Saturday, June 15, 2024

EXCO: Faisal Halim jalani rawatan pemulihan psikologi, atasi trauma


KLANG, 15 JUN: Pemain Selangor FC Faisal Halim mengikuti rawatan pemulihan psikologi bagi mengatasi trauma akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata selain rawatan fizikal, aspek pemulihan emosi dan moral pemain itu juga menjadi keutamaan supaya keadaannya pulih sepenuhnya.

“Kerajaan Negeri khususnya Selangor FC secara berterusan membantu dan memantau keadaan kesihatan Faisal bukan fizikal sahaja tetapi psikologi bagi mengatasi trauma.

“Beliau kini mengikuti pemulihan (psikologi) dengan dipantau pakar perubatan Selangor FC untuk bantu proses rawatan dan terapi secara keseluruhan,” katanya selepas majlis penyerahan Geran Digital Penjaja Madani di sini, hari ini.

Mohd Najwan turut berharap insiden yang menimpa Faisal termasuk pemain lain tidak berulang kerana industri sukan seharusnya menyatukan bukannya mengundang perpecahan.

“Perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan perlu penguatkuasaan tegas kerana khuatir akan berlaku lagi membabitkan atlet lain,” katanya.

Pada 13 Jun, Faisal yang juga merupakan pemain Harimau Malaya membuat kemunculan pertama pada sidang akhbar di Pusat Latihan Selangor FC selepas menjalani rawatan hampir sebulan selepas disimbah asid Mei lalu.

Faisal atau dikenali sebagai Mickey yang mengalami luka lecur tahap empat menjalani rawatan rekonstruktif melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.

Pada 25 Mei, Selangor FC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di Shah Alam selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden berkenaan.

 

Thursday, June 13, 2024

Motif serangan asid terhadap Faisal Halim belum dapat ditentukan - Mohd Shuhaily


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum dapat mengenal pasti motif serangan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pusat belah belah di Kota Damansara, bulan lalu dan dua lagi pemain bola sepak negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan bagi mengesan pelaku dalam kes itu masih giat dijalankan dan tidak akan berhenti sehingga pelakunya ditangkap.

Beliau berkata, PDRM kini meluaskan skop siasatan termasuk mengambil beberapa keterangan di pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri membabitkan dua fasa dan kini ia memasuki fasa kedua.

"Namun buat masa ini kita belum dapat 'establised' (memastikan) motif (serangan) ke atas ketiga-tiga serangan (ke atas Faisal, Akhyar Rashid dan Safiq Rahim).

"Apa yang kita nampak hanyalah 'pattern' (corak) serangan yang berlaku selang dua hari. Pattern itu kita nampak, motif kita tidak ada," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Risikan / Operasi) JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus dan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak.

Dalam kes serangan asid ke atas Faisal, Mohd Shuhaily berkata, kes cap jari yang diperoleh di lokasi juga tidak membuahkan hasil siasatan, manakala fotofit suspek yang disiarkan juga tidak banyak dapat membantu siasatan polis untuk mengesan pelakunya.

Sehubungan itu, katanya pihak polis sedang bekerja keras dalam tugas risikan kerana siasatan kes ini agak rumit dan pihak PDRM memerlukan lebih masa untuk menyelesaikan siasatan.

"Apabila tiada saksi awam atau saksi bebas yang dapat membantu (siasatan) kami. Itu yang menjadi cabaran, tetapi kita tidak akan berhenti.

"Pihak JSJ akan meneruskan (siasatan) dan apa sahaja keputusan yang kita peroleh daripada siasatan ketiga-tiga kes, kita akan teruskan siasatan daripada situ," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Faisal yang memberitahu beliau kali terakhir dihubungi pihak polis pada minggu pertama kejadian, Mohd Shuhaily berkata pihaknya akan menghubungi Polis Kontinjen Selangor untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara berkenaan.

"Daripada segi perkembangan siasatan sebenarnya tidak banyak yang kita boleh maklumkan perkembangannya kepada mangsa (Faisal) namun kita akan jumpa dengan Faisal sendiri nanti," katanya.

Semalam, Faisal membuat penampilan kali pertama di hadapan khalayak umum dalam satu sidang media di Pusat Latihan Selangor FC kerana enggan berselindung dan ingin menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa.


 

Mata saya okey, tangan kiri melalui proses salin kulit – Faisal



SHAH ALAM – Pemain Selangor FC, Faisal Halim muncul buat pertama kali pada sidang media dengan keadaan kulit tangan kiri mengelupas teruk selepas lebih sebulan disimbah asid.


Sepanjang pemerhatian pihak media, tangan kirinya itu juga dilihat tidak dapat diangkat dengan sempurna.


Namun dimaklumkan, kulit tangan kiri sedang melalui proses salinan kulit, kata Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr. Muhammad Hazwan Khair.


Pada masa sama, terdapat kesan melecur di bahagian muka pemain berusia 26 tahun itu yang hadir berpakaian kemeja lengang pendek.


Namun Faisal mengesahkan penglihatannya tidak terjejas dan hanya mengalami masalah rabun dekat untuk membaca.


“Melihat okey, main bola okey, cuma hendak baca nampak halus sikit tak ada masalah dengan penglihatan saya, untuk baca perlu pakai cermin mata,” katanya pada sidang media bersama pengurusan Selangor FC di sini hari ini.


Faisal muncul pertama kali di khalayak selepas disimbah asid awal bulan lalu dan kini beliau dibenarkan keluar hospital serta ditempat di lokasi rahsia untuk proses pemulihan.


Mengulas lanjut, pemain itu mengakui dia seboleh-bolehnya tidak mahu lagi mengingat insiden ngeri tersebut.

“Pertama kali waktu mula-mula kena saya rasa panas dan pedih dan saya tahan kesakitan itu.

“Ada yang datang pada saya ketika itu kata tak bahaya dan saya kata ok. Kemudian bila dah berlaku rupanya benda ini sangat-sangat bahaya dan luar biasa,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, selepas insiden tersebut, berat badannya susut sebanyak empat kilogram (kg) dan terpaksa bergantung kepada isteri dan keluarganya untuk menguruskan dirinya termasuk untuk makan dan ke tandas.

Bagaimanapun katanya, berat badannya kembali normal iaitu 51 kg selepas sebulan insiden berlaku.

Awal Mei lalu, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali sehingga disahkan melecur tahap empat.

Kecederaan pemain yang mesra dengan gelaran Mickey itu pada awalnya agak kritikal tetapi stabil selepas melakukan empat pembedahan susulan di hospital swasta di Shah Alam.

Namun proses pemulihan Faisal berjalan lebih cepat daripada jangkaan dan dibenarkan keluar dari hospital sejak 25 Mei lalu. – MalaysiaGazette

'Saya tidak pernah buat masalah' - Faisal Halim


SHAH ALAM - "Saya tidak pernah membuat masalah dengan orang,” demikian luahan Faisal Halim dalam sidang media pada Khamis yang juga kemunculan pertamanya di khalayak umum selepas menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, awal bulan lepas.

Pemain berusia 26 tahun yang merupakan tonggak utama Selangor FC (SFC) dan Harimau Malaya itu berkata, beliau melayan semua orang sama rata selain tidak sombong kepada sesiapa sahaja yang mendekatinya, sama ada peringkat atasan mahupun bawahan.

Dikenali dengan perwatakan ceria, beliau berkata, kemungkinan terpaksa mengubah karakter untuk menjadi ‘sombong’ selepas ini bagi keselamatan diri.

"Saya selalu senyum kalau jumpa orang. Lepas ini mungkin perlu sombong untuk kebaikan sebab saya terlalu baik dengan semua orang.

"Saya tidak tahu saya ada musuh ataupun tidak sebab saya tak pernah buat masalah dengan orang,” katanya di Pusat Latihan Selangor FC di sini pada Khamis.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu mengakui sukar buat dirinya apabila hanya dapat memeluk anaknya empat atau lima hari lalu selepas kejadian berkenaan.

"Saya rapat dengan anak, setiap kali pergi luar negara, anak akan demam, rindu ayah. Selepas kejadian ini selama satu bulan tak dapat sayang dan peluk anak saya.

"...tapi (sekarang) belum dapat tidur bersama anak. Anak saya adalah kekuatan saya, semangat saya. Saya berharap apa jadi saya terima dengan reda, hati terbuka, dapat kembali memberi satu ‘hadiah’ untuk anak,” katanya.


 

Faisal Halim mempertimbangkan untuk berhenti bola sepak selepas diserang asid


SHAH ALAM, 13 JUN: Pemain utama Selangor FC (SFC), Faisal Halim, yang juga bermain untuk Harimau Malaya, terfikir untuk menamatkan karier bola sepaknya dan kehilangan gaji besar selepas diserang asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dalam bulan May.

Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 26 tahun itu merasakan keselamatan keluarganya lebih penting dan tidak mahu hidup dalam ketakutan akibat kejadian tidak dijangka itu.

“(Dalam minggu kedua selepas kejadian) saya memberitahu ketua Jawatankuasa Teknikal SFC Datuk Seri Shahril Mokhtar, bahawa saya sanggup kehilangan gaji besar saya dengan berhenti bola sepak asalkan keluarga saya selamat. Saya boleh pulang ke kampung halaman dan hidup aman, walaupun terpaksa bekerja RM50 atau RM100 sehari,” katanya.

“(Tetapi Shahril Mokhtar) meyakinkan saya, dia berkata 'Mickey (nama panggilan Faisal Halim), saya tahu awak boleh teruskan, saya jamin keselamatan awak dan keluarga awak,' dan itu mendorong saya untuk terus bermain bola sepak,” katanya selepas membuat keputusan itu. penampilan umum pertama di Pusat Latihan Selangor FC di sini hari ini.

Pada 5 Mei lalu, Faisal Halim melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang asid oleh individu tidak dikenali, dan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Faisal mengakui sudah tiba masanya untuk menumpukan perhatian kepada proses pemulihan sebelum memikirkan untuk kembali menyinar di padang bola sepak.

Beliau melahirkan rasa syukur atas proses pemulihan yang lancar, mengaitkannya dengan sokongan dan doa yang tidak berbelah bahagi daripada orang ramai.

“Saya berharap dapat kembali turun padang dalam masa sebulan atau lebih lama lagi. Sejujurnya, saya sangat merindui bola sepak, dan bukan mudah untuk tinggal di rumah sahaja. Kaki saya gatal untuk bermain, tetapi sekarang adalah masa untuk memberi tumpuan kepada pemulihan.

“Masih ada beberapa proses yang perlu saya lalui kerana sudah lama saya tidak bermain. Saya perlu kuatkan otot dan pergerakan terlebih dahulu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia boleh menceritakan kejadian itu, Faisal berkata, dia tidak mahu berlarutan dan lebih suka meneruskan dengan segala sokongan yang diberikan kepadanya.

Dia berkata selepas serangan asid itu, kehidupannya berubah secara drastik, kerana dia tidak boleh melakukan banyak perkara secara berdikari dan memerlukan bantuan daripada keluarga - terutama isterinya - untuk aktiviti asas seperti makan dan pergi ke bilik air.

“Saya harap pelaku segera ditangkap dan didakwa di mahkamah,” tambahnya

Pada 25 Mei, SFC mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa pemain sayap itu dibenarkan keluar dari hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan berikutan kejadian itu.

Pemain itu, yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari, pada mulanya dijangka diketepikan selama lima atau enam bulan, terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Sementara itu, Shahril memberi jaminan pemain itu tidak perlu risau tentang kebajikan dan keperluannya semasa proses pemulihan, kerana dia masih mempunyai kontrak jangka panjang sehingga penghujung 2027.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami sebagai majikan untuk menjaga kebajikan semua pemain termasuk Mickey.

“Kelab akan terus memberikan sokongan mental, fizikal dan kewangan kepada Mickey sehingga dia boleh kembali beraksi. Dengan semangat yang ditunjukkan oleh Mickey, (Insya-Allah) tidak mustahil untuk dia kembali,” kata Shahril. – Bernama


 

Faisal Halim Mohon Doa, Mahu Segera Kembali Beraksi


Pemain sayap Selangor, Faisal Halim membuat kemunculan selepas insiden simbah asid yang dialaminya di salah sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.

Dalam satu sidang media yang diadakan di pusat latihan Selangor, Faisal atau yang lebih mesra dipanggil Mickey berkongsi keadaan semasa selepas menjalani rawatan luka bakar yang dialaminya.

“Saya dilahirkan untuk bermain bola sepak. Apabila ada musibah seperti ini menimpa saya, memang sukar untuk saya dan sekeluarga. Saya harap saya akan segera kembali beraksi di atas padang.

“Keadaan sekarang ini masih belum jelas sama ada saya boleh kembali beraksi ataupun tidak. Saya harap semua mendoakan saya agar segera kembali beraksi,” katanya.

Pihak doktor memberikan garis masa tiga hingga ke enam bulan untuk Faisal Halim kembali beraksi namun pemain yang mempunyai jiwa pejuang itu meletakkan sasaran untuk kembali beraksi dalam tempoh masa sebulan.


Ketika sidang media, keadaan menjadi sunyi dan hiba ketika Faisal menyatakan beliau terfikir untuk bersara selepas apa yang berlaku terhadap dirinya.

“Saya sanggup lupakan gaji berpuluh ribu dan pulang ke kampung untuk tinggal dan kerja di sana walaupun gaji RM50 demi keselamatan saya dan keluarga.

“Tapi apa yang buat saya semangat yang Datuk Seri (Shahril Mokhtar) janjikan kepada saya dan keluarga saya, ‘Mickey, saya tahu awak boleh teruskan. Saya boleh jaminkan keselamatan awak dan keluarga.’

“Saya tak boleh makan atau ke toilet sendiri. Semua perlukan bantuan dari keluarga terutama isteri dan keluarga saya. Mereka bergilir-gilir datang pantau dan menjaga saya. Semangat keluarga saya itulah saya bawak untuk kekal bersemangat.

“Saya letak target kembali berlatih dalam masa sebulan setengah walaupun doktor katakan saya perlu 3-6 bulan lagi. Ini semangat Faisal Halim dan saya akan bawa semangat ini untuk kembali,” katanya sambil dalam keadaan sebak.

Pemain sayap skuad Harimau Malaya itu telah menjalani empat pembedahan untuk merawat luka kelecuran sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu.

Selepas itu, Faisal menjalani proses pemulihan di lokasi dirahsiakan selain kawalan ketat bagi memastikan keselamatannya.

Faisal Halim nampak lain, tidak seperti dulu


SELEPAS hampir sebulan tidak tampil di khalayak, pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim akhirnya membuat penampilan pertama dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Selangor FC, di Shah Alam, Selangor.

Faisal yang berpakaian kemeja Selangor FC berwarna kelabu dan bertopi ditemani Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar hadir ke pusat itu kira-kira pukul 2.30 petang pada Khamis.

Kehadiran Faisal di sidang media itu adalah bagi memaklumkan perkembangan terkini dirinya selepas disimbah asid sulfurik pekat oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara pada awal Mei lalu.

Berdasarkan pengamatan Majoriti, penampilan pertama kali sejak episod hitam berkenaan menyaksikan Faisal mengalami sedikit perubahan dari segi fizikal dan karakter yang pastinya akibat dari serangan asid sulfurik pekat itu.

Antara perubahan yang ketara ialah wajah pemain berusia 26 tahun berkenaan sedikit berbeza dengan kelihatan masih banyak bekas luka di bahagian hidung, pipi kiri dan bahagian kepala Faisal.

Bukan itu sahaja, wajah pemain yang mesra dengan jolokan Mickey itu juga agak sedikit kurus atau lebih cengkung dan berkemungkinan ia pasti berpunca daripada diet makanan yang perlu diikutinya.

Jika dilihat dari segi karakter penyerang sayap kebangsaan itu, Faisal masih berada dalam ketakutan dan kurang tersenyum jika dibandingkan sebelum ini yang rata-ratanya mengenali pemain itu seseorang pemain dengan peribadi ceria.

Dari segi pertuturan pula, pemain kelahiran Mengkuang Titi, Seberang Perai, Pulau Pinang berkenaan tampak tidak sepetah dahulu dan dilihat lebih berhati-hati dalam mengatur percakapannya.

Terdahulu, tonggak Selangor FC di bahagian Selangor FC itu mengharungi empat pembedahan sepanjang berada di hospital swasta selepas menjadi mangsa simbah asid pada 5 Mei lalu.

Faisal yang juga pemain kebangsaan akan menjalani rawatan susulan selepas ini termasuk dari aspek psikologi dalam usaha untuknya kembali beraksi di atas padang. — Majoriti

 

Wednesday, June 12, 2024

'Kehidupan saya sudah tidak seperti biasa' - Faisal Halim


"SELEPAS kejadian, kehidupan saya sudah tidak seperti biasa."

Demikian luahan sedih pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim selepas menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.

Faisal yang juga mesra disapa dengan panggilan Mickey berkata, dia tidak boleh makan dengan sendiri dan memerlukan bantuan untuk ke tandas selepas kejadian tersebut.

"Saya tidak boleh makan dengan sendiri, tidak boleh pergi ke tandas sendiri. Apa-apa yang saya nak buat perlukan bantuan daripada keluarga saya terutama isteri saya yang berada dengan saya dari hari pertama hingga ke hari ini.

"Begitu juga dengan keluarga saya bergilir datang pantau dan jaga saya. Semangat keluarga saya itu saya bawa untuk kekal semangat," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Selangor FC pada Khamis.

Sebelum ini, Faisal yang juga pemain kebangsaan terpaksa menjalani beberapa pembedahan untuk merawat luka lecuran tahap empat yang dihadapinya itu.

Dia tampil di hadapan umum buat kali pertama dalam sidang akhbar tersebut dan kelihatan luka lecuran yang dialaminya agak teruk dan bakal memerlukan masa untuk kembali pulih.

Pemain sayap lincah itu akan meneruskan proses pemulihan dan rehibilitasi di lokasi yang dirahsiakan.


 

Jika Faisal Halim kembali, dia akan jadi wira negara -- Kim Pan-gon


KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, menyifatkan kemunculan semula Faisal Halim dalam skuad kebangsaan mampu menjadi perangsang terbaik buat Harimau Malaya untuk melangkah jauh.

Beliau menaruh harapan agar Faisal dapat kembali sembuh daripada kecederaan akibat disimbah asid sebelum ini. 

“Jika Faisal Halim membuat kemunculan semula dan sihat kembali sebagai pemain bola sepak, ia akan menjadi ransangan yang hebat buat Malaysia.

“Faisal akan menjadi wira negara,” katanya.

Terdahulu, tonggak kebangsaan itu masih dalam proses pemulihan di sebuah lokasi rahsia selepas dibenarkan keluar daripada hospital pada 25 Mei lalu.

Kehilangan khidmat pemain sayap Selangor itu jelas memberikan impak besar di bahagian jentera serangan Harimau Malaya dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sebelum ini.

Terdahulu, media melaporkan Faisal dijangka muncul buat pertama kali hari ini selepas insiden disimbah asid 5 Mei lalu.

Faisal dijangka akan mengadakan satu sidang akhbar  jam 2 petang hari ini, berdasarakan satu jemputan daripada kelab Selangor FC kepada media malam tadi.

Kemunculan Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey sudah tentu dinantikan oleh semua rakyat Malaysia yang turut mendoakan kesembuhan pemain lincah itu selepas insiden tersebut. -Malaysiapost


 

Monday, June 10, 2024

Ahli perniagaan tudung terkenal, suami direman kes seleweng derma cecah jutaan ringgit

 PASANGAN suami isteri yang juga pempengaruh direman selama empat hari bermula Khamis berhubung isu menyeleweng kutipan derma.


Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis bagi membantu siasatan kes menyeleweng kutipan derma.


Kedua-dua mereka hadir ke Mahkamah Majistret Putrajaya menaiki van Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tiba pada pukul 9.15 pagi.

Ahli perniagaan berkenaan yang memakai baju lokap berwarna oren kelihatan sangat tenang dan sempat melemparkan senyuman kepada orang ramai dalam keadaan bergari.

Turut direman bagi tempoh sama, dua individu dipercayai pengendali platform.

Perintah tahanan reman sehingga Ahad ini terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan SPRM.

Tempoh reman itu diperoleh bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan

Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Media sebelum ini melaporkan bahawa ahli perniagaan tudung terbabit ditahan SPRM pada pukul 6.40 petang, Rabu.

Menurut sumber, lelaki berusia 30 tahun dan isterinya, 26, ditahan bagi membantu siasatan selepas membuat kutipan derma melebihi jutaan ringgit, namun difahamkan wang itu tidak disalurkan secara betul. 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...