Tuesday, July 2, 2024

Ingatkan potong ayam, penduduk kampung di Indonesia kaget rupanya ‘kawan makan kawan’

NGERI, hanya itulah perkataan yang sesuai menggambarkan satu kejadian pembunuhan yang berlaku di Jawa Barat, Indonesia pada Ahad lalu.


Tangkap layar satu kejadian pembunuhan ngeri yang berlaku di Jawa Barat pada Ahad lalu apabila suspek telah mengerat badan mangsa beberapa bahagian.


Manakan tidak, dalam kejadian yang berlaku di Kampung Bantar Limus dekat Desa Sancang di Garut, seorang lelaki telah membunuh rakannya sendiri.

Lebih sadis lagi, suspek yang hanya dikenali sebagai Erus telah mengerat badan mangsa kepada beberapa bahagian di tepi jalan tanpa rasa bersalah.

Seorang saksi, Nining berkata, dia menyedari kejadian tersebut pada pukul 12.30 tengahari Ahad.

"Saya ingatkan suspek sedang memotong ayam. Namun, bila saya datang dengan lebih dekat rupanya tubuh manusia yang telah dikerat beberapa bahagian.

"Saya tak kenal suspek, bukan orang kampung sini," katanya pada Isnin.

Tambah suspek lagi, keratan badan itu juga ditutup dengan menggunakan daun pisang.

Ketua Polis Garut, Ari Rinaldo mengesahkan kejadian tersebut dan suspek telah pun direman.

Sementara itu, memetik laporan media antarabangsa, detikjabar pada Selasa melaporkan suspek yang berusia 23 tahun turut bertindak memakan daging mangsa.

Perkara itu disahkan melalui video tular yang memaparkan Erus dilihat mengunyah sesuatu dipercayai daging di samping mayat mangsa.

Jelas Ari Rinaldo, dalam video tersebut, suspek memang kelihatan sedang makan sesuatu.

"Kami masih menyiasat kes tersebut. Berdasarkan hasil autopsi mayat, mangsa dikerat kepada 12 bahagian.

"Di lokasi, kami menemui dua potongan tubuh, iaitu badan dan kepala sampai pinggang. Bahagian yang lain ada dalam guni," ujarnya pada Selasa.

Kejadian pembunuhan ngeri ini juga turut menjadi bualan dalam kalangan warga maya di Malaysia selepas video Erus tersenyum ketika memegang mayat rakannya itu kini tular sejak Selasa. 

Tergamak bakar isteri muda Indonesia hidup-hidup gara-gara cemburu buta

 SEORANG lelaki ditahan polis di Tangerang, Indonesia selepas cuba mencederakan isterinya sendiri dengan cara membakar wanita itu hidup-hidup pada Ahad lepas (30 Jun).

Tangkap layar video detik-detik sebelum mangsa dibakar oleh suaminya sendiri.


Menerusi laporan Tribun News, kejadian itu kini tular di media sosial selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian berkenaan 'bocor'.

Kejadian dipercayai berlaku di rumah pasangan berkenaan di Kecamatan Cipondoh, Kota Tangerang, Banten.

Ketua Rukun Tetanga (RT) kawasan berkenaan, Romli mendakwa insiden itu sememangnya sudah dirancang oleh pelaku.

"Jika menurut sumber kami, bahan api itu sudah disediakan oleh pelaku.

"Bagaimanapun kita tunggu dahulu hasil siasatan polis sama ada dirancang atau sebaliknya," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Jelasnya, bahan api itu disembunyikan di sebuah kawasan himpunan kayu yang tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Saat dia bergaduh dengan isterinya, pelaku (Sulistiawan,40) langsung mengambil bahan api itu lalu dicurahkan kepada isterinya (Suci Ratna Derawati, 21) lantas dibakar menggunakan mancis," dedahnya.

Jelas Romli, kejadian itu berlaku apabila pelaku naik berang dan cemburu kerana menunggu isterinya yang lambat pulang setelah ke kedai fotostat.

"Mungkin pelaku beremosi dan terasa terlalu lama menunggu menyebabkan dia lantas bertindak sedemikian," katanya lagi.

Kejadian itu menyebabkan mangsa luka di muka dan kepala hingga meliputi 27 peratus.

Mangsa kini menerima rawatan di hospital dan pelaku sedang menunggu masa untuk dibicarakan di mahkamah. — Agensi

Saksi kemalangan terkedu dapat panggilan 'My Lovely Wife', menitik air mata kena sampaikan berita mangsa maut rempuh treler di Shah Alam

 'SAYA rasa tak sedap hati, itu yang tergerak nak telefon suami'.

