Saturday, July 13, 2024

Pekerja ladang maut ditetak rakan ketika mabuk


SANDAKAN: Angkara mabuk, seorang pekerja ladang warga asing maut ditetak rakannya sendiri dalam kejadian di rumah kongsi pekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Segaliud, di sini, Rabu lalu.

Mayat lelaki berusia 43 tahun itu ditemukan di belakang rumah kongsi pekerja di ladang berkenaan oleh pekerja, kira-kira jam 6 pagi, Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy, berkata sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, hasil siasatan mendapati mayat terbabit adalah warga asing telah dibunuh dengan kesan tetakan di bahagian belakang kepala dan leher.

"Siasatan awal mendapati pada 10 Julai lalu, mangsa yang juga pekerja ladang sawit bersebelahan datang ke rumah kawannya di tempat kejadian dipercayai untuk minum minuman keras.

"Dipercayai ketika mangsa minum bersama rakan-rakannya, mangsa telah ditetak oleh salah seorang rakannya dengan menggunakan senjata tajam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ramasamy berkata, sejurus kejadian berlaku, suspek yang juga seorang lelaki warga asing melarikan diri dan usaha sedang giat dilaksanakan oleh polis bagi mengesan dan menangkap suspek.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian juga mendapati mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan hanya disedari oleh pekerja ladang pada keesokan paginya.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

No comments:

Post a Comment

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...