Wednesday, July 10, 2024

Keropok beracun: Pekebun direman enam hari


KULIM: Seorang lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus, di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.

Kejadian pada Isnin lalu, menyebabkan seorang mangsa yang berusia tiga tahun meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas tiga hari bertarung nyawa.

Permohonan reman terhadap lelaki yang juga pemilik kebun berusia 33 tahun itu dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Mirza Mohamad bermula hari ini hingga 17 Julai.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 membabitkan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu cuai cuai membabitkan bahan beracun.

Pagi semalam, seorang daripada dua beradik yang termakan keropok disyaki bercampur racun tikus itu meninggal dunia.

Jenazah Muhammad Akil Syauqi, 3, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling pada jam9.45 malam tadi.

Adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, dilaporkan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Terdahulu, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas termakan keropok disyaki bercampur racun tikus yang digantung di pagar dawai besi dekat kebun tidak jauh dari rumah mereka.

Perbuatan itu dilakukan pemilik kebun dipercayai bagi tujuan menghalau kera yang berkeliaran dan mengganggu tanaman yang diusahakan mereka.


 

Dua mayat wanita sudah kembung, berbau dalam kereta


BUKIT MERTAJAM: Dua mayat wanita ditemui dalam keadaan sudah kembung dan berbau busuk di dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran taman perumahan di Taman Sri Rambai, di sini, semalam.

Mayat berkenaan ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 5.30 petang sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan meminta bantuan membuka pintu kereta terkunci.

"Pasukan penyelamat yang lengkap dengan pakaian PPE (pakaian perlindungan diri) membuka pintu kereta yang terkunci menggunakan peralatan khas.

"Terdapat dua mayat perempuan dewasa berada di tempat duduk hadapan kereta berkenaan yang kemudian pihak kita menyerahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

Difahamkan, dua wanita dipercayai berusia lingkungan 20-an berkemungkinan sudah meninggal dunia lebih lima hari susulan mayat mereka sudah kembung dan berbau busuk.

Seorang daripada mangsa dipercayai berasal dari Negeri Sembilan namun identiti kedua-duanya belum dapat disahkan buat masa ini.

Mayat kedua-dua wanita terbabit dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk proses bedah siasat.

Pasangan 'influencer' sudah kutip derma RM3 juta sejak 2020

 PASANGAN suami isteri yang juga pempengaruh direman selama empat hari bermula Khamis kerana disyaki menyeleweng dana kutipan derma sejak 2020.


Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis bagi membantu siasatan kes menyeleweng kutipan derma. — The Star


Pasangan tersebut dipercayai sudah mengutip derma dianggarkan mencecah RM3 juta dalam tempoh tersebut.

Pada masa sama, dua suspek lain turut ditahan bersama pasangan suami isteri itu kerana disyaki terbabit dalam kes sama.

Media sebelum ini melaporkan bahawa suspek yang juga ahli perniagaan tudung terbabit ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 6.40 petang Rabu.


Pasangan itu ditahan reman bagi membantu siasatan selepas membuat kutipan derma melebihi jutaan ringgit. — The Star


Lelaki berusia 30 tahun itu dan isterinya, 26, bagaimanapun ditahan bagi membantu siasatan selepas membuat kutipan derma melebihi jutaan ringgit, namun difahamkan wang itu tidak disalurkan secara betul.

Kedua-dua individu berkenaan yang memakai baju lokap berwarna oren kelihatan sangat tenang dan sempat melemparkan senyuman kepada orang ramai dalam keadaan bergari.

Sementara itu, perintah tahanan reman sehingga Ahad ini terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan SPRM.

Tempoh reman itu diperoleh bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. — The Star/MARTIN CARVALHO

Disyaki meninggal lebih 5 hari, mayat 2 wanita membusuk dalam kereta di Bukit Mertajam angkara terhidu gas helium

 DUA mayat wanita ditemui dalam sebuah kereta yang diletakkan dekat tepi jalan di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Khamis.


