ABANG kepada wanita berasal dari Miri, Sarawakyang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu meluahkan harapan agar adiknya ditemui beberapa jam sebelum menerima berita kematian mangsa pada Isnin.
Wanita Miri yang dilaporkan hilang ditemukan maut di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, Selangor pada Isnin. — Polis
Menerusi hantaran di Facebook, Mohd Farizza Azmi masih mengharapkan adiknya ditemui dalam keadaan selamat.
"Aku harap adik aku kembali dalam keadaan selamat. Jangan berhenti posting berkenaan adik aku. Dan jangan pernah berhenti mendoakan adik aku," tulisnya pada Isnin.
Hantarannya itu turut menerima ucapan takziah daripada orang awam yang bersimpati terhadap kejadian tragis yang menimpa adiknya itu.
Sementara itu, pihak keluarga yang dihubungi Majoriti memaklumkan masih belum menerima laporan polis berhubung perkhabaran duka tersebut.
Malah, mereka juga memberitahu yang pihak keluarga belum dimaklumkan andai mayat yang ditemui polis itu adalah Nur Farah Kartini.
Ketika ditanya lebih lanjut, pihak keluarga juga meminta ruang dan enggan mengulas lanjut kerana masih tidak dapat memastikan bahawa mayat mangsa adalah Nur Farah Kartini.
Terdahulu, wanita tersebut dilaporkan ditemukan mati di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, Selangor pada Isnin.
Mangsa, Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu lalu.
Mangsa juga difahamkan, bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta.
Polis sebelum ini merakam keterangan tujuh individu yang dapat membantu siasatan kes kehilangan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang.
No comments:
Post a Comment