu sebak dan gagal mengawal emosi selepas melihat mayat dipercayai anaknya di lokasi insiden turut tular di media sosial pada hari yang sama.

Menerusi video berdurasi 24 saat itu, wanita terbabit dan beberapa individu lain dipercayai ahli keluarga mangsa dilihat berpelukan sesama sendiri ketika melihat mayat tersebut.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mahupun keluarga mangsa. 

Kembara JOM: Kos sara hidup, gaji, peluang kerja antara isu utama dibangkitkan belia


KUANTAN: Kos sara hidup, gaji, peluang pekerjaan dan pendidikan ialah antara isu utama dibangkitkan golongan belia melalui sembilan program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM)anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di seluruh negara, setakat ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, berkata kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu yang disuarakan itu, malah kementerian merumuskan maklum balas serta pandangan berkenaan untuk tindakan lanjut.

"Pada masa sama, kita juga menerima secara terbuka segala kritikan sepanjang Kembara JOM. Apa yang penting ialah mesti ada ruang untuk mereka bersuara dan sebagai kerajaan, kita perlu bersedia mendengar kritikan.

"Itu semua perkara realiti hari ini, dan kita tidak boleh menyepikan diri dan mengelak. Ada peluang dan ruang, kita perbetulkan," katanya kepada pemberita pada Program Kembara JOM di Dewan Dato' Sri Abdul Manan Ismail, di sini, hari ini.

Adam Adli berkata, Kembara JOM adalah inisiatif KBS melalui Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia serta Jabatan Belia dan Sukan Negara bertujuan membolehkan pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas serta pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi kementerian.

Beliau berkata, maklum balas dan pandangan yang diterima akan diguna untuk memuktamadkan pelan itu yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).

"Kandungan utama pindaan Akta 668 merangkumi penurunan definisi had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua atau pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun, dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun.

"Pindaan Akta 668 telah diluluskan di Parlimen pada 2019 dan akan berkuat kuasa 1 Januari 2026," katanya.

Pesawah maut pisau pengait kelapa sawit 'tembus' belakang badan di Bagan Serai

 MALANG tak berbau, seorang pesawah menemui ajal selepas pisau pengait kelapa sawit menembusi bahagian belakang badannya dalam kejadian di Parit Sulaiman, Bagan Serai, Perak pada Rabu.

Seorang lelaki maut selepas tertusuk pengait kelapa di Parit Sulaiman, Bagan Serai, Perak pada Rabu.


Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusof berkata, mangsa dikatakan sedang membawa galah sawit untuk mengambil kelapa sawit dalam kejadian sekitar pukul 6.58 petang.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 44 tahun menaiki motosikal sebelum dikatakan terbabas dan menyebabkan galah sawit yang dibawa terpelanting dan terkena mangsa.

"Pisau berkenaan dikatakan menusuk belakang mangsa dan kejadian itu disedari dua orang awam yang melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di dalam parit.

"Petugas perubatan dan ambulans yang tiba mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Juna Yusof berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...