Friday, July 12, 2024

Kerajaan tak kosongkan kerusi sebab takut kalah PRK lagi, dakwa Muhyiddin

 PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Muhyiddin Yasin mendakwa kerajaan enggan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Dewan Rakyat yang disandang bekas ahli parti itu kerana takut kalah dalam pilihan raya lagi.


Muhyiddin mengatakan Kerajaan Perpaduan sudah tidak memiliki sokongan daripada rakyat.


Menurut laporan MalaysiaKini, dalam ucapannya pada konvensyen parti itu pada Sabtu, Ahli Parlimen Pagoh tersebut berkata, pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap baru-baru ini adalah bukti bahawa terdapat peningkatan sokongan terhadap gabungan Perikatan Nasional (PN).

"Walaupun mereka berkuasa, mereka sebenarnya lemah, amat lemah. Saya tidak pernah lihat dalam sejarah politik saya parti kerajaan boleh kalah dengan begitu teruk dalam sebuah PRK. Dengan segala kuasa yang ada pada mereka, aneh mereka kecundang sebegitu rupa.

"Kerana itulah mereka takut hendak mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN yang disandang bekas ahli-ahli BERSATU yang berpaling tadah walaupun tindakan itu bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

"Mereka sanggup langgar peruntukan perlembagaan yang mereka sendiri perjuangkan dan gubal kerana takut kalah," katanya.

Muhyiddin yang merupakan bekas Perdana Menteri menyampaikan ucapan pelancarannya pada konvensyen khas yang diadakan di Selayang, Selangor.

Ia diadakan sebagai sesi menghuraikan dan menyemai idealisme dan prinsip BERSATU kepada ahli parti.

Dalam ucapannya, Muhyiddin mendakwa rakyat sudah muak dengan kerajaan dan dengan itu, mula mengalihkan sokongan kepada PN.

Menurutnya, ini terbukti pada PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang yang menyaksikan PN berjaya mengekalkan kerusi itu dengan majoriti lebih besar

Penjual putu mayam 'famous' di Kepong maut kemalangan jalan raya

 SEORANG penjual makanan putu mayam di Kepong, Kuala Lumpur dilaporkan maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada pagi Selasa.


Manikandan (kiri) terkenal dalam kalangan penduduk di Kepong sebagai penjual putu mayam.


Berita pemergian mendiang, Manikandan Krishnamoorthy yang baru berusia 41 tahun itu itu tular selepas ia dikongsikan di media sosial termasuk di Group Facebook komuniti Kepong.

Menerusi perkongsian tersebut, rata-rata pengguna yang terdiri daripada pelbagai kaum melahirkan perasaan terkejut dan sedih terhadap perkhabaran tersebut.

Malah di ruangan komen, terdapat banyak pesanan dikongsikan mengenai kebaikan dan kemesraan ditunjukkan oleh mendiang ketika dia meniaga dan menyediakan makanan kepada orang ramai dengan menggunakan motosikal.

"Kami akan sentiasa mengingati kebaikan anda," tulis Woody Sum PY yang turut berkongsikan foto memaparkan mendiang yang kelihatan gembira ketika berjualan putu mayam.

"Kenapa berita ini berlaku secara tiba-tiba. Saya rasa sangat sedih. Dia adalah seorang yang sangat rajin dan peramah. Dia menjual dari pagi sampai malam. Dia juga pernah belanja karipap kari," kata Rose Tan.

"Dia sudah menjadi rakan saya dan menyediakan putu mayam selama 15 tahun," ujar Joey Joey.

"Saya melihat dia bekerja setiap hari. Pagi di Pasar Kepong dan petang di restoran merata-rata. Terima kasih atas kerja keras abang," tulis Xiao Qi.

Setakat laporan ini ditulis, perkongsian mengenai pemergian mendiang di dalam Group Facebook berkenaan mendapat lebih 1,700 komen dan 1,300 perkongsian.

Difahamkan, kejadian kemalangan jalan raya yang menimpa mendiang berlaku ketika waktu pagi ketika dia hendak keluar untuk menjual putu mayam.

Video mengenai kemalangan terbabit turut tular yang memaparkan mangsa terbaring tidak jauh daripada motosikalnya.

Pada waktu kejadian, keadaan jalan berkenaan juga didapati gelap dengan lampu jalan dilihat tidak berfungsi.

Terdapat juga warganet yang berkongsikan keadaan di lokasi sewaktu kejadian.

