"Pemandunya bertindak memecut melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.
"Polis turut mengejar kenderaan yang dinaiki suspek sejauh kira-kira dua kilometer sebelum terbabas," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, ketika mahu membuat pemeriksaan, suspek sekali lagi melepaskan beberapa tembakan ke arah pasukan polis.
Katanya, polis turut melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri namun setelah reda, pemeriksaan dijalankan dan didapati kedua-dua suspek telah tumpas.
"Kedua-duanya adalah rakan sejenayah berasal dari Pulau Pinang dan polis masih menyiasat sama ada mereka menganggotai kongsi gelap atau sebagainya.
"Turut dirampas ialah dua senjata api bersama 176 peluru.
"Kita percaya sebelum kejadian, mereka ke arah melakukan jenayah seperti rompakan dan sebagainya," katanya lagi.
Hamzah berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya.
Terdahulu Media melaporkan mengenai kejadian yang mana kedua-dua suspek didapati berlumuran darah dan meninggal dunia di lokasi selepas berbalas tembakan dengan polis.