KUALA LUMPUR:Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dijangka dilaksanakan secara berperingkat dan terukur bagi mengurangkan potensi kejutan kepada pengguna dan ekonomi, kata penganalisis.
RON95
Penganalisis TA Securities, Farid Burhanuddin, berkata semua perhatian kini tertumpu kepada rasionalisasi subsidi RON95, yang pihaknya percaya akan dilaksanakan dalam tahun ini juga.
Beliau berkata, pihaknya berpandangan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 berkemungkinan besar dilaksanakan melalui pendekatan berperingkat dan terukur untuk meminimumkan potensi kejutan kepada ekonomi dan pengguna.
"Pelaksanaan yang teliti ini bertujuan mengimbangi kemampanan fiskal dengan keperluan mengurangkan kesan ke atas belanjawan isi rumah dan kestabilan ekonomi keseluruhan," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Farid berkata, menurut Bank Negara Malaysia (BNM), tekanan inflasi pada separuh kedua tahun ini berkemungkinan meningkat.
Namun, beliau berkata, kejutan itu mungkin terurus berikutan usaha kerajaan dalam menangani potensi kenaikan harga.
Katanya, langkah itu bertujuan untuk mengurangkan kesan ke atas pengguna dan mengekalkan kestabilan ekonomi.
Mengulas lanjut, Farid berkata, inflasi keseluruhan dan teras berpurata sekitar 1.8 peratus dalam tempoh lima bulan tahun ini.
Beliau berkata, seperti yang dijangkakan, inflasi akan meningkat pada separuh kedua 2024, di tengah-tengah rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, katanya, kenaikan inflasi akan kekal terkawal memandangkan langkah mitigasi untuk meminimumkan kesan kos ke atas perniagaan.
"Melangkah ke hadapan, risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan selanjutnya langkah dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga kepada arah aliran harga yang lebih luas, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan.
"Bagi tahun ini secara keseluruhan, inflasi utama dan teras dijangka berpurata dalam julat unjuran awal masing-masing 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus," katanya.
No comments:
Post a Comment