SHAH ALAM: Kos perubatan dari luar negara yang bakal digunakan sebagai salah satu prosedur bagi merawat lecur tahap empat yang dialami pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim dianggarkan bernilai lebih RM30,000.
Ketua Perubatan Sukan SFC, Dr Muhammad Hazwan Khair menjelaskan ubat yang perlu dibawa masuk dari luar itu dipanggil 'skin allograft' dan digunakan sebagai prosedur untuk membantu dan mempercepat pemulihan buat Faisal.
"Berdasarkan kepada pakar bedah, prosedur lanjutan itu akan berlangsung dalam minggu ini. Dari segi otot, ia memerlukan rehabilitasi dan kita boleh jangka pada masa depan nanti," katanya ketika ditemui di pekarangan hospital swasta di Shah Alam, pagi tadi.
Berdasarkan semakan di Internet, 'skin allograft' dianggap sebagai standard tertinggi untuk merawat luka kebakaran kepada pesakit yang tidak memiliki kulit yang cukup untuk menutup luka terbakar di badan.
'Skin allograft' diperoleh daripada penderma sama ada yang masih sihat ataupun sudah meninggal dunia sebagai pelindung sementara untuk luka kebakaran.
Ia adalah satu prosedur pembedahan untuk memindahkan kulit yang sihat daripada satu bahagian tubuh ke tubuh yang lain untuk menutup kulit yang hilang ataupun rosak.
Sebagai rekod, skuad 'The Red Giants' mahu Faisal mendapatkan rawatan yang benar-benar terbaik susulan kecederaan lecur tahap empat yang dialaminya selepas disimbah asid dalam satu kejadian, Ahad lalu.
No comments:
Post a Comment