Tuesday, June 25, 2024

Leftenan kolonel, koperal tentera dituduh sorok bukti kes kemalangan maut


TAWAU: Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menyembunyikan bukti bagi melindungi barang kes kemalangan maut, Januari tahun lalu.

Tertuduh, Leftenan Kolonel Werar Suleiman Ali, 55, dan Koperal Muhammad Hafizuddin Ripin, 29, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan niat menyembunyikan bukti-bukti bagi melindungi barang kes atau bahan bukti kemalangan iaitu sebuah motosikal yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak berhampiran Batu 3 Jalan Apas, dekat sini, kira-kira 6 petang, pada 30 Januari 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan boleh juga dikenakan hukuman denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain bersama Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee, manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan Vivian Thien.

Hurman mencadangkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan penjamin tempatan yang mempunyai alamat tetap di daerah ini.

Bagaimanapun, kedua-dua peguam memohon ikat jamin lebih rendah kerana anak guam mereka adalah penjawat awam dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Selain itu, mereka bersedia memberi kerjasama untuk hadir pada tarikh perbicaraan yang akan ditetapkan oleh mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

'Tuduhan tidak bertanggungjawab', Bomba Johor sangkal dakwaan lewat tangani kebakaran motosikal di CIQ

 POLIS Johor mengesahkan kejadian kejadian tular melibatkan sebuah motosikal yang terbakar sepenuhnya di laluan motosikal Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru pada kira-kira pukul 1.00 tengah hari, 23 Jun lalu.



Tangkap layar daripada rakaman sebuah motosikal terbakar di CIQ dipercayai berlaku pada Ahad lalu.


Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata pihaknya turut menerima satu video tular di media sosial yang dimuat naik seorang pengguna Facebook memaparkan kejadian itu.


"Ketika kejadian, dua anggota trafik BSI yang sedang membuat rondaan, telah melihat asap tebal dan bergegas ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.


"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 1.45 petang. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya.


Dalam pada itu, JBPM menafikan dakwaan bahawa alat pemadam api dan hos air di lokasi berkenaan dikunci ketika kejadian.

Menerusi laporan New Straits Times pada Rabu, Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nandir turut menjelaskan bahawa pihanya menerima panggilan kecemasan pada 1.45 tengah hari dengan anggota bomba mengambil masa hanya tujuh minit untuk tiba di tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, api telah dipadamkan anggota RELA dan polis menggunakan alat pemadam api hos 100m dengan sumber air dari pili bomba berhampiran," katanya menerusi laporan pada Rabu.

Menurut Rohani, pihak JBPM kerap mengadakan latihan memadam kebakaran bersama kakitangan CIQ dan anggota RELA yang ditempatkan di CIQ BSI, dengan latihan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) terkini dijalankan kurang enam bulan lalu.

Dalam laporan sama, jurucakap RELA berkata, walaupun peranan utama agensi itu di BSI adalah kawalan lalu lintas, kakitangannya juga menerima latihan ERT.

Jurucakap itu juga menafikan dakwaan dibuat bahawa pegawai mereka tidak tahu mengenai keberadaan alat pemadam api di lokasi semasa kejadian dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.


Pada Selasa, seorang pengguna Facebook yang juga warga Singapura mendakwa pasukan kecemasan di kompleks terbabit lewat dan tidak cekap ketika mengendalikan insiden kebakaran melibatkan motosikal miliknya di lokasi. 

2 lelaki ditembak mati


BUTTERWORTH: Polis menembak mati dua penjenayah di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan, di sini, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Terdahulu, lelaki masing-masing berusia 41 dan 54 tahun yang menaiki Perodua Myvi itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di persimpangan Jalan Pokok Sena menghala Jalan Permatang Baru.

Berikutan itu, polis meminta pemandu kereta memberhentikan kenderaan, namun suspek enggan dan memecut laju sebelum bertindak melepaskan beberapa das tembakan.

Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri sebelum kedua-dua suspek didapati berlumuran darah dan meninggal dunia di lokasi.

Polis turut menemui dua pistol serta peluru di dalam kereta yang dinaiki suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Difahamkan, kedua-dua suspek berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya 12 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Sementara itu, Polis Pulau Pinang akan mengadakan satu sidang media berhubung insiden berkenaan dalam tempoh terdekat.


 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...