Wednesday, June 19, 2024

Keracunan makanan di Gombak: Kertas siasatan akan dirujuk kepada TPR

 POLIS akan merujuk kertas siasatan lengkap kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kes keracunan makanan yang menyebabkan dua kematian di Gombak, Selangor pada 10 Jun lalu



Hidangan yang merupakan bihun goreng dan telur mata disyaki punca utama keracunan makanan dialami beberapa pengunjung majlis. — Gambar hiasan


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tindakan itu akan diambil selepas laporan bedah siasat diperoleh dalam tempoh sebulan.


“Terbaharu tujuh orang lagi yang terdiri daripada mangsa termasuk pengetua dan guru sekolah diambil keterangan. Ini menjadikan keseluruhan setakat ini, seramai 22 individu sudah dirakam keterangan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas makan sarapan pagi pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak.


Dua mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan remaja lelaki berusia 17 tahun maut dipercayai akibat keracunan makanan.


Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin dilaporkan berkata, keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Sedekad hilang, isyarat baharu MH370 dikesan di Australia Barat

 PENYELIDIK Britain berjaya mengesan isyarat yang mungkin membawa kepada penemuan pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370, yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi sedekad lalu.


Penyelidik Britain mengesan isyarat yang mungkin membawa kepada penemuan pesawat MH370 di Australia Barat. — Agensi


Berdasarkan laporan The Telegraph, seorang penyelidik dari Wales dilaporkan telah menerima isyarat berdurasi enam saat menggunakan mikrofon bawah air atau hidrofon yang berpotensi membawa ke lokasi terakhir pesawat berkenaan.


Isyarat itu dikesan di Cape Leeuwin, Australia Barat, satu daripada dua stesen hidrofon yang berada dalam puluhan minit bagi tempoh penerimaan isyarat masa perjalanan dari hubungan terakhir dengan radar pesawat.


Hidrofon itu pada asalnya direka untuk mengesan larangan ujian nuklear, namun telah digunakan untuk memeriksa isyarat sekitar masa pesawat itu dipercayai terhempas.


Berdasarkan kajian penyelidik, pesawat Boeing 777 seperti MH370 akan menjana tenaga kinetik setara dengan gempa bumi kecil jika ia terhempas pada kelajuan 200 meter sesaat.


Kesan sedemikian akan cukup besar untuk dirakam oleh hidrofon beribu-ribu batu jauhnya.


Untuk rekod, pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dipercayai kehabisan minyak dan terhempas ke dalam lautan selepas melencong dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.


Walaupun pencarian meluas meliputi lebih 119,140 kilometer per segi telah pun dijalankan, hanya 18 serpihan pesawat telah ditemui terdampar di daratan. 

Tuesday, June 18, 2024

Dua bilik asrama SMK Kuala Nerang terbakar 90 peratus

DUA unit bilik di aras tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, Kedah musnah dalam kebakaran pada Rabu.



Balai Bomba Kuala Nerang menerima panggilan tersebut pada kira-kira pukul 7.40 pagi Rabu. — JBPM Kedah


Bagaimanapun, tiada pelajar berada di lokasi kejadian ketika kebakaran berlaku.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Aminuddin Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 7.37 pagi.


Dia berkata, sepasukan anggota seramai 11 orang dari BBP Kuala Nerang yang tiba di lokasi untuk memadam kebakaran yang berlaku.


"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran itu membabitkan dua bilik asrama sekolah berkenaan iaitu bilik penyimpanan barang stor dan bilik air kelas A.


"Anggaran kemusnahan adalah 90 peratus dan tidak membabitkan mangsa. Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Pokok Sena dan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.


Aminuddin berkata, api berjaya dikawal pada pukul 7.55 pagi.


Tambahnya, setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan oleh Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Monday, June 17, 2024

Kedai emas kena rompak 4 lelaki bertopeng di Kajang rugi RM3.2 juta

KEDAI emas yang menjadi mangsa rompakan empat lelaki bersenjata di Kajang, Selangor pada Isnin mengalami kerugian sebanyak RM3.2 juta.


