Pemain sayap Selangor, Faisal Halim membuat kemunculan selepas insiden simbah asid yang dialaminya di salah sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.
Dalam satu sidang media yang diadakan di pusat latihan Selangor, Faisal atau yang lebih mesra dipanggil Mickey berkongsi keadaan semasa selepas menjalani rawatan luka bakar yang dialaminya.
“Saya dilahirkan untuk bermain bola sepak. Apabila ada musibah seperti ini menimpa saya, memang sukar untuk saya dan sekeluarga. Saya harap saya akan segera kembali beraksi di atas padang.
“Keadaan sekarang ini masih belum jelas sama ada saya boleh kembali beraksi ataupun tidak. Saya harap semua mendoakan saya agar segera kembali beraksi,” katanya.
Pihak doktor memberikan garis masa tiga hingga ke enam bulan untuk Faisal Halim kembali beraksi namun pemain yang mempunyai jiwa pejuang itu meletakkan sasaran untuk kembali beraksi dalam tempoh masa sebulan.
Ketika sidang media, keadaan menjadi sunyi dan hiba ketika Faisal menyatakan beliau terfikir untuk bersara selepas apa yang berlaku terhadap dirinya.
“Saya sanggup lupakan gaji berpuluh ribu dan pulang ke kampung untuk tinggal dan kerja di sana walaupun gaji RM50 demi keselamatan saya dan keluarga.
“Tapi apa yang buat saya semangat yang Datuk Seri (Shahril Mokhtar) janjikan kepada saya dan keluarga saya, ‘Mickey, saya tahu awak boleh teruskan. Saya boleh jaminkan keselamatan awak dan keluarga.’
“Saya tak boleh makan atau ke toilet sendiri. Semua perlukan bantuan dari keluarga terutama isteri dan keluarga saya. Mereka bergilir-gilir datang pantau dan menjaga saya. Semangat keluarga saya itulah saya bawak untuk kekal bersemangat.
“Saya letak target kembali berlatih dalam masa sebulan setengah walaupun doktor katakan saya perlu 3-6 bulan lagi. Ini semangat Faisal Halim dan saya akan bawa semangat ini untuk kembali,” katanya sambil dalam keadaan sebak.
Pemain sayap skuad Harimau Malaya itu telah menjalani empat pembedahan untuk merawat luka kelecuran sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu.
Selepas itu, Faisal menjalani proses pemulihan di lokasi dirahsiakan selain kawalan ketat bagi memastikan keselamatannya.
No comments:
Post a Comment