"Kemalangan ini berlaku semasa saya hendak bertolak ke tempat kerja sekitar pukul 6 pagi tadi (Selasa). Tiba-tiba, ketiga-tiga lorong lebuh raya mengalami kecemasan. Saya tidak tahu apa yang berlaku. Selepas itu saya nampak ada motor jatuh dekat lorong tengah, dan lihat ada orang ada orang jatuh di tepi lorong kanan. Saya juga boleh melihat putu mayam berterabur di atas jalan raya," tulis Cassie.

Netizen turut mempersoalkan mengenai keadaan jalan raya berkenaan yang gelap dan berkemungkinan menjadi punca kepada kemalangan berkenaan.

Acara penghormatan terakhir bagi mendiang Manikandan yang tinggal di Taman Desa Jaya, Kuala Lumpur dilaporkan diadakan di Batu Caves Selangor pada Jumaat. 

Tragedi keropok beracun: Ia adalah 'wake-up call' - Dr Dzulkefly

KANGAR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP), terutama dalam penjualan dan penggunaan racun berbahaya.

-ADVERTISEMENT-

 Dr Dzulkefly mengadakan Program ‘Walkabout’ Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Kompleks Komalaut 2, Kuala Perlis, hari ini. - NSTP/AIZAT SHARIF


la susulan insiden dua beradik, Muhammad Akil

Syauqi, 3, serta Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia masing-masing pada Rabu lalu dan semalam selepas memakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim, Kedah, Ahad lalu.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyifatkan kejadian itu sebagai satu peringatan kepada pihaknya, terutama penguat kuasa KKM, dalam meneliti semula peraturan dari segi SOP pengendalian racun berbahaya.

"Itu adalah satu perkara yang saya perlu susuli selepas ini kerana kita tahu bahawa racun berkenaan memang 'fatal' atau berbahaya kerana mempunyai ketoksikan sangat tinggi sehingga boleh membawa maut.

"Malah, kejadian seperti ini memberi peringatan kepada kami (KKM) khususnya penguat kuasa akan peraturan dari segi SOP, dan juga (mereka) yang menggunakan (racun).

"Ia adalah 'wake-up call'. Meskipun sudah ada peraturan atau SOP ketat dari segi penggunaan dan jualan racun berbahaya, kita perlu menguatkuasakannya dengan lebih efektif, terutama dengan kolaborasi agensi lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Program 'Walkabout' Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Kompleks Komalaut 2, Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, dua beradik itu kritikal selepas memakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim

Makanan ringan berkenaan didakwa digantung pada pagar dawai dipasang oleh pemilik kebun, dipercayai untuk tujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman. Difahamkan, lokasi kejadian itu terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

Kelmarin, media melaporkan seorang lelaki direman enam hari hingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan kes itu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly mengesahkan pasukan KKM telah menemui dan mengambil peket kecil dipercayai mengandungi racun tikus di kawasan rumah jiran dua beradik itu yang juga pemilik kebun di Kampung Padang Ubi, ketika melakukan pemeriksaan pada Rabu lalu.

"KKM memang ada membantu dalam siasatan kes itu. Sampel sudah diambil, namun kita menyerahkan siasatan itu kepada pihak polis. Punca keracunan masih dalam siasatan polis.

"Kami tidak dapat memberikan apa juga perkembangan atau kemas kini maklumat kecuali setelah polis memberikan satu perkembangan laporan yang terkini (kepada KKM)," katanya sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Alif Teega dan Aisyah Hijanah direman 4 hari, bantu siasatan SPRM dakwaan salah guna kuasa

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pasangan suami isteri pempengaruh yang tular berhubung kes derma kekal direman selama empat hari selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menolak permohonan mereka untuk mengetepikan perintah reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.


Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis . Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB



Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan yang dibuat Mohd Hazalif atau lebih dikenali sebagai Alif Teega dan isterinya itu selaku pemohon.

Ketika membaca keputusan, beliau berkata, Majistret Putrajaya telah mematuhi peruntukan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam membenarkan permohonan reman yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Isu tiada kaitan antara pemohon dengan kesalahan yang disiasat tidak mempunyai merit.
merit.


"Sebarang kesalahan yang dilakukan pemohon-pemohon, jika ada, hanya boleh ditentukan selepas siasatan selesai, justeru itu pemohan semakan ini ditolak,” katanya.

Hakim ini berkata, SPRM seharusnya dibenarkan untuk melengkapkan siasatan mereka terhadap dua pemohon ini maka perintah reman oleh Majistret terhadap mereka adalah sah.

