Friday, July 12, 2024

Juruterbang tentera Poland bergelar 'Killer' benar-benar maut, pesawat terhempas sebelum rentung

 SEBUAH jet pejuang M-346 Tentera Utara Poland dilaporkan terhempas sebelum terbakar ketika membuat latihan sempena pertunjukan udara pada Jumaat.


Tangkap layar memaparkan detik-detik jet pejuang tersebut dikendalikan Robert dijilat api selepas terhempas.


Juruterbangnya, Robert Jel atau dikenali sebagai 'Killer' maut di tempat kejadian.

Inspektor Tentera Udara Poland, Jeneral Ireneusz Nowak menyifatkan Robert merupakan salah seorang juruterbang yang paling berpengalaman di Poland.

"Robert bukan sahaja seorang juruterbang yang hebat, tetapi juga seseorang yang hebat.

"Kami semua sebagai juruterbang, sebagai tentera, sedang berkabung hari ini. Kami telah kehilangan seorang lelaki yang hebat, seorang pengajar yang hebat," kata Nowak.

Susulan nahas itu, semua acara berkaitan dengan pertunjukan udara yang dijadualkan pada Sabtu dibatalkan serta-merta.

Menerusi rakaman yang tular di media sosial X itu memaparkan sebuah jet pejuang dilihat menjunam ke arah bumi dan berputar beberapa kali sebelum terhempas dan rentung terbakar.

Jel meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan yang dilaporkan kini berada di bawah jagaan seorang ahli psikologi. 

Azzmi Aziz kembali tersenyum, aksi lesu Tok Gajah hadiahkan 3 mata pertama buat skuad Jang

 PRESTASI membimbangkan terus dialami Sri Pahang FC selepas mereka tewas 0-2 di tangan Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Temerloh, Pahang pada Sabtu.


Fadhli Shas (kanan) cuba menyekat hantaran dibuat pemain Negeri Sembilan FC, Hein Htet Aung. — Facebook/Sri Pahang FC


Kealpaan benteng pertahanan menyaksikan pasukan pelawat berada di hadapan pada minit ke-24 menerusi R Barathkumar yang menampan masuk hantaran sepakan percuma Takumi Sasaki.

Tidak lama selepas itu, skuad bimbingan Fandi Ahmad dihidangkan peluang untuk mengikat kedudukan apabila kapten lawan, Nasrullah Hanif didapati menyekat hantaran Kpah Sherman menggunakan tangannya.


Namun, tekanan dialami pemain tengah, Stefano Brundo menyaksikannya gagal menyumbang jaringan buat skuad Tok Gajah apabila sepakannya jauh tersasar daripada gol.

Bersambung babak kedua, serangan demi serangan dilancarkan tuan rumah demi memburu jaringan penyamaan yang sekali gus dapat membantu menamatkan rentetan kekalahan dialami.

Tetapi, kecekapan penjaga gol Negeri Sembilan FC, Aqil Abdul Razak menyaksikan jentera serangan skuad Tok Gajah hampa meskipun kesebelasan utama terbaik diturunkan.

Malang berganda buat Sri Pahang FC apabila pasukan bimbingan Azzmi Aziz menggandakan kelebihan selepas Sasaki menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti.

Semakan video bantuan pengadil (VAR) menyaksikan kapten tuan rumah, Fadhli Shas melakukan kekasaran ke atas Hein Htet Aung ketika melakukan percubaan, sekali gus memaksa pengadil, Suhaizi Shukri menghadiahkan sepakan itu.

Keputusan 2-0 kekal berpihak kepada Negeri Sembilan FC yang merekodkan kemenangan pertama dalam Liga Super selepas mengharungi empat perlawanan.

Bagi Sri Pahang FC pula, kekalahan itu menyaksikan mereka tergelincir ke kedudukan kesembilan dengan harapan mereka untuk terus mendaki carta semakin sukar.


