Tuesday, June 25, 2024

Leftenan kolonel, koperal tentera dituduh sorok bukti kes kemalangan maut


TAWAU: Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menyembunyikan bukti bagi melindungi barang kes kemalangan maut, Januari tahun lalu.

Tertuduh, Leftenan Kolonel Werar Suleiman Ali, 55, dan Koperal Muhammad Hafizuddin Ripin, 29, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan niat menyembunyikan bukti-bukti bagi melindungi barang kes atau bahan bukti kemalangan iaitu sebuah motosikal yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak berhampiran Batu 3 Jalan Apas, dekat sini, kira-kira 6 petang, pada 30 Januari 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan boleh juga dikenakan hukuman denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain bersama Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee, manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan Vivian Thien.

Hurman mencadangkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan penjamin tempatan yang mempunyai alamat tetap di daerah ini.

Bagaimanapun, kedua-dua peguam memohon ikat jamin lebih rendah kerana anak guam mereka adalah penjawat awam dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Selain itu, mereka bersedia memberi kerjasama untuk hadir pada tarikh perbicaraan yang akan ditetapkan oleh mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

'Tuduhan tidak bertanggungjawab', Bomba Johor sangkal dakwaan lewat tangani kebakaran motosikal di CIQ

 POLIS Johor mengesahkan kejadian kejadian tular melibatkan sebuah motosikal yang terbakar sepenuhnya di laluan motosikal Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru pada kira-kira pukul 1.00 tengah hari, 23 Jun lalu.



Tangkap layar daripada rakaman sebuah motosikal terbakar di CIQ dipercayai berlaku pada Ahad lalu.


Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata pihaknya turut menerima satu video tular di media sosial yang dimuat naik seorang pengguna Facebook memaparkan kejadian itu.


"Ketika kejadian, dua anggota trafik BSI yang sedang membuat rondaan, telah melihat asap tebal dan bergegas ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.


"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 1.45 petang. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya.


Dalam pada itu, JBPM menafikan dakwaan bahawa alat pemadam api dan hos air di lokasi berkenaan dikunci ketika kejadian.

Menerusi laporan New Straits Times pada Rabu, Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nandir turut menjelaskan bahawa pihanya menerima panggilan kecemasan pada 1.45 tengah hari dengan anggota bomba mengambil masa hanya tujuh minit untuk tiba di tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, api telah dipadamkan anggota RELA dan polis menggunakan alat pemadam api hos 100m dengan sumber air dari pili bomba berhampiran," katanya menerusi laporan pada Rabu.

Menurut Rohani, pihak JBPM kerap mengadakan latihan memadam kebakaran bersama kakitangan CIQ dan anggota RELA yang ditempatkan di CIQ BSI, dengan latihan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) terkini dijalankan kurang enam bulan lalu.

Dalam laporan sama, jurucakap RELA berkata, walaupun peranan utama agensi itu di BSI adalah kawalan lalu lintas, kakitangannya juga menerima latihan ERT.

Jurucakap itu juga menafikan dakwaan dibuat bahawa pegawai mereka tidak tahu mengenai keberadaan alat pemadam api di lokasi semasa kejadian dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.


Pada Selasa, seorang pengguna Facebook yang juga warga Singapura mendakwa pasukan kecemasan di kompleks terbabit lewat dan tidak cekap ketika mengendalikan insiden kebakaran melibatkan motosikal miliknya di lokasi. 

2 lelaki ditembak mati


BUTTERWORTH: Polis menembak mati dua penjenayah di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan, di sini, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Terdahulu, lelaki masing-masing berusia 41 dan 54 tahun yang menaiki Perodua Myvi itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di persimpangan Jalan Pokok Sena menghala Jalan Permatang Baru.

Berikutan itu, polis meminta pemandu kereta memberhentikan kenderaan, namun suspek enggan dan memecut laju sebelum bertindak melepaskan beberapa das tembakan.

Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri sebelum kedua-dua suspek didapati berlumuran darah dan meninggal dunia di lokasi.

Polis turut menemui dua pistol serta peluru di dalam kereta yang dinaiki suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Difahamkan, kedua-dua suspek berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya 12 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Sementara itu, Polis Pulau Pinang akan mengadakan satu sidang media berhubung insiden berkenaan dalam tempoh terdekat.


 

Saturday, June 22, 2024

SK Abaka di Tawau musnah terbakar, bomba ambil masa 50 minit padam api

 SEBUAH blok bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Abaka, Tawau, Sabah musnah dalam kejadian kebakaran tengah malam Sabtu.



Bangunan bilik darjah SK Abaka, Tawau musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam Sabtu. — Facebook


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.06 tengah malam, sebelum sepasukan 28 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.


Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, memusnahkan bangunan yang menempatkan bilik darjah tahap dua.


"Sebaik tiba, didapati kebakaran melibatkan satu blok sekolah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.


"Operasi memadamkan kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera sebelum api berjaya dikawal 50 minit kemudian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Jemishin berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 1.23 pagi dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.


Menurutnya lagi, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. 

Friday, June 21, 2024

Maut ditikam suami: 'Arwah pernah lapor polis, terima ugutan bunuh sejak setahun lalu'


IPOH: Wanita yang maut dipercayai ditikam suami dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Batu Gajah pada Khamis pernah mengadu telah beberapa kali menerima ugutan jenayah termasuk bunuh.

Abang mangsa, Syahiran Shaharun, 34, berkata, perkara itu dihadapi Allahyarham sejak lebih setahun lalu selepas mengambil keputusan untuk bercerai, namun tidak dipersetujui oleh suaminya.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, adiknya, Nisya Syahkila Shaharun, 32, bukan sahaja digantung tidak bertali, malah sering menerima panggilan telefon, WhatsApp dan pesanan suara daripada suaminya yang melemparkan kata berunsur ugutan.

"Perbuatan suaminya itu menyebabkan adik saya hidup dalam ketakutan sampai satu tahap dia bimbang dengan apa yang akan berlaku dan takut sekiranya mati dibunuh suami.

"Tak sangka, apa yang ditakuti adik itu benar-benar terjadi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada enam beradik ada membuat laporan polis beberapa kali sebelum ini kerana bimbang keselamatan diri.

Katanya, kali terakhir Allahyarham membuat laporan polis sekitar Mei lepas yang membawa kepada penahanan lelaki terbabit di Klang, Selangor, namun kes tidak dapat diteruskan kerana dikatakan tidak cukup bukti.

"Mereka berkahwin sekitar 2022 lalu dan itu merupakan perkahwinan kedua adik saya. Hasil perkahwinan pertama dahulu, adik saya dikurniakan anak lelaki yang kini berusia sembilan tahun.

"Sewaktu mereka tinggal bersama di Kedah, arwah adik juga mengadu dia dan anaknya pernah dipukul suami.

"Keluarga cuba mencari jalan penyelesaian terbaik, tetapi tidak berjaya menyebabkan arwah ambil keputusan pulang ke kampung dan tinggal bersama ibu bapa kami di Batu Gajah sementara suaminya berpindah ke Klang dan bekerja di sana," katanya.

Syahiran berkata, pada hari kejadian Khamis, Allahyarham dan suami sepatutnya hadir ke Mahkamah Syariah bagi prosiding permohonan tuntutan cerai secara fasakh.

Ujar beliau, Allahyarham bersikap berani berjumpa suaminya kerana menyangka lelaki itu mahu berbaik dan setuju menyelesaikan penceraian mereka dengan cara baik.

"Mak pada mulanya melarang adik bertemu lelaki itu, tetapi arwah yakinkan bahawa semuanya akan baik-baik sahaja, malah pada sebelah pagi, dia sempat menghantar anaknya ke sekolah menaiki motosikal sebelum kembali menemui lelaki itu.