Imej dari rakaman litar tertutup di sebuah pusat beli-belah di Kajang


Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohamad Nasir Drahman berkata, suspek yang menyamar sebagai pengawal keselamatan masih lagi bebas.


"Berdasarkan laporan dan siasatan dijalankan mendapati kerugian dianggarkan sebanyak RM3.2 juta.


"Sehingga kini tujuh saksi sudah diambil keterangan dan akan ada beberapa orang saksi lagi akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan," kata Nasir.


Menurut Nasir, kesemua empat suspek rompakan kedai emas tersebut memakai topeng dan sarung tangan. Mereka juga didapati membawa dua pucuk pistol serta satu laras senapang.


Ketika kejadian yang berlaku pada 3.17 petang, suspek masuk ke dalam premis dan terus memecahkan kaca cermin pameran dengan tukul lalu mengambil barang kemas.


Pada masa sama, suspek juga ada melepaskan satu das tembakan ke arah dinding kedai.


Tambah Nasir, kesemua suspek kemudiannya melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di tingkat bawah pusat beli-belah tempat kedai emas itu berada.


Kejadian ini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).

Saturday, June 15, 2024

EXCO: Faisal Halim jalani rawatan pemulihan psikologi, atasi trauma


KLANG, 15 JUN: Pemain Selangor FC Faisal Halim mengikuti rawatan pemulihan psikologi bagi mengatasi trauma akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata selain rawatan fizikal, aspek pemulihan emosi dan moral pemain itu juga menjadi keutamaan supaya keadaannya pulih sepenuhnya.

“Kerajaan Negeri khususnya Selangor FC secara berterusan membantu dan memantau keadaan kesihatan Faisal bukan fizikal sahaja tetapi psikologi bagi mengatasi trauma.

“Beliau kini mengikuti pemulihan (psikologi) dengan dipantau pakar perubatan Selangor FC untuk bantu proses rawatan dan terapi secara keseluruhan,” katanya selepas majlis penyerahan Geran Digital Penjaja Madani di sini, hari ini.

Mohd Najwan turut berharap insiden yang menimpa Faisal termasuk pemain lain tidak berulang kerana industri sukan seharusnya menyatukan bukannya mengundang perpecahan.

“Perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan perlu penguatkuasaan tegas kerana khuatir akan berlaku lagi membabitkan atlet lain,” katanya.

Pada 13 Jun, Faisal yang juga merupakan pemain Harimau Malaya membuat kemunculan pertama pada sidang akhbar di Pusat Latihan Selangor FC selepas menjalani rawatan hampir sebulan selepas disimbah asid Mei lalu.

Faisal atau dikenali sebagai Mickey yang mengalami luka lecur tahap empat menjalani rawatan rekonstruktif melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.

Pada 25 Mei, Selangor FC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di Shah Alam selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden berkenaan.

 

Thursday, June 13, 2024

Motif serangan asid terhadap Faisal Halim belum dapat ditentukan - Mohd Shuhaily


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum dapat mengenal pasti motif serangan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pusat belah belah di Kota Damansara, bulan lalu dan dua lagi pemain bola sepak negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan bagi mengesan pelaku dalam kes itu masih giat dijalankan dan tidak akan berhenti sehingga pelakunya ditangkap.

Beliau berkata, PDRM kini meluaskan skop siasatan termasuk mengambil beberapa keterangan di pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri membabitkan dua fasa dan kini ia memasuki fasa kedua.

"Namun buat masa ini kita belum dapat 'establised' (memastikan) motif (serangan) ke atas ketiga-tiga serangan (ke atas Faisal, Akhyar Rashid dan Safiq Rahim).

"Apa yang kita nampak hanyalah 'pattern' (corak) serangan yang berlaku selang dua hari. Pattern itu kita nampak, motif kita tidak ada," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Risikan / Operasi) JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus dan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak.

