Monday, July 15, 2024

'Tak perlu tunggu 24 jam buat laporan polis', pakar jenayah mahu orang ramai kikis pemahaman lapuk

 TIDAK perlu menunggu sehingga cukup tempoh 24 jam untuk membuat sesuatu laporan polis, kata pakar kriminologi.


Kejadian seperti orang hilang tidak perlu menunggu sehingga cukup tempoh 24 jam untuk membuat laporan polis.

Pakar tersebut, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata sedemikian bagi mengulas mengenai berita seorang wanita, Nur Farah Kartini, 25 yang hilang sejak Rabu pagi sebelum ditemui mati pada Isnin.

Difahamkan, rakannya yang cuma mahu dikenali sebagai Amira hanya memuat naik berita kehilangannya menerusi media sosial sebelum memutuskan untuk membuat laporan polis gara-gara berfikir belum cukup tempoh 24 jam.

Bagaimanapun, selepas kira-kira 17 jam, atas nasihat orang ramai, dia kemudian membuat laporan mengenai perkara tersebut di Balai Polis Ulu Bernam.

Tampil menjelaskan mengenai hal itu, Shahul berkata, laporan polis sepatutnya dibuat secepat mungkin setelah mengetahui berita mengenai kehilangan.

"Tak perlu tunggu lama-lama dan tak payah tunggu 24 jam, serta-merta kena buat laporan polis. Tak kisah kes ugut, kes lain atau kes kehilangan.

"Dengan cara ini, polis dapat kesan tentang kejadian lebih awal terutama selepas beberapa jam hilang.

"Polis dapat melakukan tindakan secepat mungkin sebelum apa-apa berlaku," katanya kepada Majoriti. 

Meskipun tidak pasti sama ada seseorang itu benar-benar hilang ataupun tidak, Shahul berkata, orang ramai tidak perlu takut untuk membuat laporan polis.

"Kalau orang yang hilang itu sudah dijumpai semula atau apa-apa, hanya perlu pergi semula ke balai dan maklumkan bahawa individu tersebut sudah dijumpai," katanya.

Tambahnya lagi, sangat penting bagi kita menilai sifat seseorang sebelum memutuskan untuk memiliki sebarang perhubungan.

"Kita sebenarnya boleh fikir siapa musuh kita atau kawan kita.

"Jadi kita kena nilai dahulu sebelum ada apa-apa hubungan dengan seseorang kerana akhir-akhir ini kebanyakkan kes yang membawa kepada kematian berpunca daripada perasaan cemburu yang ada pada orang terdekat, " katanya,

Pada Selasa, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah adalah teman lelakinya.

Menurut laporan media tempatan, lelaki yang ditahan polis itu bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada Isnin.

No comments:

Post a Comment

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...