Semasa hujahan, peguam, Abd Rahim Ali yang mewakili kedua-dua pemohon itu berkata, permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya, mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, iaitu membabitkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Beliau berkata, seksyen itu menyentuh kes bagi mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutu, melakukan suatu kesalahan.

"Alif Teega dan Aisyah Hijanah ditahan bukan membabitkan penyelewengan kutipan bantuan, namun SPRM menggunakan permohonan reman mengikut Seksyen 23 (1) akta itu terhadap anak guam saya.

"Jadi, kami membuat bantahan, sebab tak kena dengan seksyen yang dimohon oleh SPRM, hakikatnya mereka bukan seorang penjawat awam,” katanya yang turut disertai peguam, Abi Mursyidin Awal dan Fithril Hakim Ab Jalil.

Menurutnya, Alif Teega dan Aisyah Hijanah tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana badan awam seperti yang tertakluk dalam Seksyen 3 Akta SPRM, iaitu akta yang membolehkan mereka disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama.

"Pemegang saham dalam syarikat Hijanah Haul Holdings Sdn Bhd hanyalah Orang yang disiasat (OYDS) pertama dan kedua.

"Ahli-ahli dalam syarikat itu juga bukanlah pegawai badan awam dan pihak kami berhujah tiada kaitan antara kedua-dua suspek dan kesalahan yang disyaki.

"Oleh kerana tidak terdapat sebarang kaitan, maka perintah reman yg diberikan Mahkamah Majistret hendaklah diketepikan," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, permohonan reman bukan suatu subjek yang perlu dibincangkan sekarang.

Menurutnya, permohonan semakan ini adalah pramatang kerana tiada apa-apa asas untuk mengatakan siasatan telah selesai dan tiada kesalahan di bawah seksyen tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, permohonan reman bukan suatu subjek yang perlu dibincangkan sekarang.

Menurutnya, permohonan semakan ini adalah pramatang kerana tiada apa-apa asas untuk mengatakan siasatan telah selesai dan tiada kesalahan di bawah seksyen tersebut.

Beliau berkata, prosedur reman ini adalah penting untuk kedua-dua pemohon dalam membuktikan sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan atau sebaliknya.

"Jika kita menggunakan hujahan itu, maka mana-mana suspek tidak boleh direman untuk siasatan bagi sebarang kes.

"Siasatan perlu dibuat secara menyeluruh, maka mana-mana orang yang disyaki perlu ditangkap terlebih dahulu kemudian berlanjutan ke permohonan reman,” katanya.

Menurutnya, sudah menjadi amalan ketika siasatan dibuka, namun tidak semestinya mereka akan dituduh mengikut seksyen yang sama.

Bagaimanapun, Ahmad Akram berkata, masih terdapat beberapa program yang masih belum dikenal pasti untuk kutipan derma, malah mereka gagal mengemukakan transaksi kewangan bagi setiap program tersebut.

Pada Khamis, pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, tular berhubung isu derma, direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah, bermula 2022 lalu.

Kes bunuh Bakarudin Busu: 3 lelaki terlepas hukuman mati


KUALA LUMPUR: Tiga banduan akhir yang disabitkan membunuh pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Bakarudin Busu pada 22 tahun lalu, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan menggantikannya dengan hukuman penjara 38 tahun.

Mayat Bakarudin yang separuh rentung dijumpai dalam longkang di Subang Jaya, di mana bukti diperoleh menunjukkan mangsa ditendang, ditumbuk dan ditetak hingga mati sebelum mayatnya dibakar pada malam 12 Februari 2002.

Melalui keputusan pada 2 April lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Zabariah Mohd Yusof yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, membenarkan permohonan semakan ketiga-tiga pemohon untuk mengetepikan hukuman mati.

Mereka ialah bekas eksekutif jualan, Azizul Azual Jailani, 40 dan Sulkarnain Alias, 46, serta bekas pemandu forklif, Noorman Ab Wahab, 45.

Panel memerintahkan hukuman penjara terhadap Azizul Azual berkuatkuasa tarikh tangkap iaitu pada 17 Februari 2002, manakala Sulkarnain dan Noorman bermula 16 Februari 2002.

Bagaimanapun pada prosiding semakan itu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling membantah permohonan terbabit dengan alasan nyawa Bakarudin diragut dengan cara amat kejam, ngeri dan ganas apabila petrol digunakan sehingga menyebabkan 70 peratus tubuhnya terbakar sebelum ditinggalkan dalam parit.

