SEREMBAN: Seorang lelaki yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau, sekali lagi diberkas selepas cuba meragut beg silang dibawa seorang penunggang motosikal di sebuah kawasan perumahan di Sikamat, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dibantu orang awam yang mendengar jeritannya sebelum suspek berusia 46 tahun berjaya ditahan dan diserahkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata insiden berlaku ketika mangsa lelaki berumur 39 tahun dikatakan sedang menunggang motosikal dan didatangi suspek yang juga menunggang motosikal lalu cuba meragut beg silangnya.
"Berikutan itu, mangsa dipercayai menjerit meminta tolong sambil cuba menghalang tindakan suspek sehingga berlaku pergelutan antara kedua-duanya.
"Hasil bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian, suspek berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis," katanya.
Beliau berkata, suspek didapati adalah penduduk tempatan serta mempunyai 13 rekod lampau membabitkan jenayah samun, mendatangkan kecederaan, perbuatan khianat dan dadah.
"Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan. Dengan tertangkapnya lelaki itu, pihak polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes ragut sebelum ini yang menyasarkan mangsa sedang berjalan dan menunggang motosikal di sekitar kawasan daerah Seremban," katanya. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment