Thursday, May 23, 2024

Siasatan kes Faisal Halim merangkumi segala aspek – Ketua Polis Negara


KUALA LUMPUR: Polis memberi jaminan siasatan berkaitan kes serangan asid ke atas pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim meliputi segala aspek.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan meliputi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kesan cap jari dan rakaman keterangan beberapa individu sebelum ini.

“Kita memang menggunakan footage video ini ke arah siasatan kita, tak ada masalah daripada siasatan kita tu, katalah satu saksi cakap berbeza dengan apa yang ada dalam footage itu,  kita akan panggil saksi itu balik, memang kita akan panggil saksi itu,” katanya mengulas isu perbezaan maklumat awal kejadian dan rakaman CCTV.

Ujarnya lagi, semua aspek seperti penelitian CCTV, keterangan tambahan saksi dan juga keterangan daripada saksi-saksi baharu perlu diambilkira untuk membetulkan ketidaktepatan maklumat yang dilaporkan pada awal kejadian.

Terdahulu, tular rakaman CCTV dipercayai kejadian berkenaan di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, pada 5 Mei lalu.

Beliau menjelaskan setakat ini 23 individu telah diambil keterangan, dan berdasarkan fotofit yang didedahkan polis, belum ada mana-mana individu tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan kes.

“Orang awam pun tak ada yang beri maklumat apa-apa, kita pun mengharap (bantuan orang awam), sebab itu kita dedahkan fotofit itu untuk bantuan masyarakat sekiranya ada cam mata ke,” katanya.

Dalam serangan itu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara.


 

Rakaman CCTV memaparkan seorang lagi suspek

 

Rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki bermotosikal dipercayai seorang lagi suspek yang menunggu berhampiran kenderaan Faisal. 

Kuala Lumpur: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung pihak yang menyebarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian simbah asid terhadap pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 56 saat di laman sosial X @OneFootballM, hari ini.

"Video terbabit adalah bahan bukti yang masih dalam siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Siasatan sudah dimulakan bagi mengesan pihak yang menyebarkan video rakaman CCTV itu untuk tindakan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video terbabit bagi menghormati dan menjaga sensitiviti mangsa serta keluarga.

"Pihak polis memandang serius mengenai perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja menyebarkan video itu.

"Tindakan sedemikian sekali gus mengganggu siasatan pihak polis," katanya.

Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki yang memakai topi dan bahagian muka dilindungi kain dalam keadaan berdiri berada di antara beberapa kenderaan lain.

Lelaki itu kemudian meluru ke arah Faisal dan terus menyimbah cecair daripada botol dipegangnya beberapa kali.

Kejadian itu juga disaksikan beberapa individu berhampiran selain wanita dipercayai isteri Faisal.

Turut dilihat ketika kejadian adalah seorang lelaki bermotosikal dipercayai seorang lagi suspek yang menunggu berhampiran kenderaan Faisal.

Sebelum ini, media melaporkan Bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan itu diserang oleh individu tidak dikenali sehingga badannya mengalami luka teruk selepas disembah asid.


Wednesday, May 22, 2024

Faisal Halim mungkin kembali beraksi menjelang Ogos, kata pegawai kelab

KUALA LUMPUR: Pemain bola sepak terkemuka Malaysia yang melecur teruk akibat diserang asid semakin pulih dan mungkin kembali beraksi seawal Ogos, kata kelabnya pada Rabu.

Pemain bola sepak kebangsaan dan pemain sayap Selangor FC Faisal Halim melecur di leher, bahu, tangan dan dada dalam serangan di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada 5 Mei lalu.

Shahril Baharim, pengerusi jawatankuasa teknikal Selangor FC, berkata Faisal semakin pulih.

Saya diberitahu bahawa dengan kemajuan ini, ada kemungkinan besar dia akan kembali (di padang) dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Ini berdasarkan apa yang doktor beritahu saya, lebih cepat lebih baik, itu harapan kami, kata Shahril pada taklimat media hari ini.

"Pemulihannya sangat-sangat baik. Saya diberitahu bahawa cantuman kulit hanya boleh meliputi 70% kawasan yang cedera, tetapi ia adalah satu keajaiban bahawa dia berjaya mendapat 100%.