Pemandu Mazda ditahan, lawan arus sebab makan 6 jenis ubat di Batu Pahat

 POLIS menahan seorang lelaki selepas tindakannya memandu dalam keadaan berbahaya dengan melawan arus di Jalan Ayer Hitam-Kluang, Batu Pahat, Johor di media sosial.


Pemandu Mazda terbabit didapati memandu lawan arus dalam sebuah video yang tular di media sosial pada 6 Julai lalu.


Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 5 petang 6 Julai lalu.

Dia berkata, pada hari kejadian, polis mengesan video berdurasi 30 saat di media sosial yang menunjukkan kereta Mazda dipandu lelaki berusia 46 tahun tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

"Bertindak melalui siasatan polis termasuk berdasarkan kamera papan pemuka (dashcam), suspek dikesan sepasukan anggota dari Bahagian Sisatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat pada pukul 3 petang keesokan hari.

"Suspek kemudian berjaya ditahan di perkarangan BSPTD Batu Pahat dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bagi menjalani ujian saringan air kencing.

"Turut ditahan kereta yang dipandunya pada hari kejadian bagi membantu siasatan punca tindakan lelaki terbabit memandu melawan arus," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Shahrulanuar berkata, siasatan awal termasuk saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif sebarang bahan terlarang.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan orang lain.

"Kita menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa peka dengan mematuhi isyarat dan peraturan ditetapkan bagi memastikan keselamatan semua terjamin." katanya. 

Pelanggan stesen minyak Vietnam tercampak dirempuh 3 orang naik satu motor

 SERAMAI empat individu cedera selepas dirempuh penunggang motosikal yang dinaiki dua lagi pembonceng di sebuah stesen minyak di Go Dau, Tay Ninh, Vietnam pada Jumaat.


Tangkap layar video memaparkan tiga individu yang menaiki sebuah motosikal merempuh pam minyak di Vietnam pada Jumaat.


Kejadian itu membabitkan dua pelanggan yang sedang mengisi minyak motosikalnya di lokasi kejadian.

Menerusi video kamera litar tertutup (CCTV), sebuah motosikal lain yang dinaiki tiga individu secara tiba-tiba datang dari arah belakang dan merempuh dua pelanggan terbabit.

Dalam video sama, kelihatan seorang daripada pelanggan itu tercampak bersama tiga individu manakala seorang lagi pelanggan sempat mengelak dan melarikan diri.

Motosikal dinaiki tiga individu berkenaan turut merempuh sebuah tiang pam minyak berkenaan.

Keempat-empat mangsa juga dilaporkan tidak sedarkan diri dan cedera parah di beberapa anggota badan sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, polis daerah Go Dau mengesahkan kejadian dan sedang menjalankan siasatan terhadap punca kejadian tersebut.

Kerajaan tak kosongkan kerusi sebab takut kalah PRK lagi, dakwa Muhyiddin

 PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Muhyiddin Yasin mendakwa kerajaan enggan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Dewan Rakyat yang disandang bekas ahli parti itu kerana takut kalah dalam pilihan raya lagi.


Muhyiddin mengatakan Kerajaan Perpaduan sudah tidak memiliki sokongan daripada rakyat.


Menurut laporan MalaysiaKini, dalam ucapannya pada konvensyen parti itu pada Sabtu, Ahli Parlimen Pagoh tersebut berkata, pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap baru-baru ini adalah bukti bahawa terdapat peningkatan sokongan terhadap gabungan Perikatan Nasional (PN).

"Walaupun mereka berkuasa, mereka sebenarnya lemah, amat lemah. Saya tidak pernah lihat dalam sejarah politik saya parti kerajaan boleh kalah dengan begitu teruk dalam sebuah PRK. Dengan segala kuasa yang ada pada mereka, aneh mereka kecundang sebegitu rupa.

"Kerana itulah mereka takut hendak mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN yang disandang bekas ahli-ahli BERSATU yang berpaling tadah walaupun tindakan itu bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

"Mereka sanggup langgar peruntukan perlembagaan yang mereka sendiri perjuangkan dan gubal kerana takut kalah," katanya.