"Mungkin adik fikir ini kali terakhir kerana suaminya sebelum ini enggan hadir ke mahkamah walaupun telah berkali-kali diminta berbuat demikian," katanya sambil memaklumkan suami arwah kurang bergaul dengan keluarganya.

Syahiran berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham, namun sedikit terkilan kerana kejadian seumpama itu boleh dielakkan berlaku.
"Kami baru kehilangan ayah Januari lepas dan kini berdepan dengan satu lagi kehilangan ahli keluarga.
"Arwah seorang anak dan kakak yang baik kepada adik-adiknya. Dia juga banyak melakukan perubahan diri ke arah kebaikan.
"Status terakhir arwah di telefon sekitar jam 7 pagi semalam pun berkongsi mengenai hal-hal kematian seolah-olah mengetahui bahawa dia akan pergi," katanya.
Allahyarham Nisya Syahkila dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor, Batu Gajah selepas solat Asar sebaik proses bedah siasat selesai.
Suami mangsa berusia 37 tahun telah pun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian itu, jasad mangsa ditemui dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata pisau.
Polis memaklumkan, suspek dan mangsa hadir ke hotel itu secara berasingan, namun menginap di bilik yang sama sehari sebelum kejadian.
Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh walaupun telah dipujuk.

 

Thursday, June 20, 2024

Suami bunuh isteri di hotel Batu Gajah kerana tuntut cerai direman 7 hari

 SEORANG lelaki yang bertindak membunuh isterinya di sebuah hotel di Batu Gajah, Perak pada Khamis direman selama tujuh hari bermula Jumaat sehingga 27 Jun.


Lokasi mangsa dibunuh oleh suaminya di Batu Gajah, Perak pada Khamis. — Facebook


Memetik laporan Berita Harian, permohonan reman dibenarkan Majistret, Azlin Zeti Zainal Abidin, selepas suspek berusia 36 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah pukul 8.33 pagi Jumaat.


Penganggur itu direman bagi membantu polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, suspek dilaporkan datang ke kaunter aduan Balai Polis Batu Gajah kira-kira pukul 2 petang untuk menyerah diri dengan memaklumkan dia sudah membunuh isterinya dalam bilik di hotel itu.


Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, suspek membunuh isterinya menggunakan pisau dan punca pembunuhan dipercayai akibat keretakan rumah tangga yang menghampiri perceraian.


Noor Aehawan berkata, motif suspek membunuh wanita berumur 32 tahun berkenaan, dipercayai kerana tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh. 

Wednesday, June 19, 2024

Keracunan makanan di Gombak: Kertas siasatan akan dirujuk kepada TPR

 POLIS akan merujuk kertas siasatan lengkap kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kes keracunan makanan yang menyebabkan dua kematian di Gombak, Selangor pada 10 Jun lalu



Hidangan yang merupakan bihun goreng dan telur mata disyaki punca utama keracunan makanan dialami beberapa pengunjung majlis. — Gambar hiasan


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tindakan itu akan diambil selepas laporan bedah siasat diperoleh dalam tempoh sebulan.


“Terbaharu tujuh orang lagi yang terdiri daripada mangsa termasuk pengetua dan guru sekolah diambil keterangan. Ini menjadikan keseluruhan setakat ini, seramai 22 individu sudah dirakam keterangan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas makan sarapan pagi pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak.


Dua mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan remaja lelaki berusia 17 tahun maut dipercayai akibat keracunan makanan.


Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin dilaporkan berkata, keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Sedekad hilang, isyarat baharu MH370 dikesan di Australia Barat

 PENYELIDIK Britain berjaya mengesan isyarat yang mungkin membawa kepada penemuan pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370, yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi sedekad lalu.