Tangkap layar kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dan sebuah treler di Shah Alam, Selangor pada Selasa.


Demikian ungkapan keluar daripada bibir seorang isteri sebaik menerima berita kematian suaminya yang kemalangan berhampiran Kolej MSU, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Seolah-olah tidak percaya dengan berita pemergian suami tercinta, mangsa yang difahamkan baru selesai menghantar anaknya ke sekolah disahkan meninggal dunia akibat kemalangan dengan sebuah treler di lokasi kejadian.

Kejadian itu dikongsikan seorang saksi yang juga merupakan pelawak terkenal, Nizam Jentik Jentikmenerusi ciapan di laman Facebook pada Selasa.

Jelasnya, dia amat terkedu dengan situasi tersebut apabila menyaksikan sendiri kematian penunggang motosikal tersebut.

"Sebak betul hari ini, saya jadi antara terawal yang nampak dan berada di lokasi kemalangan maut. Saya turun payungkan mangsa sebab keadaan panas terik masa tu.

"Saya terkedu dan menitik juga air mata, saya mesej keadaan suaminya untuk kepastian dia, gambar WhatsApp ada anak dua orang masih kecil lagi... Allahuakbar menitik terus air mata saya," katanya.

Insiden berkenaan sempat dirakamkan seorang pengguna dashcam dan video tersebut dikongsikan di laman sosial.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika lori treler tersebut sedang membelok di selekoh laluan berkenaan.

Namun, penunggang itu yang dilihat bergerak laju kemudiannya gagal mengelak bahagian belakang lori tersebut dan merempuhnya sehingga terkulai di lokasi kejadian.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes tersebut setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut.

Warga emas ditemui maut dengan kesan kecederaan di leher

IPOH: Mayat lelaki warga emas ditemui dengan kesan kecederaan di leher di sebuah premis bangunan persendirian di Medan Bercham, Bercham, di sini, hari ini.

Mayat Yep Nam Meng, 81, yang juga pekerja pembersihan di premis bangunan itu juga ditemukan berdekatan pintu koridor yang berada di tingkat bawah tanah premis bangunan lapan tingkat itu, dengan kesan darah pada bahagian lehernya.

Difahamkan, warga emas itu yang juga bapa kepada dua anak, bekerja dan mendiami dalam kawasan bangunan berkenaan sejak 11 tahun lalu, dengan dia ditemui dalam keadaan mengiring ke kiri serta kesan calar ditemui pada bahagian leher sebelah kiri.

Difahamkan juga, kelibat mangsa sempat dirakam dan terpapar pada kamera litar tertutup (CCTV) bangunan itu ketika mangsa berada berdekatan premis dobi di bangunan itu pagi tadi.

Pekerja lain di bangunan itu ketika ditemui berkata, kehilangan mangsa disedari apabila mangsa tidak menjawab panggilan telefon sekitar waktu rehat kira-kira jam 2 petang tadi sebelum usaha mencari dilakukan sekitar kawasan itu yang berakhir dengan penemuan mayat mangsa.

Kata pekerja itu, mangsa dijumpai pengawal keselamatan di situ, bukan berdekatan bilik didiaminya dalam bangunan itu sebaliknya di kawasan koridor tingkat bawah bangunan sebelum menghubungi ambulans untuk bantuan.

Mangsa disahkan sudah meninggal dunia di lokasi kejadian dengan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki itu dan berkata setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dalam kes penemuan mayat berkenaan.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.



 

Siap pegang kayu, punca 2 lelaki perang mulut di Tebrau masih misteri

 TULAR di laman media sosial memaparkan seorang pemandu lelaki berperang mulut dengan individu lain pada Selasa.


Tangkap layar memaparkan lelaki berkenaan (kanan) dilihat sempat mengambil sebatang kayu untuk memukul individu tersebut.


Menerusi satu video tular di laman X, kelihatan seorang lelaki yang identitinya tidak dikenal pasti dilihat mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Dalam video yang berdurasi satu minit 15 saat itu memaparkan lelaki berkenaan dilihat sempat mengambil sebatang kayu untuk memukul individu tersebut namun berjaya dihalang oleh beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian.

Difahamkan, lelaki yang didakwa pemandu perkhidmatan e-hailing itu tidak berpuas hati dengan individu tersebut.

Melihat di ruangan komen, kejadian itu dipercayai berlaku di One Tebrau Residences, Johor.

Bagaimanapun, punca pergaduhan kedua-dua lelaki tersebut masih tidak dapat dipastikan.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak polis.

