JOHOR BAHRU: Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini, hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadap peniaga yang membunuh pelancong warga Perancis pada Mei 2011.
Mahkamah kemudian menggantikan hukuman itu dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan bermula dari tarikh tertuduh, Asni Omar, 49, ditahan pada 21 Julai 2011.
Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.
Sebelum ini, Asni didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Stephanie Foray yang ketika itu berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Tekek, Pulau Tioman, antara jam 8 malam, 10 Mei 2011 hingga waktu tengah hari, 12 Mei 2011.
Difahamkan, mayat Stephanie yang ditanam dalam sebuah gua di Pulau Tioman kemudian dijumpai kira-kira tiga bulan kemudian.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam, Kee Wie Lon dan Ee Gen You.
Pada 16 Ogos 2016, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman mati ke atas Asni selepas rayuan akhirnya ditolak panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria.
Arifin bersama empat lagi hakim yang bersidang dalam panel terbabit iaitu Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali; Tan Sri Abu Samah Nordin; Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan berkenaan.
No comments:
Post a Comment