Faisal menjalani pembedahan allograft kulit selama tiga jam pada hari Isnin yang berjalan lebih baik daripada jangkaan, menurut doktor pasukan Hazwan Khair, yang turut bercakap pada taklimat media.

Shahril berkata, satu lagi pembedahan kecil akan dilakukan ke atas pemain itu pada Khamis.

Doktor akan memerhati keadaan Faisal esok untuk menentukan sama ada dia boleh discaj dalam beberapa hari akan datang, katanya.

Digelar Mickey, pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan gol penyamaan menentang Korea Selatan yang diundi sebagai gol terbaik Piala Asia 2023.

Musim bola sepak domestik Malaysia dijadualkan bermula pada 10 Mei dengan pembuka tirai antara Selangor FC dan juara Liga Super Johor Darul Takzim (JDT).

Selangor menarik diri, memetik beberapa siri insiden jenayah dan ancaman baru-baru ini, tetapi liga berjalan lancar.

Tiga hari sebelum serangan asid, seorang lagi pemain, Akhyar Rashid, cedera dalam kejadian samun di luar rumahnya di negeri timur Terengganu.

Dalam kejadian ketiga, dua hari selepas serangan ke atas Faisal, bekas kapten Harimau Malaya Safiq Rahim terselamat tanpa cedera selepas dia diugut dengan tukul dan cermin keretanya dipecahkan oleh dua penyerang.

Serangan misteri itu telah mengejutkan dan menimbulkan kemarahan negara yang gila bola sepak. Polis masih meneruskan siasatan dengan motif belum dapat ditentukan.

Tuesday, May 21, 2024

Faisal Halim mahu tunaikan janji lepas terima kunjungan Tun M

 PEMAIN sensasi Selangor FC, Faisal Halim menerima kunjungan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di kediamannya pada Sabtu.



Faisal Halim (kiri) menerima kunjungan daripada bekas Perdana Menteri Tun Mahathir di kediamannya pada Sabtu.


Tidak menyangka akan kehadiran insan berpengaruh dunia itu, Faisal menyifatkan kedatangannya sebagai pembakar semangat untuk terus kembali menyinar dalam arena bola sepak negara.


“Tidak pernah terjangka untuk menerima kunjungan dari insan hebat hari ini. Terima kasih Tun Dr. Mahathir Mohamad sudi meluangkan masa untuk menziarahi saya sekeluarga.


“InsyaALLAH, saya akan terus cekal dan berusaha keras untuk kembali suatu hari nanti. Terima kasih semua kerana terus mendoakan,” tulis Faisal atau dikenali sebagai Mickey di laman instagram peribadinya pada Sabtu.



Tun Mahathir (tengah) ketika melawat ke kediaman Faisal Halim pada Sabtu.


Untuk rekod, pemain yang berasal dari Mengkuang Titi, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu mengalami kelecuran tahap empat akibat simbahan asid oleh pihak tidak bertanggungjawab ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei.


Membuat kemunculan kali pertama di khalayak ramai, Faisal pada Khamis lalu tampil dalam sidang media bagi memaklumkan perkembangan terbaharunya selepas dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor.


Tumpuan peminat sekali lagi terarah kepadanya apabila tonggak utama Harimau Malaya itu hadir ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor bagi menyaksikan perlawanan Piala FA yang menemukan pasukannya dan Negeri Sembilan FC. 

Tuesday, May 14, 2024

TERKINI: Faisal Halim kini dipindahkan ke wad biasa

Penyerang skuad kebangsaan, Faisal Halim, mendapat perkhabaran positif apabila telah dipindahkan ke wad biasa bagi meneruskan proses pemulihan di hospital ketika ini.


Faisal yang berusia 26 tahun disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada serangan yang berlaku di Damansara pada hujung minggu lalu.


Berikutan itu, doktor yang merawatnya berkata, pemain bola sepak kebangsaan itu melecur tahap empat.


Selepas menjalani tiga pembedahan di hospital swasta di Shah Alam, Faisal yang pada awalnya agak kritikal disahkan semakin ceria dan menunjukkan perkembangan positif.