Dalam kes serangan asid ke atas Faisal, Mohd Shuhaily berkata, kes cap jari yang diperoleh di lokasi juga tidak membuahkan hasil siasatan, manakala fotofit suspek yang disiarkan juga tidak banyak dapat membantu siasatan polis untuk mengesan pelakunya.

Sehubungan itu, katanya pihak polis sedang bekerja keras dalam tugas risikan kerana siasatan kes ini agak rumit dan pihak PDRM memerlukan lebih masa untuk menyelesaikan siasatan.

"Apabila tiada saksi awam atau saksi bebas yang dapat membantu (siasatan) kami. Itu yang menjadi cabaran, tetapi kita tidak akan berhenti.

"Pihak JSJ akan meneruskan (siasatan) dan apa sahaja keputusan yang kita peroleh daripada siasatan ketiga-tiga kes, kita akan teruskan siasatan daripada situ," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Faisal yang memberitahu beliau kali terakhir dihubungi pihak polis pada minggu pertama kejadian, Mohd Shuhaily berkata pihaknya akan menghubungi Polis Kontinjen Selangor untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara berkenaan.

"Daripada segi perkembangan siasatan sebenarnya tidak banyak yang kita boleh maklumkan perkembangannya kepada mangsa (Faisal) namun kita akan jumpa dengan Faisal sendiri nanti," katanya.

Semalam, Faisal membuat penampilan kali pertama di hadapan khalayak umum dalam satu sidang media di Pusat Latihan Selangor FC kerana enggan berselindung dan ingin menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa.


 

Mata saya okey, tangan kiri melalui proses salin kulit – Faisal



SHAH ALAM – Pemain Selangor FC, Faisal Halim muncul buat pertama kali pada sidang media dengan keadaan kulit tangan kiri mengelupas teruk selepas lebih sebulan disimbah asid.


Sepanjang pemerhatian pihak media, tangan kirinya itu juga dilihat tidak dapat diangkat dengan sempurna.


Namun dimaklumkan, kulit tangan kiri sedang melalui proses salinan kulit, kata Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr. Muhammad Hazwan Khair.


Pada masa sama, terdapat kesan melecur di bahagian muka pemain berusia 26 tahun itu yang hadir berpakaian kemeja lengang pendek.


Namun Faisal mengesahkan penglihatannya tidak terjejas dan hanya mengalami masalah rabun dekat untuk membaca.


“Melihat okey, main bola okey, cuma hendak baca nampak halus sikit tak ada masalah dengan penglihatan saya, untuk baca perlu pakai cermin mata,” katanya pada sidang media bersama pengurusan Selangor FC di sini hari ini.


Faisal muncul pertama kali di khalayak selepas disimbah asid awal bulan lalu dan kini beliau dibenarkan keluar hospital serta ditempat di lokasi rahsia untuk proses pemulihan.


Mengulas lanjut, pemain itu mengakui dia seboleh-bolehnya tidak mahu lagi mengingat insiden ngeri tersebut.

“Pertama kali waktu mula-mula kena saya rasa panas dan pedih dan saya tahan kesakitan itu.

“Ada yang datang pada saya ketika itu kata tak bahaya dan saya kata ok. Kemudian bila dah berlaku rupanya benda ini sangat-sangat bahaya dan luar biasa,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, selepas insiden tersebut, berat badannya susut sebanyak empat kilogram (kg) dan terpaksa bergantung kepada isteri dan keluarganya untuk menguruskan dirinya termasuk untuk makan dan ke tandas.

Bagaimanapun katanya, berat badannya kembali normal iaitu 51 kg selepas sebulan insiden berlaku.

Awal Mei lalu, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali sehingga disahkan melecur tahap empat.

Kecederaan pemain yang mesra dengan gelaran Mickey itu pada awalnya agak kritikal tetapi stabil selepas melakukan empat pembedahan susulan di hospital swasta di Shah Alam.