Muhyiddin yang merupakan bekas Perdana Menteri menyampaikan ucapan pelancarannya pada konvensyen khas yang diadakan di Selayang, Selangor.

Ia diadakan sebagai sesi menghuraikan dan menyemai idealisme dan prinsip BERSATU kepada ahli parti.

Dalam ucapannya, Muhyiddin mendakwa rakyat sudah muak dengan kerajaan dan dengan itu, mula mengalihkan sokongan kepada PN.

Menurutnya, ini terbukti pada PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang yang menyaksikan PN berjaya mengekalkan kerusi itu dengan majoriti lebih besar

Penjual putu mayam 'famous' di Kepong maut kemalangan jalan raya

 SEORANG penjual makanan putu mayam di Kepong, Kuala Lumpur dilaporkan maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada pagi Selasa.


Manikandan (kiri) terkenal dalam kalangan penduduk di Kepong sebagai penjual putu mayam.


Berita pemergian mendiang, Manikandan Krishnamoorthy yang baru berusia 41 tahun itu itu tular selepas ia dikongsikan di media sosial termasuk di Group Facebook komuniti Kepong.

Menerusi perkongsian tersebut, rata-rata pengguna yang terdiri daripada pelbagai kaum melahirkan perasaan terkejut dan sedih terhadap perkhabaran tersebut.

Malah di ruangan komen, terdapat banyak pesanan dikongsikan mengenai kebaikan dan kemesraan ditunjukkan oleh mendiang ketika dia meniaga dan menyediakan makanan kepada orang ramai dengan menggunakan motosikal.

"Kami akan sentiasa mengingati kebaikan anda," tulis Woody Sum PY yang turut berkongsikan foto memaparkan mendiang yang kelihatan gembira ketika berjualan putu mayam.

"Kenapa berita ini berlaku secara tiba-tiba. Saya rasa sangat sedih. Dia adalah seorang yang sangat rajin dan peramah. Dia menjual dari pagi sampai malam. Dia juga pernah belanja karipap kari," kata Rose Tan.

"Dia sudah menjadi rakan saya dan menyediakan putu mayam selama 15 tahun," ujar Joey Joey.

"Saya melihat dia bekerja setiap hari. Pagi di Pasar Kepong dan petang di restoran merata-rata. Terima kasih atas kerja keras abang," tulis Xiao Qi.

Setakat laporan ini ditulis, perkongsian mengenai pemergian mendiang di dalam Group Facebook berkenaan mendapat lebih 1,700 komen dan 1,300 perkongsian.

Difahamkan, kejadian kemalangan jalan raya yang menimpa mendiang berlaku ketika waktu pagi ketika dia hendak keluar untuk menjual putu mayam.

Video mengenai kemalangan terbabit turut tular yang memaparkan mangsa terbaring tidak jauh daripada motosikalnya.

Pada waktu kejadian, keadaan jalan berkenaan juga didapati gelap dengan lampu jalan dilihat tidak berfungsi.

Terdapat juga warganet yang berkongsikan keadaan di lokasi sewaktu kejadian.

"Kemalangan ini berlaku semasa saya hendak bertolak ke tempat kerja sekitar pukul 6 pagi tadi (Selasa). Tiba-tiba, ketiga-tiga lorong lebuh raya mengalami kecemasan. Saya tidak tahu apa yang berlaku. Selepas itu saya nampak ada motor jatuh dekat lorong tengah, dan lihat ada orang ada orang jatuh di tepi lorong kanan. Saya juga boleh melihat putu mayam berterabur di atas jalan raya," tulis Cassie.

Netizen turut mempersoalkan mengenai keadaan jalan raya berkenaan yang gelap dan berkemungkinan menjadi punca kepada kemalangan berkenaan.

Acara penghormatan terakhir bagi mendiang Manikandan yang tinggal di Taman Desa Jaya, Kuala Lumpur dilaporkan diadakan di Batu Caves Selangor pada Jumaat. 

Tragedi keropok beracun: Ia adalah 'wake-up call' - Dr Dzulkefly

KANGAR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP), terutama dalam penjualan dan penggunaan racun berbahaya.

