PRESTASI membimbangkan terus dialami Sri Pahang FC selepas mereka tewas 0-2 di tangan Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Temerloh, Pahang pada Sabtu.
Fadhli Shas (kanan) cuba menyekat hantaran dibuat pemain Negeri Sembilan FC, Hein Htet Aung. — Facebook/Sri Pahang FC
Kealpaan benteng pertahanan menyaksikan pasukan pelawat berada di hadapan pada minit ke-24 menerusi R Barathkumar yang menampan masuk hantaran sepakan percuma Takumi Sasaki.
Tidak lama selepas itu, skuad bimbingan Fandi Ahmad dihidangkan peluang untuk mengikat kedudukan apabila kapten lawan, Nasrullah Hanif didapati menyekat hantaran Kpah Sherman menggunakan tangannya.
Namun, tekanan dialami pemain tengah, Stefano Brundo menyaksikannya gagal menyumbang jaringan buat skuad Tok Gajah apabila sepakannya jauh tersasar daripada gol.
Bersambung babak kedua, serangan demi serangan dilancarkan tuan rumah demi memburu jaringan penyamaan yang sekali gus dapat membantu menamatkan rentetan kekalahan dialami.
Tetapi, kecekapan penjaga gol Negeri Sembilan FC, Aqil Abdul Razak menyaksikan jentera serangan skuad Tok Gajah hampa meskipun kesebelasan utama terbaik diturunkan.
Malang berganda buat Sri Pahang FC apabila pasukan bimbingan Azzmi Aziz menggandakan kelebihan selepas Sasaki menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti.
Semakan video bantuan pengadil (VAR) menyaksikan kapten tuan rumah, Fadhli Shas melakukan kekasaran ke atas Hein Htet Aung ketika melakukan percubaan, sekali gus memaksa pengadil, Suhaizi Shukri menghadiahkan sepakan itu.
Keputusan 2-0 kekal berpihak kepada Negeri Sembilan FC yang merekodkan kemenangan pertama dalam Liga Super selepas mengharungi empat perlawanan.
Bagi Sri Pahang FC pula, kekalahan itu menyaksikan mereka tergelincir ke kedudukan kesembilan dengan harapan mereka untuk terus mendaki carta semakin sukar.
No comments:
Post a Comment