SEORANG lelaki warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya melanggar pembahagi jalan dan belakang lori yang diletakkan di bahu Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu, Sabah sebelum terbabas ke dalam parit, pada Ahad.
Mangsa diusung keluar dari kereta oleh pihak bomba. — Facebook
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, dalam kejadian pukul 5.04 pagi itu, mangsa seorang warga asing berusia 67 tahun dari arah Tungku cuba memotong sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), namun mangsa terlanggar pembahagi jalan.
"Kenderaan mangsa hilang kawalan lalu melanggar belakang lori yang berada di bahu kiri jalan dan terbabas ke dalam parit. Akibat kemalangan itu, pemandu pacuan empat roda berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan berharap saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, Inspektor Mohammad Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke balai polis bagi membantu siasatan.
Dzulbaharin turut menasihatkan pemilik dan pemandu kenderaan perdagangan agar tidak meletakkan lori di bahu jalan tanpa meletakkan sebarang tanda amaran kerana boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
No comments:
Post a Comment