Monday, July 1, 2024

'Anak itu penyeri rumah tangga', Achey kecewa pasangan 'childfree' cuba racuni pemikiran individu lain

 PELAWAK Achey menempelak fahaman individu yang lebih memilih untuk tidak memiliki anak kerana beranggapan perkara itu hanya satu bebanan.

Achey tidak bersetuju wujud golongan yang berkahwin tetapi mengamalkan konsep childfree.


Juara Bintang Mencari Bintang musim pertama itu bercakap sedemikian selepas tular rakaman pasangan suami isteri yang mengamalkan konsep childfree.

"Tahu tak anak ini membebankan bagi saya. Sebab saya career woman dan suami pun bekerja dan masing-masing tiada masa dengan anak. Bila ada anak kena fikir pampers, susu, pendidikan dia," kata seorang wanita menerusi rakaman video tular bersama pasangannya.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah beranggapan bahawa rakaman itu sangat mengecewakan kerana seakan-akan cuba meracuni pemikiran pasangan lain.

"Aku kalau bab anak memang tidak bolehlah. Aku tak suka kenyataan kau racun pemikiran orang lain.

"Mak, nenek, dan moyang awak pun agak menyesal bila awak keluarkan kenyataan ini," katanya.

Bagi Achey, anak itu merupakan satu penyeri dalam rumah tangga yang mampu menjadikan kehidupan lebih bahagia.

"Pewaris dan penyeri dalam hidup itu. Kerjaya awak tak boleh masuk kubur. Doa anak yang boleh tembus. Yang suami (wanita terbabit) pun aku kalau depan-depan aku sepak sahaja ini,” katanya.

Tentangan yang diberikan oleh Achey turut disokong beberapa artis tempatan lain.

Antaranya, seorang pelakon, Siti Elizad Mohd Sharifuddin turut menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Achey.

"Dan bila manusia tak percayakan rezeki yang tertulis. Dia tidak tahu betapa para Trying To Conceive (TTC) ini susah untuk mendapatkan meskipun hanya seorang zuriat.

"Siap sudah sediakan bilik dan katil double decker okay! Berangan mahukan anak ramai punya pasal," katanya.

Personaliti fesyen dan pelakon, Wak Doyok turut bengang dengan fahaman individu yang lebih memilih untuk tidak memiliki anak.

"Dah tua pun bod*h," katanya.

Pelakon lain, Zulin Aziz turut beranggapan individu yang mengamalkan konsep childfree tidak percaya bahawa rezeki datangnya daripada Tuhan.

"Orang macam ini dia tak sedar ke diri yang rezeki milik ALLAH. Setiap yang lahir itu ada rezeki dia," katanya. 

Tak lepas memotong, penunggang superbike putus badan kena gilis treler di Pulau Pinang

 GAGAL memotong lori punca seorang penunggang lelaki maut digilis treler dalam kemalangan di Kilometer 161.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) dekat Bandar Casia, Pulau Pinang pada Isnin.

Seorang penunggang lelaki dilaporkan maut akibat digilis treler di Kilometer 161.4 Lebuh raya Utara Selatan, Bandar Casia, Pulau Pinang pada Isnin.


Insiden yang berlaku kira- kira pukul 6.45 petang itu, mangsa, Amirruddin Ghazali, 38, berasal dari Kampung Lubuk Kawah, Jitra, Kedah dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurut Malaysia Gazettelaporan kemalangan diterima pukul 7 malam dan hasil siasatan mendapati, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha YZF-R25 dipercayai cuba memotong sebuah lori namun bergesel dengan sebuah treler lain di laluan sama.

Mangsa yang gagal memotong dilaporkan terbabas, lalu digilis treler berkenaan.

Rakaman kejadian dikongsikan di laman sosial dan hangat diperkatakan warganet sejak Isnin.

"Mangsa maut di lokasi kejadian manakala pemandu treler berusia 53 tahun tidak mengalami kecederaan," kata sumber polis.

Siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus, kering serta keadaan cuaca juga baik.

"Kawasan kemalangan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), justeru pihak polis meminta saksi awam yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil memberi maklumat berhubung kemalangan tersebut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.

Pembunuh Baby Zara kekal ke tali gantung, rayuan akhir ditolak


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut kerana membunuh anak asuhan isterinya berusia 11 bulan dikenali sebagai 'Baby Zara', enam tahun lalu.

Mangsa Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal turut mengalami kecederaan seksual dan laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan vagina bayi berkenaan sangat serius sehingga doktor terpaksa menjahit luka dengan dua jahitan bagi menghentikan pendarahan.

Ketika kejadian, Baby Zara berusia 11 bulan dengan berat badan hanya 8.26 kilogram dan belum tumbuh gigi turut mengalami kecederaan pada dubur dan pendarahan serius pada keseluruhan otaknya.

Panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan akhir Hazmi Majid, 42, terhadap sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Ogos 2021 dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Mac 2023.

Hakim Datuk Rhodzariah Bujang yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berpuas hati hukuman yang sesuai dijatuhkan adalah hukuman mati kerana jenayah yang dilakukannya sangat kejam.

Mengikut pertuduhan, Hazmi yang juga suami kepada pengasuh mangsa disabitkan membunuh Nur Muazara Ulfa di sebuah unit pangsapuri di Bandar Baru Bangi, antara jam 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.

Terdahulu, peguam T Vijayandran yang mewakili perayu berhujah, anak guamnya tidak sedar perbuatan itu kerana di bawah pengaruh dadah selain memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara 30 hingga 35 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi berhujah, rayuan Hazmi wajar ditolak dan dakwaan mengatakan bawah pengaruh dadah tidak boleh diterima berdasarkan tindakannya cuba melupuskan bahan bukti dengan membasuh tuala bagi menghilangkan darah menunjukkan dia sedar ketika kejadian berlaku.

Kes yang paling jarang antara yang jarang berlaku

Tetralina berhujah, kes berkenaan menepati kehendak 'kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku' yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.

"Mangsa dihantar ibunya ke rumah pengasuh pada hari kejadian jam 6.45 pagi dan didapati dalam keadaan nazak pada 1.30 tengah hari dengan kecederaan serius di kepala," katanya.

Pendakwaan berhujah, keterangan mengatakan perayu tidak pernah membantu isterinya namun pada hari itu dia menawarkan diri memandikan Baby Zara.

Pada 29 November 2018, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dengan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kajang kerana memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 13 November 2018.


 

Pecah rumah pemain Selangor FC: Kes selesai, 2 ditahan tiada kaitan serangan pemain lain


SHAH ALAM: Kejadian pecah rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, pada 23 Mei lalu selesai apabila dua lelaki ditahan di Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, Marang, Terengganu pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, berkata dengan penahanan dua suspek berusia 28 dan 33 tahun itu juga mengesahkan kes berkenaan tidak ada kaitan dengan insiden yang membabitkan beberapa pemain bola sepak, baru-baru ini.

Katanya, tangkapan terhadap dua suspek berkenaan dilakukan sepasukan polis dari Unit Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor; IPK Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

"Suspek ditangkap selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dijejak pasukan polis.

"Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam sembilan kes pecah rumah, melarikan kenderaan dan samun di sekitar Selangor (dua kes); Terengganu (tiga kes); Pahang (dua kes) dan Melaka (dua kes)," katanya di IPK Selangor, hari ini.

Polis turut merampas beberapa barang antaranya sebuah kereta Honda City; motosikal Yamaha Y15ZR; beg pelbagai jenis dan jenama; telefon bimbit serta komputer riba yang mana keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM55,000.

Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mereka dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

"Polis kini dalam tindakan untuk melengkapkan siasatan dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Media pada 23 Mei lalu melaporkan kediaman pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor.

Menurut laporan polis yang beliau kongsikan di Instagram, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya.

Beberapa insiden membabitkan pemain bola sepak turut berlaku sebelum itu antaranya pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang cedera akibat disimbah asid pada 5 Mei di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara.

Pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid pula mengalami kecederaan di kepala dan kaki dalam kejadian samun pada 2 Mei di Kuala Terengganu.

Pada 7 Mei pula, cermin belakang kereta dipandu pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang juga bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim dipecahkan berhampiran pusat latihan JDT di Sri Gelam, Johor Bahru.

 

Sunday, June 30, 2024

Budak 5 tahun maut dilanggar ketika berbasikal


SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan yang sedang bermain basikal maut selepas dilanggar kenderaan di sebuah taman perumahan di Bandar Sri Sendayan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia lima tahun dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), untuk rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 34 tahun menuju ke pos pengawal taman perumahan terbabit.

Katanya, pada masa sama basikal dinaiki mangsa datang dari arah bertentangan di belakang sebuah pikap.

"Basikal berkenaan kemudian dipercayai masuk ke laluan Perodua Ativa menyebabkan pemandunya tidak sempat mengelak lalu terus merempuh mangsa.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di anggota badan dan dibawa ke HTJ untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada jam 8.05 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-2895801.

"Ibu bapa atau orang dewasa dinasihatkan untuk mengawasi pergerakan kanak-kanak yang membuat aktiviti di luar rumah terutama yang menggunakan jalan raya supaya perkara tidak diingini dapat dielakkan," katanya.


 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...