-ADVERTISEMENT-

 Dr Dzulkefly mengadakan Program ‘Walkabout’ Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Kompleks Komalaut 2, Kuala Perlis, hari ini. - NSTP/AIZAT SHARIF


la susulan insiden dua beradik, Muhammad Akil

Syauqi, 3, serta Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia masing-masing pada Rabu lalu dan semalam selepas memakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim, Kedah, Ahad lalu.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyifatkan kejadian itu sebagai satu peringatan kepada pihaknya, terutama penguat kuasa KKM, dalam meneliti semula peraturan dari segi SOP pengendalian racun berbahaya.

"Itu adalah satu perkara yang saya perlu susuli selepas ini kerana kita tahu bahawa racun berkenaan memang 'fatal' atau berbahaya kerana mempunyai ketoksikan sangat tinggi sehingga boleh membawa maut.

"Malah, kejadian seperti ini memberi peringatan kepada kami (KKM) khususnya penguat kuasa akan peraturan dari segi SOP, dan juga (mereka) yang menggunakan (racun).

"Ia adalah 'wake-up call'. Meskipun sudah ada peraturan atau SOP ketat dari segi penggunaan dan jualan racun berbahaya, kita perlu menguatkuasakannya dengan lebih efektif, terutama dengan kolaborasi agensi lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Program 'Walkabout' Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Kompleks Komalaut 2, Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, dua beradik itu kritikal selepas memakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim

Makanan ringan berkenaan didakwa digantung pada pagar dawai dipasang oleh pemilik kebun, dipercayai untuk tujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman. Difahamkan, lokasi kejadian itu terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

Kelmarin, media melaporkan seorang lelaki direman enam hari hingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan kes itu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly mengesahkan pasukan KKM telah menemui dan mengambil peket kecil dipercayai mengandungi racun tikus di kawasan rumah jiran dua beradik itu yang juga pemilik kebun di Kampung Padang Ubi, ketika melakukan pemeriksaan pada Rabu lalu.

"KKM memang ada membantu dalam siasatan kes itu. Sampel sudah diambil, namun kita menyerahkan siasatan itu kepada pihak polis. Punca keracunan masih dalam siasatan polis.

"Kami tidak dapat memberikan apa juga perkembangan atau kemas kini maklumat kecuali setelah polis memberikan satu perkembangan laporan yang terkini (kepada KKM)," katanya sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Alif Teega dan Aisyah Hijanah direman 4 hari, bantu siasatan SPRM dakwaan salah guna kuasa

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pasangan suami isteri pempengaruh yang tular berhubung kes derma kekal direman selama empat hari selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menolak permohonan mereka untuk mengetepikan perintah reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.


Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis . Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB



Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan yang dibuat Mohd Hazalif atau lebih dikenali sebagai Alif Teega dan isterinya itu selaku pemohon.

Ketika membaca keputusan, beliau berkata, Majistret Putrajaya telah mematuhi peruntukan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam membenarkan permohonan reman yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Isu tiada kaitan antara pemohon dengan kesalahan yang disiasat tidak mempunyai merit.
merit.


"Sebarang kesalahan yang dilakukan pemohon-pemohon, jika ada, hanya boleh ditentukan selepas siasatan selesai, justeru itu pemohan semakan ini ditolak,” katanya.

Hakim ini berkata, SPRM seharusnya dibenarkan untuk melengkapkan siasatan mereka terhadap dua pemohon ini maka perintah reman oleh Majistret terhadap mereka adalah sah.

Semasa hujahan, peguam, Abd Rahim Ali yang mewakili kedua-dua pemohon itu berkata, permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya, mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, iaitu membabitkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Beliau berkata, seksyen itu menyentuh kes bagi mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutu, melakukan suatu kesalahan.

"Alif Teega dan Aisyah Hijanah ditahan bukan membabitkan penyelewengan kutipan bantuan, namun SPRM menggunakan permohonan reman mengikut Seksyen 23 (1) akta itu terhadap anak guam saya.

