Monday, July 15, 2024

Suspek pembunuhan Nur Farah Kartini anggota polis di Perak

 


Pihak polis mengesahkan suspek utama kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah ialah seorang anggota polis.


PIHAK polis mengesahkan suspek utama kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah merupakan seorang anggota polis.

Perkara itu mendapat pengesahan daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris pada Selasa (16 Julai).

Azizi berkata, individu berusia 26 tahun itu merupakan lans koperal dari balai polis Slim River, Perak.

"Dia sudah berkhidmat dengan pasukan polis kira-kira lima tahun.

"Kini suspek sedang disiasat oleh polis Selangor.

"Dalam siasatan polis Muallim, (suspek) menunjukkan di mana kesalahan itu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, perintah mahkamah di Hulu Selangor diperolehi pada Selasa (16 Julai) untuk menahan reman suspek selama tujuh hari sehingga 22 Julai.

Sebelum ini, Farah Kartini, dilaporkan hilang selepas dipercayai menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu lalu.

Mangsa juga difahamkan, bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta.

Laporan kehilangan telah dibuat oleh rakannya pada awal pagi Khamis (11 Julai).

Namun, mangsa ditemui mati di Felda Gedangsa, Hulu Selangor pada Isnin (15 Julai).

Sementara itu, Azizi memuji tindakan yang diambil oleh Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir dalam mengendalikan siasatan tersebut.

"Saya berbangga dengan OCPD Muallim.

"Selepas laporan orang hilang dibuat, dia segera mengeluarkan kenyataan akhbar dalam usaha mengesan mangsa," jelasnya.

Pada Isnin, Hussein mengesahkan penahanan seorang penjawat awam berusia 26 tahun berikutan penemuan mayat itu. — The Star/ IVAN LOH dan JUSTIN ZACK



'Tak perlu tunggu 24 jam buat laporan polis', pakar jenayah mahu orang ramai kikis pemahaman lapuk

 TIDAK perlu menunggu sehingga cukup tempoh 24 jam untuk membuat sesuatu laporan polis, kata pakar kriminologi.


Kejadian seperti orang hilang tidak perlu menunggu sehingga cukup tempoh 24 jam untuk membuat laporan polis.

Pakar tersebut, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata sedemikian bagi mengulas mengenai berita seorang wanita, Nur Farah Kartini, 25 yang hilang sejak Rabu pagi sebelum ditemui mati pada Isnin.

Difahamkan, rakannya yang cuma mahu dikenali sebagai Amira hanya memuat naik berita kehilangannya menerusi media sosial sebelum memutuskan untuk membuat laporan polis gara-gara berfikir belum cukup tempoh 24 jam.

Bagaimanapun, selepas kira-kira 17 jam, atas nasihat orang ramai, dia kemudian membuat laporan mengenai perkara tersebut di Balai Polis Ulu Bernam.

Tampil menjelaskan mengenai hal itu, Shahul berkata, laporan polis sepatutnya dibuat secepat mungkin setelah mengetahui berita mengenai kehilangan.

"Tak perlu tunggu lama-lama dan tak payah tunggu 24 jam, serta-merta kena buat laporan polis. Tak kisah kes ugut, kes lain atau kes kehilangan.

"Dengan cara ini, polis dapat kesan tentang kejadian lebih awal terutama selepas beberapa jam hilang.

"Polis dapat melakukan tindakan secepat mungkin sebelum apa-apa berlaku," katanya kepada Majoriti. 

Meskipun tidak pasti sama ada seseorang itu benar-benar hilang ataupun tidak, Shahul berkata, orang ramai tidak perlu takut untuk membuat laporan polis.

"Kalau orang yang hilang itu sudah dijumpai semula atau apa-apa, hanya perlu pergi semula ke balai dan maklumkan bahawa individu tersebut sudah dijumpai," katanya.

Tambahnya lagi, sangat penting bagi kita menilai sifat seseorang sebelum memutuskan untuk memiliki sebarang perhubungan.

"Kita sebenarnya boleh fikir siapa musuh kita atau kawan kita.

"Jadi kita kena nilai dahulu sebelum ada apa-apa hubungan dengan seseorang kerana akhir-akhir ini kebanyakkan kes yang membawa kepada kematian berpunca daripada perasaan cemburu yang ada pada orang terdekat, " katanya,

Pada Selasa, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah adalah teman lelakinya.