Menerusi perkembangan terkini menerusi Nadi Breaking, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, memaklumkan Faisal telah keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) dan telah dipindahkan ke wad biasa.


Bagaimanapun, masih lagi dalam pantauan oleh pihak perubatan dan tidak akan dapat menerima sebarang pelawat.

Monday, May 13, 2024

Keadaan Faisal Halim tambah baik, tampalan kulit tunjuk kesan positif

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tahap empat dialami pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim yang cedera disimbah asid baru-baru ini menunjukkan reaksi positif.

Keadaan Faisal Halim selepas menjalani proses tampalan kulit di hospital.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar menyifatkan lapisan kulit yang dibawa dari luar negara untuk digunakan dalam prosedur bermula Khamis lepas itu dilihat sesuai.

“Setakat ini, saya lihat kondisi Faisal bertambah baik dengan proses ‘skin allograft’ juga boleh dikatakan berjaya tanpa sebarang masalah,” katanya yang melawat pemain berusia 26 tahun itu di hospital semalam,  ketika dihubungi hari ini.

Pada 5 Mei lepas, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas itu dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Sunday, May 12, 2024

Keadaan Faisal Halim tambah baik, tampalan kulit tunjuk kesan positif


KUALA LUMPUR, 13 MEI: Prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tahap empat dialami pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim yang cedera disimbah asid baru-baru ini menunjukkan reaksi positif.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar menyifatkan lapisan kulit yang dibawa dari luar negara untuk digunakan dalam prosedur bermula Khamis lepas itu dilihat sesuai.

“Setakat ini, saya lihat kondisi Faisal bertambah baik dengan proses ‘skin allograft’ juga boleh dikatakan berjaya tanpa sebarang masalah,” katanya yang melawat pemain berusia 26 tahun itu di hospital semalam,  ketika dihubungi hari ini.

Pada 5 Mei lepas, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas itu dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain bolasepak negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, 2 Mei lepas.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu selepas itu apabila cermin kereta pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dipecahkan oleh dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru, pada 7 Mei.

— BERNAMA

Thursday, May 9, 2024

Faisal Halim Luah Mahu Pulang, Keadaan Semakin Baik


Baru-baru ini, pelbagai reaksi yang diberikan prang awam terhadap kes simbah asid yang membabitkan pemain kebangsaan Faisal Halim.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar, pihaknya memaklumkan dia gembira dengan perkembangan semasa Faisal selepas selesai jalani pembedahan ketiga, semalam.

Malah, dia juga berkongsi yang semangat dan ketabahan Faisal juga turut menghadirkan keterujaan buat barisan doktor yang merawatnya.

“Saya diberitahu Faisal lebih ceria, tetapi yang lebih seronok didengar pagi ini dia mula berjalan dalam bilik. Itu saya teruja, malah dia pun boleh pergi ke bilik air dengan sendiri.

“Fizikal satu hal, tetapi semangat dia juga agak baik. Pakar beritahu pagi ini, mereka sudah banyak buat prosedur (rawatan) sebegini, tetapi Faisal ini istimewa sebab dia tunjukkan pemulihan dengan cepat.

“Dia cakap dia nak balik, itulah orang yang semangat ini lain sikit. Harapan saya raya haji nanti dia boleh balik,” katanya.

Untuk pengetahuan, pembedahan menggunakan kaedah ‘skin allograf’ kali ini lebih tertumpu di bahagian lengan dan rusuk Faisal.

 

Wednesday, May 8, 2024

Suspek kes simbah asid pemain bola sepak Faisal Halim ada tujuh rekod jenayah


KUALA LUMPUR: Suspek kedua yang ditahan berhubung serangan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, dikesan mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata semakan polis mendapati lelaki berusia lewat 30-an tahun itu pernah terbabit kes samun berkumpulan dan pemerasan.

Beliau berkata suspek ada tujuh rekod jenayah lampau berkaitan salah guna Internet melibatkan penyebaran kandungan bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik; menyebabkan kecederaan; merompak; menyamar sebagai penjawat awam; ugutan jenayah; peras ugut; dan menghina pegawai kehakiman.