Dua mayat ditemui dalam kereta di Pulau Pinang. — PDRM

Kereta yang diletakkan di tepi jalan kawasan perumahan itu disedari oleh penduduk sekitar lalu mereka membuat aduan kepada pihak berkuasa sekitar 5.30 petang.

Kedua-dua mayat itu dipercayai merupakan wanita berusia dalam lingkungan 20-an dan berkemungkinan sudah meninggal dunia lebih lima hari.


Mayat mangsa dikeluarkan pasukan keselamatan. — Facebook


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihak mereka ke lokasi kejadian untuk membuka pintu kereta yang terkunci itu selepas menerima aduan daripada pihak awam.

"Sebaik tiba pasukan penyelamat yang lengkap dengan pemakaian PPE (pakaian perlindungan diri), mereka berjaya membuka pintu kereta yang terkunci menggunakan peralatan khas.

"Terdapat dua mayat perempuan dewasa berada di tempat duduk hadapan kereta berkenaan yang kemudian pihak kita menyerahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya," kata pihak bomba.

Kedua-dua mayat tersebut didapati sudah kembung dan berbau busuk. Mayat tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

Sementara itu, polis mengesahkan punca kematian dua wanita yang ditemui meninggal dunia dalam kereta itu akibat lemas terhidu gas helium.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, salah satu identiti mayat tersebut dikenal pasti berasal dari Negeri Sembilan sementara satu lagi tidak dapat disahkan.

"Ia berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas dua mayat mangsa oleh Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Suspek cuba langgar polis ditahan



BAYAN LEPAS: Polis terpaksa melepas tembakan terhadap kenderaan dipandu seorang lelaki selepas suspek cuba melanggar anggota penguat kuasa di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, pada 7 Julai 2024.

Kejadian jam 8 pagi itu berlaku ketika sepasukan polis cawangan trafik menjalankan Op Perdagangan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata sebelum itu pihaknya mengesan sebuah van dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, polis kemudian mengejar kenderaan itu sejauh lima kilometer sehingga ke Jalan Datuk Ismail Hashim.

 "Polis terpaksa melepaskan satu tembakan ke arah tayar hadapan van apabila suspek cuba melanggar anggota sebelum kenderaan itu terbabas di bahu jalan.

"Susulan itu, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, dalam kejadian itu, turut berlaku kemalangan antara van dipandu suspek dengan kenderaan lain yang diparkir di bahu jalan.

"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu.

"Pemeriksaan rekod lampau mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing didapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, suspek juga mempunyai rekod dikehendaki bersabit kes mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya pada 2023.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepas tembakan di tempat awam," katanya.

Tuesday, July 9, 2024

Polis berkata tiada maklumat terkini mengenai siasatan serangan asid Faisal Halim


JOHOR BAHRU, 9 JULAI: Polis belum mendapat perkembangan baharu berhubung serangan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan dan pemain Selangor FC Faisal Halim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mereka tidak akan berhenti menyiasat.

“Tiada perkembangan baharu … tetapi tiada kemas kini tidak bermakna kami berhenti menyiasat.

“Dengan komitmen pegawai saya dalam kes-kes lain, kita tidak pernah berhenti (menyiasat), cuma perkembangan itu tidak diharapkan orang ramai, jadi buat masa ini kita bergantung kepada risikan (himpunan),” katanya semasa sidang media bersama antara Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Singapura di Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Faisal, 26, disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada 5 Mei lepas, menyebabkan dia melecur tahap empat di beberapa bahagian badan. — Bernama

Tiga cedera ditembak, polis tahan tiga suspek


KUCHING: Polis Padawan menahan tiga lelaki kerana disyaki terbabit dalam kes tembakan yang berlaku di belakang pasar raya di Batu 19, Jalan Kuching-Serian, di sini, sehingga mencederakan tiga mangsa semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Mohd Radzi, berkata ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 23 hingga 26 tahun.

