BUKIT MERTAJAM: Polis mengklasifikasikan kes dua wanita yang ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta di Taman Sri Rambai, di sini, semalam sebagai mati mengejut (SDR).
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad, dengan proses bedah siasat ke atas mayat dua wanita itu sedang dijalankan di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ).
"Setakat ini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai SDR (mati mengejut)," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, media melaporkan dua mayat wanita ditemui dalam keadaan sudah kembung dan berbau busuk dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran taman perumahan di Taman Sri Rambai, di sini.
Mayat ditemui orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira jam 5.30 petang sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Difahamkan, dua wanita dipercayai berusia lingkungan 20-an berkemungkinan sudah meninggal dunia lebih lima hari susulan mayat mereka sudah kembung dan berbau busuk.
Kedua-dua mangsa dipercayai berasal dari Negeri Sembilan dan datang ke Pulau Pinang untuk bercuti.