"Jadi, kami membuat bantahan, sebab tak kena dengan seksyen yang dimohon oleh SPRM, hakikatnya mereka bukan seorang penjawat awam,” katanya yang turut disertai peguam, Abi Mursyidin Awal dan Fithril Hakim Ab Jalil.

Menurutnya, Alif Teega dan Aisyah Hijanah tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana badan awam seperti yang tertakluk dalam Seksyen 3 Akta SPRM, iaitu akta yang membolehkan mereka disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama.

"Pemegang saham dalam syarikat Hijanah Haul Holdings Sdn Bhd hanyalah Orang yang disiasat (OYDS) pertama dan kedua.

"Ahli-ahli dalam syarikat itu juga bukanlah pegawai badan awam dan pihak kami berhujah tiada kaitan antara kedua-dua suspek dan kesalahan yang disyaki.

"Oleh kerana tidak terdapat sebarang kaitan, maka perintah reman yg diberikan Mahkamah Majistret hendaklah diketepikan," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, permohonan reman bukan suatu subjek yang perlu dibincangkan sekarang.

Menurutnya, permohonan semakan ini adalah pramatang kerana tiada apa-apa asas untuk mengatakan siasatan telah selesai dan tiada kesalahan di bawah seksyen tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, permohonan reman bukan suatu subjek yang perlu dibincangkan sekarang.

Menurutnya, permohonan semakan ini adalah pramatang kerana tiada apa-apa asas untuk mengatakan siasatan telah selesai dan tiada kesalahan di bawah seksyen tersebut.

Beliau berkata, prosedur reman ini adalah penting untuk kedua-dua pemohon dalam membuktikan sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan atau sebaliknya.

"Jika kita menggunakan hujahan itu, maka mana-mana suspek tidak boleh direman untuk siasatan bagi sebarang kes.

"Siasatan perlu dibuat secara menyeluruh, maka mana-mana orang yang disyaki perlu ditangkap terlebih dahulu kemudian berlanjutan ke permohonan reman,” katanya.

Menurutnya, sudah menjadi amalan ketika siasatan dibuka, namun tidak semestinya mereka akan dituduh mengikut seksyen yang sama.

Bagaimanapun, Ahmad Akram berkata, masih terdapat beberapa program yang masih belum dikenal pasti untuk kutipan derma, malah mereka gagal mengemukakan transaksi kewangan bagi setiap program tersebut.

Pada Khamis, pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, tular berhubung isu derma, direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah, bermula 2022 lalu.

Kes bunuh Bakarudin Busu: 3 lelaki terlepas hukuman mati


KUALA LUMPUR: Tiga banduan akhir yang disabitkan membunuh pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Bakarudin Busu pada 22 tahun lalu, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan menggantikannya dengan hukuman penjara 38 tahun.

Mayat Bakarudin yang separuh rentung dijumpai dalam longkang di Subang Jaya, di mana bukti diperoleh menunjukkan mangsa ditendang, ditumbuk dan ditetak hingga mati sebelum mayatnya dibakar pada malam 12 Februari 2002.

Melalui keputusan pada 2 April lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Zabariah Mohd Yusof yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, membenarkan permohonan semakan ketiga-tiga pemohon untuk mengetepikan hukuman mati.

Mereka ialah bekas eksekutif jualan, Azizul Azual Jailani, 40 dan Sulkarnain Alias, 46, serta bekas pemandu forklif, Noorman Ab Wahab, 45.

Panel memerintahkan hukuman penjara terhadap Azizul Azual berkuatkuasa tarikh tangkap iaitu pada 17 Februari 2002, manakala Sulkarnain dan Noorman bermula 16 Februari 2002.

Bagaimanapun pada prosiding semakan itu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling membantah permohonan terbabit dengan alasan nyawa Bakarudin diragut dengan cara amat kejam, ngeri dan ganas apabila petrol digunakan sehingga menyebabkan 70 peratus tubuhnya terbakar sebelum ditinggalkan dalam parit.

