SEREMBAN: Pembantu ladang dijatuhi hukuman gantung di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh adik lelaki kandungnya, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap K Paramasivam, 49, selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan suatu kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari di sebuah ladang kelapa sawit dekat Rantau, di sini, pada Jun 2020.
Terdahulu, Peguam Raftfizi Zainal Abidin yang mewakili tertuduh merayu hukuman penjara 30 ke 40 tahun kerana mangsa dalam kes berkenaan adalah adiknya sendiri dan tertuduh tiada niat untuk membunuhnya.
Beliau berkata, ketika kejadian tertuduh mengaku dalam keadaan mabuk dan kejadian berlaku dengan pantas, selain memohon mahkamah mengambil kira tertuduh tiada rekod jenayah.
Raftfizi turut berhujah tempoh penjara maksimum selama 40 tahun memberi pengajaran kepada tertuduh dan jika dibebaskan kelak, tertuduh sudah berusia lebih 80 tahun.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Alauddin Baharom, mencadangkan hukuman gantung dikenakan terhadap tertuduh kerana berdasarkan fakta kejadian, tertuduh memanggil adiknya ke ladang kelapa sawit dengan menggunakan alasan petrol.
Tambahnya, tertuduh memang berniat dan merancang membunuh adiknya, selain mengambil kira 13 kecederaan pada keseluruhan badan yang dianggap kejam.
Malah katanya, mayat si mati dibiarkan sehingga berulat di ladang kelapa sawit berkenaan sebelum dijumpai orang awam.
No comments:
Post a Comment