Beliau berkata, semua suspek ditahan di kawasan Batu 17 dan Batu 18, Jalan Kuching-Serian antara jam 8 hingga 11 malam tadi.

"Semua suspek direman tujuh hari hingga 16 Julai ini bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian tembakan itu dipercayai menggunakan senapang patah yang berlaku awal pagi semalam, mencederakan tiga lelaki berusia 24 hingga 25 tahun.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.57 pagi daripada seorang lelaki berusia 26 tahun yang memaklumkan tiga rakannya terkena tembakan.

Semua mangsa yang terkena tembakan pada bahagian anggota badan menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan keadaan mereka dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).


 

Monday, July 8, 2024

Faisal Halim sudah mula jalani latihan


PEMAIN sensasi Selangor FC (SFC), Faisal Halim sudah melaporkan diri ke Pusat Latihan SFC di Shah Alam sejak minggu lalu, tetapi hanya menjalani latihan ringan di gimnasium.

Perkembangan itu dikongsi oleh jurulatih Gergasi Merah, Nidzam Jamil yang melihat Faisal semakin menunjukkan reaksi positif meskipun belum pulih daripada kecederaan yang dialami.

Menurut Nidzam, pegawai perubatan pasukan dan fisioterapi berusaha keras untuk memastikan pemain berusia 26 tahun itu dapat kembali cergas seperti sediakala.

“Dia masih lagi belum pulih, namun dia sudah melakukan latihan-latihan ringan termasuk sesi rehabilitasi bersama pegawai perubatan dan fisioterapi pasukan.

“Pegawai pasukan sangat bekerja keras untuk memastikan Faisal kembali pulih. Cuma, kami tidak mahu terlalu terburu-buru dengan (situasi) Faisal (untuk kembali),” kata Nidzam.

Pengurusan Selangor FC sebelum ini menjangka pemain yang mesra dengan panggilan Miki itu akan kembali melakukan latihan di atas padang pada penghujung bulan ini.

Sebagai rekod, pemain sayap berasal dari Mengkuang Titi itu menjadi mangsa simbah asid pada 5 Mei lalu oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di Damansara.

Faisal pada awalnya dilaporkan kritikal kerana mengalami kecederaan lecur tahap empat telah menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital pada 25 Mei lepas.

Tonggak Harimau Malaya itu sudah membuat kemunculan pertama di khalayak umum menerusi sidang media khas pada 13 Jun lepas selain sempat turun menyaksikan skuad Merah Kuning beraksi di Stadium MBPJ baru-baru ini.

 

Sunday, July 7, 2024

Pelakon disiasat tumbuk teman wanita


PETALING JAYA: Seorang pelakon disiasat dipercayai menumbuk teman wanitanya di Ara Damansara, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, laporan kejadian itu dibuat mangsa pada jam 6 petang di Balai Polis Sea Park.

Katanya, dalam kejadian itu, mangsa berusia 25 tahun keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

"Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara kira-kira jam 4 pagi," katanya pada Isnin.

Beliau berkata, sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.

Tambahnya, tiba-tiba teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.

"Siasatan masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian.

Tujuh pengawal kawal rapi keluarga Faisal Halim di MBPJ


Kehadiran bintang Selangor, Faisal Halim, mencuri perhatian penyokong bola sepak The Red Giants di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malah dia dan keluarganya dilihat dikawal rapi sekurang-kurangnya tujuh pengawal.

Ini berikutan dia berada dalam penjagaan rapi selepas insiden disimbah asid bulan lalu ketika berada di sebuah pusat beli belah di Damansara.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu dikhabarkan sudah mula turun ke padang walaupun masih berada dalam fasa pemulihan.

Dia berada di tempat duduk penonton bagi menyaksikan perlawanan Selangor yang berjaya membenam Kuching City 5-3 melalui sepakan penentuan penalti dalam saingan suku akhir kedua Piala FA Malaysia 2024/2025, malam tadi.


 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...