Menurut laporan media tempatan, lelaki yang ditahan polis itu bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada Isnin.

Kekasih sendiri suspek kes bunuh Nur Farah Kartini — Polis

 KETUA Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, adalah teman lelakinya.


Suspek dilihat memakai pelitup muka dan memakai baju lokap polis berwarna oren.


Menurut laporan media tempatan, lelaki yang ditahan polis itu bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada Isnin.

Berpandukan siasatan terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam.

"Bagaimanapun, motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya.

Sebelum ini, suspek berusia 26 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor untuk permohonan reman.

Suspek dilihat memakai pelitup muka dan memakai baju lokap polis berwarna oren dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

Sebelum ini, Farah Kartini, dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu lalu.

Mangsa juga difahamkan, bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta.

Polis sebelum ini merakam keterangan tujuh individu yang dapat membantu siasatan kes kehilangan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang. — The Star


Taktik lori lepas pemeriksaan tayar dibongkar, wujud servis 'tambah bunga'

 SEJAK akhir-akhir ini, kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori sering dilaporkan berlaku di dalam negara sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.


Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan individu sedang mengukir corak bunga tayar pada lapisan dasar tayar yang sudah haus.


Beberapa insiden nahas melibatkan jenis kenderaan berkenaan turut dirakam dan tular di media social termasuk kejadian membabitkan kehilangan nyawa orang awam yang tidak bersalah.

Pada 24 Jun lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah memaklumkan sebanyak 652 kes kemalangan direkodkan membabitkan pelbagai kenderaan berat setakat tiga bulan pertama 2024 iaitu sehingga Mac.

Nahas berkenaan antara lain melibatkan pengangkutan lori kontena, lori kecil dan bas ekspres.

Menurutnya, kemalangan itu berpunca pelbagai faktor.

Antara punca utama menyumbang terhadap situasi tu adalah kecuaian pemandu mengantuk, memandu melebihi had laju dibenarkan, kenderaan membawa lebih muatan dan penyelenggaraan yang lemah.

Situasi itu turut menimbulkan kerisauan terhadap orang awam yang rata-ratanya berpandangan kerajaan perlu meningkatkan pemantauan terhadap kenderaan pengangkutan tersebut.

Dalam pada itu, tular pada Isnin video didakwa mendedahkan taktik digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab yang menawarkan serivs 'menambah bunga' pada tayar sebuah lori yang sudah berada dalam keadaan haus atau 'botak'.

Berdasarkan klip berkenaan, seorang lelaki dilihat mengukir corak bunga tayar pada lapisan dasar tayar yang sudah haus.

Tindakan dikenali sebagai tyre retreading itu dipercayai dilakukan untuk mengelak daripada pemeriksaan oleh pihak berkuasa.

"Buat bunga sendiri ? Macam mana la tak terbabas la, tayar meletup semua," tulis mhmmdhsm yang memuat naik video berkenaan.

Dalam pada itu, di ruangan komen, terdapat juga beberapa netizen yang mendedahkan taktik lain digunakan oleh pemilik atau pemandu kenderaan berat untuk melepasi pemeriksaan berkuasa.

Malah, mereka turut mencadangkan agar kerajaan membuat penambahbaikan terhadap pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan kenderaan berkenaan.

"Ramai sewa tayar untuk bagi lepas Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer). Lepas habis pemeriksaan Puspakom semua tukar balik tayar lama. Ada sedikit rombakan dari segi penguatkuasaan perlu dibuat mengenai perkara ini," kongsi Marchfoward.

"Penyelesaiannya saman juta-juta syarikat tu sekali. Saman pemandu je, esok dia drive balik," ujar saifulhisyam.

"Sebenarnya kerajaan boleh sahaja ubah waktu operasi kenderaan berat 7.5 tan ke atas supaya tak campur dengan orang kebanyakan. Yang terjejas cumalah geng diorang iaitu penghantar, driver dengan penerima. Interstate boleh guna kontena nasional berhad. Lori-lori lain termasuk 4x4 paksa pakai speed limiter," ujar takberapanakok.

Majoriti sedang cuba mendapatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom berhubung dakwaan berkenaan.

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...