May Ling dalam hujahannya berkata, perbuatan itu sudah dirancang terlebih dahulu apabila senjata dibawa bersama ketika ketiga-tiga pemohon bertemu dengan mangsa pada malam kejadian.

Beliau berkata, mangsa dipukul sebelum ditikam dan ditetak menggunakan pedang sehingga mengalami 13 kecederaan termasuk luka tetakan berukuran 14 sentimeter di kepala yang merosakkan otaknya.

Katanya, Azizul Azual (pemohon pertama) memainkan peranan penting kerana bertanggungjawab membawa senjata ke tempat kejadian dan individu pertama menyerang Bakarudin dengan menendangnya sehingga mangsa terjatuh.

"Sulkarnain (pemohon kedua) pula berperanan mengatur pertemuan dengan mangsa menerusi bantuan teman wanitanya. Dia mencekik leher mangsa, menetaknya beberapa kali, membakarnya menggunakan petrol dan mencuri dompetnya selain cuba mengeluarkan wangnya melalui mesin ATM.

"Noorman (pemohon ketiga) pula turut memainkan peranan dalam pembunuhan itu dengan meletak pedang di leher mangsa dan membantu membakarnya dengan petrol," katanya.

Sementara itu, peguam Abdul Rashid Ismail bagi pemohon pertama dan Datuk C Vignesh Kumar yang mewakili pemohon kedua dan ketiga, memohon mahkamah mempertimbang bahawa anak guam mereka adalah pesalah muda.

Mereka menghujahkan, mahkamah perlu mengambil kira faktor bahawa Bakarudin terlebih dahulu mengganggu teman wanita Sulkarnain berkali-kali menyebabkan lelaki itu mahu bersemuka dengan mangsa bagi menghentikan gangguan terhadap kekasihnya.

Menurut peguam, pembunuhan itu bukan dirancang, sebaliknya berlaku atas unsur provokatif kerana mangsa mengganggu teman wanita Sulkarnain dan langsung tidak berasa bersalah atau memohon maaf atas perbuatannya.

Sulkarnain, Noorman dan Azizul didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas tuduhan membunuh Bakarudin di Jalan SS19/6 di Subang Jaya, pada jam 9.30 malam, 12 Februari 2002.

Pada mulanya, empat orang menghadapi pertuduhan membunuh, tetapi Mahkamah Tinggi pada 2007 membebaskan tertuduh keempat yang juga bekas pelajar IKN, tanpa memanggilnya membela diri.

Bekas teman wanita Sulkarnain dan bekas pelajar UiTM, Siti Rahmah Azman Subramaniam juga menghadapi pertuduhan membunuh Bakarudin, tetapi dibebaskan tanpa dilepaskan daripada tuduhan itu pada 2003 selepas pihak pendakwa menawarkannya menjadi saksi.

Pada 23 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap tiga lelaki terbabit selepas sebulat suara menolak rayuan akhir mereka.

Polis sahkan kematian mangsa kedua keropok beracun


KULIM: Polis mengesahkan seorang lagi mangsa yang makan keropok mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar Ahad lalu meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi, berkata kanak-kanak berusia dua tahun itu meninggal dunia pada jam 1.20 petang hari ini di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Beliau berkata, jenazah kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HPP untuk dibedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas makan keropok yang mengandungi racun tikus yang dipasang di dawar pagar dan bertujuan untuk mengusir kera liar di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Ahad lalu.

Muhammad Akil Syauqi, 3, dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, yang mengalami muntah dan menggelupur selain mulut berbuih dihantar ke Klinik Kesihatan Malau oleh ibunya, Nurain Hasnorizal, 25, dengan bantuan jiran mereka sebelum dipindahkan ke Hospital Kulim.

Bagaimanapun, mereka kemudian dihantar ke HPP selepas kritikal dan si abang disahkan meninggal dunia pada Rabu lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai pemilik kebun Rabu lalu dan direman selama enam hari untuk membantu siasatan.

 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...