Sunday, July 7, 2024

Pelakon disiasat tumbuk teman wanita


PETALING JAYA: Seorang pelakon disiasat dipercayai menumbuk teman wanitanya di Ara Damansara, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, laporan kejadian itu dibuat mangsa pada jam 6 petang di Balai Polis Sea Park.

Katanya, dalam kejadian itu, mangsa berusia 25 tahun keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

"Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara kira-kira jam 4 pagi," katanya pada Isnin.

Beliau berkata, sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.

Tambahnya, tiba-tiba teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.

"Siasatan masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian.

Tujuh pengawal kawal rapi keluarga Faisal Halim di MBPJ


Kehadiran bintang Selangor, Faisal Halim, mencuri perhatian penyokong bola sepak The Red Giants di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malah dia dan keluarganya dilihat dikawal rapi sekurang-kurangnya tujuh pengawal.

Ini berikutan dia berada dalam penjagaan rapi selepas insiden disimbah asid bulan lalu ketika berada di sebuah pusat beli belah di Damansara.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu dikhabarkan sudah mula turun ke padang walaupun masih berada dalam fasa pemulihan.

Dia berada di tempat duduk penonton bagi menyaksikan perlawanan Selangor yang berjaya membenam Kuching City 5-3 melalui sepakan penentuan penalti dalam saingan suku akhir kedua Piala FA Malaysia 2024/2025, malam tadi.


 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...