“Suspek kedua masih dalam tahanan reman lima hari dan siasatan terus dijalankan. Suspek pertama pula sudah dibebaskan selepas tamat reman, namun keputusan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

“Suspek kedua bekerja sendiri, manakala suspek pertama tiada rekod jenayah,” kata Datuk Seri Mohd Shuhaily, lapor Harian Metro.

Suspek kedua ditangkap di Bandar Baru Bangi, Selangor, pada 6 Mei, menyusuli insiden Faisal, tonggak Selangor FC, disimbah asid pada 5 Mei di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, menyebabkan Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu mengalami kelecuran tahap empat.

 Bapa Faisal, Encik Abdul Halim Saad, 60 tahun, menyifatkan anaknya itu “kebal” dalam menghadapi ujian sangat sukar ketika ini.

Mereka sekeluarga reda akan ketentuan Ilahi dan kini menantikan Faisal sembuh agar dapat pulang ke pangkuan keluarga.

“Alhamdulillah ketika ini dia boleh terima keadaan dirinya dan bagi saya, dia kuat. Dia seorang yang kebal. Sekiranya Allah izin, dia (kesihatannya) akan lebih baik lagi daripada sebelum ini,” kata Encik Halim.

Dua lagi pemain bola sepak Malaysia turut menjadi serangan dalam tempoh terdekat ini.

Pada 2 Mei, pemain kebangsaan daripada pasukan Terengganu FC, Akhyar Rashid, disamun dan diserang di kawasan rumahnya di Kuala Terengganu.

Pada 7 Mei, pemain bola sepak bagi pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim, diserang dua lelaki yang menaiki motosikal.


Kulit RM30,000 dari Belgium bantu rawat Faisal

 SHAH ALAM: Kos perubatan dari luar negara yang bakal digunakan sebagai salah satu prosedur bagi merawat lecur tahap empat yang dialami pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim dianggarkan bernilai lebih RM30,000.



Ketua Perubatan Sukan SFC, Dr Muhammad Hazwan Khair menjelaskan ubat yang perlu dibawa masuk dari luar itu dipanggil 'skin allograft' dan digunakan sebagai prosedur untuk membantu dan mempercepat pemulihan buat Faisal.

"Berdasarkan kepada pakar bedah, prosedur lanjutan itu akan berlangsung dalam minggu ini. Dari segi otot, ia memerlukan rehabilitasi dan kita boleh jangka pada masa depan nanti," katanya ketika ditemui di pekarangan hospital swasta di Shah Alam, pagi tadi.

Berdasarkan semakan di Internet, 'skin allograft' dianggap sebagai standard tertinggi untuk merawat luka kebakaran kepada pesakit yang tidak memiliki kulit yang cukup untuk menutup luka terbakar di badan.

'Skin allograft' diperoleh daripada penderma sama ada yang masih sihat ataupun sudah meninggal dunia sebagai pelindung sementara untuk luka kebakaran.

Ia adalah satu prosedur pembedahan untuk memindahkan kulit yang sihat daripada satu bahagian tubuh ke tubuh yang lain untuk menutup kulit yang hilang ataupun rosak.

Sebagai rekod, skuad 'The Red Giants' mahu Faisal mendapatkan rawatan yang benar-benar terbaik susulan kecederaan lecur tahap empat yang dialaminya selepas disimbah asid dalam satu kejadian, Ahad lalu.

Justeru, Pengerusi SFC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersedia untuk menanggung kos rawatan dan perubatan pemain kebangsaan itu sehingga pulih meskipun pemain itu sudah memiliki insurans perubatan.

Perkembangan itu dikongsikan Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar selepas selesai menziarah pemain itu di sebuah hospital swasta di Shah Alam, pagi tadi.

"Kos perubatan Faisal sudah ditanggung menerusi insurans tetapi kita mahukan yang terbaik untuk dia. Apa yang dimaklumkan, rawatan yang terbaik biasanya membabitkan kos yang tinggi.

"Tetapi Tuanku (Tengku Amir Shah) beri jaminan bahawa tak usah khuatir dan jangan risau, pihak istana dan Tengku Amir Shah sendiri akan tanggung kos perubatan sekiranya perlu," kata Shahril.

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...