May Ling dalam hujahannya berkata, perbuatan itu sudah dirancang terlebih dahulu apabila senjata dibawa bersama ketika ketiga-tiga pemohon bertemu dengan mangsa pada malam kejadian.

Beliau berkata, mangsa dipukul sebelum ditikam dan ditetak menggunakan pedang sehingga mengalami 13 kecederaan termasuk luka tetakan berukuran 14 sentimeter di kepala yang merosakkan otaknya.

Katanya, Azizul Azual (pemohon pertama) memainkan peranan penting kerana bertanggungjawab membawa senjata ke tempat kejadian dan individu pertama menyerang Bakarudin dengan menendangnya sehingga mangsa terjatuh.

"Sulkarnain (pemohon kedua) pula berperanan mengatur pertemuan dengan mangsa menerusi bantuan teman wanitanya. Dia mencekik leher mangsa, menetaknya beberapa kali, membakarnya menggunakan petrol dan mencuri dompetnya selain cuba mengeluarkan wangnya melalui mesin ATM.

"Noorman (pemohon ketiga) pula turut memainkan peranan dalam pembunuhan itu dengan meletak pedang di leher mangsa dan membantu membakarnya dengan petrol," katanya.

Sementara itu, peguam Abdul Rashid Ismail bagi pemohon pertama dan Datuk C Vignesh Kumar yang mewakili pemohon kedua dan ketiga, memohon mahkamah mempertimbang bahawa anak guam mereka adalah pesalah muda.

Mereka menghujahkan, mahkamah perlu mengambil kira faktor bahawa Bakarudin terlebih dahulu mengganggu teman wanita Sulkarnain berkali-kali menyebabkan lelaki itu mahu bersemuka dengan mangsa bagi menghentikan gangguan terhadap kekasihnya.

Menurut peguam, pembunuhan itu bukan dirancang, sebaliknya berlaku atas unsur provokatif kerana mangsa mengganggu teman wanita Sulkarnain dan langsung tidak berasa bersalah atau memohon maaf atas perbuatannya.

Sulkarnain, Noorman dan Azizul didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas tuduhan membunuh Bakarudin di Jalan SS19/6 di Subang Jaya, pada jam 9.30 malam, 12 Februari 2002.

Pada mulanya, empat orang menghadapi pertuduhan membunuh, tetapi Mahkamah Tinggi pada 2007 membebaskan tertuduh keempat yang juga bekas pelajar IKN, tanpa memanggilnya membela diri.

Bekas teman wanita Sulkarnain dan bekas pelajar UiTM, Siti Rahmah Azman Subramaniam juga menghadapi pertuduhan membunuh Bakarudin, tetapi dibebaskan tanpa dilepaskan daripada tuduhan itu pada 2003 selepas pihak pendakwa menawarkannya menjadi saksi.

Pada 23 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap tiga lelaki terbabit selepas sebulat suara menolak rayuan akhir mereka.

Polis sahkan kematian mangsa kedua keropok beracun


KULIM: Polis mengesahkan seorang lagi mangsa yang makan keropok mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar Ahad lalu meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi, berkata kanak-kanak berusia dua tahun itu meninggal dunia pada jam 1.20 petang hari ini di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Beliau berkata, jenazah kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HPP untuk dibedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas makan keropok yang mengandungi racun tikus yang dipasang di dawar pagar dan bertujuan untuk mengusir kera liar di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Ahad lalu.

Muhammad Akil Syauqi, 3, dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, yang mengalami muntah dan menggelupur selain mulut berbuih dihantar ke Klinik Kesihatan Malau oleh ibunya, Nurain Hasnorizal, 25, dengan bantuan jiran mereka sebelum dipindahkan ke Hospital Kulim.

Bagaimanapun, mereka kemudian dihantar ke HPP selepas kritikal dan si abang disahkan meninggal dunia pada Rabu lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai pemilik kebun Rabu lalu dan direman selama enam hari untuk membantu siasatan.

 

Thursday, July 11, 2024

Mayat terapung ditemui di perairan Port Dickson


PORT DICKSON, 13 JULAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan mengesahkan penemuan mayat terapung di sekitar perairan Port Dickson, di sini, petang semalam.

Pengarahnya, Kapten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, penemuan mayat itu dimaklumkan oleh pemancing jam 5.10 petang sebelum bot Maritim Malaysia Perkasa 37 dihantar ke lokasi terbabit.