Penyelidik Britain mengesan isyarat yang mungkin membawa kepada penemuan pesawat MH370 di Australia Barat. — Agensi


Berdasarkan laporan The Telegraph, seorang penyelidik dari Wales dilaporkan telah menerima isyarat berdurasi enam saat menggunakan mikrofon bawah air atau hidrofon yang berpotensi membawa ke lokasi terakhir pesawat berkenaan.


Isyarat itu dikesan di Cape Leeuwin, Australia Barat, satu daripada dua stesen hidrofon yang berada dalam puluhan minit bagi tempoh penerimaan isyarat masa perjalanan dari hubungan terakhir dengan radar pesawat.


Hidrofon itu pada asalnya direka untuk mengesan larangan ujian nuklear, namun telah digunakan untuk memeriksa isyarat sekitar masa pesawat itu dipercayai terhempas.


Berdasarkan kajian penyelidik, pesawat Boeing 777 seperti MH370 akan menjana tenaga kinetik setara dengan gempa bumi kecil jika ia terhempas pada kelajuan 200 meter sesaat.


Kesan sedemikian akan cukup besar untuk dirakam oleh hidrofon beribu-ribu batu jauhnya.


Untuk rekod, pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dipercayai kehabisan minyak dan terhempas ke dalam lautan selepas melencong dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.


Walaupun pencarian meluas meliputi lebih 119,140 kilometer per segi telah pun dijalankan, hanya 18 serpihan pesawat telah ditemui terdampar di daratan. 

Tuesday, June 18, 2024

Dua bilik asrama SMK Kuala Nerang terbakar 90 peratus

DUA unit bilik di aras tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, Kedah musnah dalam kebakaran pada Rabu.



Balai Bomba Kuala Nerang menerima panggilan tersebut pada kira-kira pukul 7.40 pagi Rabu. — JBPM Kedah


Bagaimanapun, tiada pelajar berada di lokasi kejadian ketika kebakaran berlaku.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Aminuddin Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 7.37 pagi.


Dia berkata, sepasukan anggota seramai 11 orang dari BBP Kuala Nerang yang tiba di lokasi untuk memadam kebakaran yang berlaku.


"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran itu membabitkan dua bilik asrama sekolah berkenaan iaitu bilik penyimpanan barang stor dan bilik air kelas A.


"Anggaran kemusnahan adalah 90 peratus dan tidak membabitkan mangsa. Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Pokok Sena dan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.


Aminuddin berkata, api berjaya dikawal pada pukul 7.55 pagi.


Tambahnya, setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan oleh Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Monday, June 17, 2024

Kedai emas kena rompak 4 lelaki bertopeng di Kajang rugi RM3.2 juta

KEDAI emas yang menjadi mangsa rompakan empat lelaki bersenjata di Kajang, Selangor pada Isnin mengalami kerugian sebanyak RM3.2 juta.


Imej dari rakaman litar tertutup di sebuah pusat beli-belah di Kajang


Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohamad Nasir Drahman berkata, suspek yang menyamar sebagai pengawal keselamatan masih lagi bebas.


"Berdasarkan laporan dan siasatan dijalankan mendapati kerugian dianggarkan sebanyak RM3.2 juta.


"Sehingga kini tujuh saksi sudah diambil keterangan dan akan ada beberapa orang saksi lagi akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan," kata Nasir.


Menurut Nasir, kesemua empat suspek rompakan kedai emas tersebut memakai topeng dan sarung tangan. Mereka juga didapati membawa dua pucuk pistol serta satu laras senapang.


Ketika kejadian yang berlaku pada 3.17 petang, suspek masuk ke dalam premis dan terus memecahkan kaca cermin pameran dengan tukul lalu mengambil barang kemas.


Pada masa sama, suspek juga ada melepaskan satu das tembakan ke arah dinding kedai.


Tambah Nasir, kesemua suspek kemudiannya melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di tingkat bawah pusat beli-belah tempat kedai emas itu berada.


Kejadian ini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...