Namun proses pemulihan Faisal berjalan lebih cepat daripada jangkaan dan dibenarkan keluar dari hospital sejak 25 Mei lalu. – MalaysiaGazette

'Saya tidak pernah buat masalah' - Faisal Halim


SHAH ALAM - "Saya tidak pernah membuat masalah dengan orang,” demikian luahan Faisal Halim dalam sidang media pada Khamis yang juga kemunculan pertamanya di khalayak umum selepas menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, awal bulan lepas.

Pemain berusia 26 tahun yang merupakan tonggak utama Selangor FC (SFC) dan Harimau Malaya itu berkata, beliau melayan semua orang sama rata selain tidak sombong kepada sesiapa sahaja yang mendekatinya, sama ada peringkat atasan mahupun bawahan.

Dikenali dengan perwatakan ceria, beliau berkata, kemungkinan terpaksa mengubah karakter untuk menjadi ‘sombong’ selepas ini bagi keselamatan diri.

"Saya selalu senyum kalau jumpa orang. Lepas ini mungkin perlu sombong untuk kebaikan sebab saya terlalu baik dengan semua orang.

"Saya tidak tahu saya ada musuh ataupun tidak sebab saya tak pernah buat masalah dengan orang,” katanya di Pusat Latihan Selangor FC di sini pada Khamis.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu mengakui sukar buat dirinya apabila hanya dapat memeluk anaknya empat atau lima hari lalu selepas kejadian berkenaan.

"Saya rapat dengan anak, setiap kali pergi luar negara, anak akan demam, rindu ayah. Selepas kejadian ini selama satu bulan tak dapat sayang dan peluk anak saya.

"...tapi (sekarang) belum dapat tidur bersama anak. Anak saya adalah kekuatan saya, semangat saya. Saya berharap apa jadi saya terima dengan reda, hati terbuka, dapat kembali memberi satu ‘hadiah’ untuk anak,” katanya.


 

Faisal Halim mempertimbangkan untuk berhenti bola sepak selepas diserang asid


SHAH ALAM, 13 JUN: Pemain utama Selangor FC (SFC), Faisal Halim, yang juga bermain untuk Harimau Malaya, terfikir untuk menamatkan karier bola sepaknya dan kehilangan gaji besar selepas diserang asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dalam bulan May.

Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 26 tahun itu merasakan keselamatan keluarganya lebih penting dan tidak mahu hidup dalam ketakutan akibat kejadian tidak dijangka itu.

“(Dalam minggu kedua selepas kejadian) saya memberitahu ketua Jawatankuasa Teknikal SFC Datuk Seri Shahril Mokhtar, bahawa saya sanggup kehilangan gaji besar saya dengan berhenti bola sepak asalkan keluarga saya selamat. Saya boleh pulang ke kampung halaman dan hidup aman, walaupun terpaksa bekerja RM50 atau RM100 sehari,” katanya.

“(Tetapi Shahril Mokhtar) meyakinkan saya, dia berkata 'Mickey (nama panggilan Faisal Halim), saya tahu awak boleh teruskan, saya jamin keselamatan awak dan keluarga awak,' dan itu mendorong saya untuk terus bermain bola sepak,” katanya selepas membuat keputusan itu. penampilan umum pertama di Pusat Latihan Selangor FC di sini hari ini.

Pada 5 Mei lalu, Faisal Halim melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang asid oleh individu tidak dikenali, dan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Faisal mengakui sudah tiba masanya untuk menumpukan perhatian kepada proses pemulihan sebelum memikirkan untuk kembali menyinar di padang bola sepak.

Beliau melahirkan rasa syukur atas proses pemulihan yang lancar, mengaitkannya dengan sokongan dan doa yang tidak berbelah bahagi daripada orang ramai.

“Saya berharap dapat kembali turun padang dalam masa sebulan atau lebih lama lagi. Sejujurnya, saya sangat merindui bola sepak, dan bukan mudah untuk tinggal di rumah sahaja. Kaki saya gatal untuk bermain, tetapi sekarang adalah masa untuk memberi tumpuan kepada pemulihan.