"Anggota kami kemudian menemui mayat lelaki yang hanya berseluar panjang di kedudukan 2.2 batu nautika barat daya berhampiran Tanjung Tuan.

"Mayat tanpa identiti itu kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut," ujarnya.

 Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730.

Wanita parah kena hempap kayu balak tergolek: Polis sahkan pemandu lori tiada lesen memandu

 PEMANDU lori balak yang melanggar seorang wanita hingga menyebabkan kecederaan parah di Gua Musang, Kelantan sebenarnya tidak mempunyai lesen memandu, lapor Buletin TV3.


Siti Norelyana Kamarulzaman (gambar kecil) menjadi mangsa dilanggar lori balak di Kelantan.


Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, saman sudah dikeluarkan kepada pemilik lori itu keranan kesalahan tersebut.

Kejadian yang berlaku pada Selasa sekitar 11.20 pagi tersebut menyebabkan Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, cedera parah ketika sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerna memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan," kata Choon Foo.

Siti Norelyana mengalami kecederaan patah tulang punggung dan tulang rusuk akibat dihempap oleh kayu balak yang terjatuh daripada lori.

Dia yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dekat Bandar Utama Gua Musang turut cedera parah di hati, limpa, hempedu dan usus.

Kayu balak tersebut terpisah daripada lori akibat turn table sudah patah menyebabkan ia tergolek lalu menghempap mangsa.

Motosikal yang ditungganginya juga mengalami kerosakan teruk akibat kejadian tersebut.

Pekebun ada kaitan kes budak makan jajan beracun direman 6 hari bantu siasatan

SEORANG lelaki direman enam hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun termakan keropok mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kedah.


Suspek (kanan) ditahan reman selama enam hari. 


Permohonan tahanan reman itu disahkan oleh Hakim Mahkamah Seksyen, Mirza Mohamad bermula pada 11 hingga 17 Julai.


Akil Syauqi meninggal dunia akibat termakan keropok beracun. — Foto keluarga


Lelaki terbabit yang juga merupakan pemilik kebun itu ditahan selepas menyebabkan dua kanak-kanak, Muhammad Akil Syauqi, 3 dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, termakan keropok beracun dengan salah seorangnya sudah meninggal dunia.

Keropok beracun itu diletakkan oleh pekebun tersebut pada keropok sebagai salah satu cara menghalau kera yang sering masuk ke kawasan tanamannya.

Malangnya, keropok tersebut dimakan oleh dua kanak-kanak tersebut dan keracunan hingga perlu dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.

Akil Syauqi disahkan meninggal dunia pada Rabu dengan jenazahnya selamat dikebumikan dekat Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling pada 9.45 malam.

Sementara Luth Syauqi pula masih lagi bertarung nyawa dan masih mendapatkan rawatan di hospital.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta 611 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan (kelakuan cuai berkenaan benda beracun). — The Star

Polis sahkan dua wanita maut dalam kereta akibat lemas terhidu gas helium


BUKIT MERTAJAM: Polis mengesahkan punca kematian dua wanita yang ditemui meninggal dunia dalam kereta di Jalan Tembikai, di sini,semalam akibat lemas terhidu gas helium.

Ia berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas dua mayat mangsa oleh Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata terdahulu polis menerima maklumat awam berhubung terdapat dua individu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan.

"Hasil siasatan polis mendapati kedua-dua mangsa adalah warga tempatan berusia 25 dan 30 tahun.

"Ketika ditemui kedua-dua mereka terbaring dalam kereta terbabit dan disyaki telah meninggal dunia.

"Semasa pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata atau peralatan lain yang mengaitkan unsur-unsur jenayah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa adalah rakan karib dan laporan kehilangan mereka t dibuat oleh ahli keluarga pada 5 Julai lalu.

Kes diklasifikan sebagai mati mengejut (SDR).

Terdahulu, media melaporkan dua mayat wanita ditemui dalam keadaan sudah kembung dan berbau busuk di dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran taman perumahan, di sini, semalam.

Mayat berkenaan ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 5.30 petang sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Difahamkan, dua wanita dipercayai berusia lingkungan 20-an berkemungkinan sudah meninggal dunia lebih lima hari susulan mayat mereka sudah kembung dan berbau busuk.

Kedua-dua mangsa dipercayai berasal dari Negeri Sembilan dan datang ke Pulau Pinang untuk bercuti.

 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...