Wednesday, June 26, 2024

Dua suspek dipercayai rancang lakukan jenayah sebelum ditembak mati - Polis

 

GEORGETOWN: Polis percaya dua penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan di sini, pagi tadi, merancang melakukan jenayah.

Kedua-dua suspek berusia 41 dan 51 tahun itu masing-masing didapati mempunyai sebanyak 12 dan 13 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.05 pagi, kedua-duanya yang menaiki kereta Perodua Myvi dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Pokok Sena-Jalan Permatang Baru, Sungai Dua, Butterworth di sini.

Katanya, sepasukan polis dari Bahagian Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kemudian menghampiri suspek dan mengarahkan supaya memberhentikan kenderaan bagi diperiksa.

 "Pemandunya bertindak memecut melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

"Polis turut mengejar kenderaan yang dinaiki suspek sejauh kira-kira dua kilometer sebelum terbabas," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, ketika mahu membuat pemeriksaan, suspek sekali lagi melepaskan beberapa tembakan ke arah pasukan polis.

Katanya, polis turut melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri namun setelah reda, pemeriksaan dijalankan dan didapati kedua-dua suspek telah tumpas.

"Kedua-duanya adalah rakan sejenayah berasal dari Pulau Pinang dan polis masih menyiasat sama ada mereka menganggotai kongsi gelap atau sebagainya.

"Turut dirampas ialah dua senjata api bersama 176 peluru.

"Kita percaya sebelum kejadian, mereka ke arah melakukan jenayah seperti rompakan dan sebagainya," katanya lagi.

Hamzah berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya.

Terdahulu Media melaporkan mengenai kejadian yang mana kedua-dua suspek didapati berlumuran darah dan meninggal dunia di lokasi selepas berbalas tembakan dengan polis.

No comments:

Post a Comment

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...