“Masih ada beberapa proses yang perlu saya lalui kerana sudah lama saya tidak bermain. Saya perlu kuatkan otot dan pergerakan terlebih dahulu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia boleh menceritakan kejadian itu, Faisal berkata, dia tidak mahu berlarutan dan lebih suka meneruskan dengan segala sokongan yang diberikan kepadanya.

Dia berkata selepas serangan asid itu, kehidupannya berubah secara drastik, kerana dia tidak boleh melakukan banyak perkara secara berdikari dan memerlukan bantuan daripada keluarga - terutama isterinya - untuk aktiviti asas seperti makan dan pergi ke bilik air.

“Saya harap pelaku segera ditangkap dan didakwa di mahkamah,” tambahnya

Pada 25 Mei, SFC mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa pemain sayap itu dibenarkan keluar dari hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan berikutan kejadian itu.

Pemain itu, yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari, pada mulanya dijangka diketepikan selama lima atau enam bulan, terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Sementara itu, Shahril memberi jaminan pemain itu tidak perlu risau tentang kebajikan dan keperluannya semasa proses pemulihan, kerana dia masih mempunyai kontrak jangka panjang sehingga penghujung 2027.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami sebagai majikan untuk menjaga kebajikan semua pemain termasuk Mickey.

“Kelab akan terus memberikan sokongan mental, fizikal dan kewangan kepada Mickey sehingga dia boleh kembali beraksi. Dengan semangat yang ditunjukkan oleh Mickey, (Insya-Allah) tidak mustahil untuk dia kembali,” kata Shahril. – Bernama


 

Faisal Halim Mohon Doa, Mahu Segera Kembali Beraksi


Pemain sayap Selangor, Faisal Halim membuat kemunculan selepas insiden simbah asid yang dialaminya di salah sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.

Dalam satu sidang media yang diadakan di pusat latihan Selangor, Faisal atau yang lebih mesra dipanggil Mickey berkongsi keadaan semasa selepas menjalani rawatan luka bakar yang dialaminya.

“Saya dilahirkan untuk bermain bola sepak. Apabila ada musibah seperti ini menimpa saya, memang sukar untuk saya dan sekeluarga. Saya harap saya akan segera kembali beraksi di atas padang.

“Keadaan sekarang ini masih belum jelas sama ada saya boleh kembali beraksi ataupun tidak. Saya harap semua mendoakan saya agar segera kembali beraksi,” katanya.

Pihak doktor memberikan garis masa tiga hingga ke enam bulan untuk Faisal Halim kembali beraksi namun pemain yang mempunyai jiwa pejuang itu meletakkan sasaran untuk kembali beraksi dalam tempoh masa sebulan.


Ketika sidang media, keadaan menjadi sunyi dan hiba ketika Faisal menyatakan beliau terfikir untuk bersara selepas apa yang berlaku terhadap dirinya.

“Saya sanggup lupakan gaji berpuluh ribu dan pulang ke kampung untuk tinggal dan kerja di sana walaupun gaji RM50 demi keselamatan saya dan keluarga.

“Tapi apa yang buat saya semangat yang Datuk Seri (Shahril Mokhtar) janjikan kepada saya dan keluarga saya, ‘Mickey, saya tahu awak boleh teruskan. Saya boleh jaminkan keselamatan awak dan keluarga.’

“Saya tak boleh makan atau ke toilet sendiri. Semua perlukan bantuan dari keluarga terutama isteri dan keluarga saya. Mereka bergilir-gilir datang pantau dan menjaga saya. Semangat keluarga saya itulah saya bawak untuk kekal bersemangat.

“Saya letak target kembali berlatih dalam masa sebulan setengah walaupun doktor katakan saya perlu 3-6 bulan lagi. Ini semangat Faisal Halim dan saya akan bawa semangat ini untuk kembali,” katanya sambil dalam keadaan sebak.

Pemain sayap skuad Harimau Malaya itu telah menjalani empat pembedahan untuk merawat luka kelecuran sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu.

Selepas itu, Faisal menjalani proses pemulihan di lokasi dirahsiakan selain kawalan ketat bagi memastikan keselamatannya.

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...