Friday, July 5, 2024

'Agak sukar anak syurga saya suaikan diri', ibu bapa, artis tuntut pampasan adil lepas diarah pindah dari Kampung Sungai Baru


 Penduduk di kawasan Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang dibelenggu dengan isu pemberian pampasan susulan pemindahan tersebut.


ISU pemindahan rumah dalam kalangan penduduk Kampung Sungai Baru dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur sememangnya kurang mendapat perhatian masyarakat.

Hal ini kerana, ramai yang tidak mengetahui masalah sebenar yang dihadapi para penduduk di kawasan itu.

Terdahulu, penduduk Kampung Sungai Baru diarahkan untuk berpindah keluar daripada kediaman mereka bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Projek pembangunan itu juga melibatkan lebih tiga blok rumah Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan juga rumah teres di kawasan tersebut.


Operasi perobohan yang sudah dimulakan di antara blok flat PKNS berhampiran rumah teres di Sungai Baru.


Namun, apa yang membangkitkan kemarahan penduduk apabila pihak pemaju bertindak tidak adil kepada sesetengah penduduk terutamanya penghuni rumah teres.

Menurut seorang penduduk yang terjejas dengan masalah tersebut, masalah mula timbul apabila mereka tidak diberikan jumlah pampasan selayaknya dengan kos rumah dan tanah kepunyaannya.

Tambahan pula tanah tersebut diwarisi sejak lebih dua generasi yang mana moyangnya merupakan penduduk asal di Kampung Baru.


Jaja bersama anak autistiknya, Muhammad Ziqri Rayyan Mohd Faiz.


Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Jaja dan merupakan seorang ibu kepada anak kurang upaya (OKU) autistik itu berkata, perkara tersebut memberi kesan terhadap kesejahteraan keluarganya.

Jaja memberitahu, pihak pemaju tidak sepatutnya mengarahkan mereka untuk keluar dari rumah di atas tanah yang dibelinya sendiri dengan jumlah pampasan hanya RM5,000 untuk tempoh lima bulan sahaja.

"Ini bermakna setiap bulan saya akan mendapat RM1,000 sebulan sahaja bagi tempoh lima bulan tersebut. Bagi saya memang tidak adil lebih-lebih lagi rumah saya di lot tepi dan ia merupakan rumah yang saya duduk sejak lahir.

"Bukan setakat susah untuk kami sebagai orang dewasa, tetapi ia juga memberi kesan kepada anak-anak yang bersekolah di sini.

"Lihat seperti penduduk flat yang sudah dipindahkan di Kerinchi, Kuala Lumpur. Jadi, mereka pun mungkin pening kepala nak pindahkan sekolah anak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Baru pada Jumaat.

Menurutnya, rutin harian anak lelakinya berusia 12 tahun yang menghidap autisme itu juga boleh terganggu sekiranya mereka terpaksa memindahkannya ke sekolah khas di kawasan lain.

"Anak saya bukan sahaja autisme tetapi pada masa sama dia juga seorang sindrom down yang mana memerlukan masa yang lebih lama untuk menyesuaikan diri sekiranya berpindah ke sekolah baharu.

"Agak sukar untuk anak syurga saya menyesuaikan diri untuk berpindah kerana ia akan mengganggu rutin hariannya sekali gus menyebabkan dia tertekan," jelasnya sambil menambah dia terpaksa mengeluarkan modal yang lebih banyak untuk membeli rumah baharu.

Luahnya lagi, dia yang memiliki sebuah kedai runcit mini di rumahnya terpaksa menanggung kerugian banyak apabila pihak berkuasa mengarahkan mereka untuk berpindah dalam tempoh masa singkat.

"Bayangkan, kami hanya menerima notis tersebut pada 5 Oktober dan diarahkan berpindah selewat-lewatnya 19 Oktober 2023.

"Memang tak sempatlah nak keluarkan barang. Tambahan pula dengan keadaan anak saya. Seharusnya pihak yang terlibat mempunyai nilai kemanusiaan," katanya.

Untuk rekod, pembangunan semula di Sungai Baru adalah projek kerjasama swasta antara pemilik tanah dengan pemaju, Ritzy Gloss Sdn Bhd iaitu anak syarikat Suez Capital Sdn Bhd yang telah berjaya melaksanakan pembangunan semula Rumah Pangsa 4 Tingkat di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur pada 2016.

Sebelum ini, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga pernah menggesa pemaju bagi projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru menyerahkan semula tanah berkenaan jika tidak lagi mempunyai kemampuan meneruskan projek berkenaan.

Muatan treler hempap kereta di Jalan Kuching cetuskan kesesakan teruk

 SEBUAH kereta teruk dihempap besi dari muatan treler dalam sebuah kemalangan yang berlaku di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada Jumaat.


Kereta yang terhempap dengan besi muatan treler di Jalan Kuching. — KLCCC


Menurut laporan oleh Kuala Lumpur Command & Control Center (KLCCC), kejadian yang berlaku sekitar 5.30 petang itu menyebabkan kesesakan di lorong kanan.

Dalam perkongsian video yang tular, terlibat sebuah kereta yang teruk dihempap oleh muatan yang dibawa oleh treler tersebut.

Dalam rakaman yang tular di laman X itu, kejadian tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang agak teruk hinggakan kedua-dua arah bergerak perlahan.

Ia mengambil masa dua jam untuk pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tiba di tempat kejadian bagi mengawal keadaan.

Sekitar jam 7.30 malam, bantuan kren DBKL dan trak tunda oleh pihak swasta tiba untuk membantu.

Hingga kini, terdapat laporan mengatakan yang kesesakan masih berlaku di kawasan tersebut dengan urusan mengalihkan kereta serta treler belum lagi selesai.

Buat masa sekarang, belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa mengenai insiden ini. Keadaan mangsa dan kereta juga masih belum diketahui. 

Faisal Halim Pemain Bola Sepak Kebangsaan Disimbah Asid

 


PETALING JAYA: Pemain striker Harimau Malaya, Faisal Halim, dilaporkan disimbah asid oleh dua orang individu pada 5 Mei 2024.


Menurut sumber, dalam kejadia kira-kira 4:40 petang, Faisal bersama isteri dan anaknya keluar daripada sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.


Dikatakan bahawa, Faisal sedang membuat bayaran parkir dan pergi berseorangan menuju ke keretanya yang terletak kira-kira 50 meter dari pintu masuk pusat beli-belah itu.


Sewaktu sahaja Faisal membuka pintu kenderaan dan duduk di tempat pemandu, datangnya 2 individu menunggang motosikal menghampiri kenderaannya.


2 individu penunggang motosikal itu menegurnya dengan mengatakan 'goodluck' sebelum menyimbah asid ke arah Faisal.



Akibat dari kejadian tersebut, Faisal Halim mengalami luka melecur teruk di badan manakala isteri beliau turut terkena sedikit simbahan asid yang disimbah hingga bajunya berlubang.


Dikatakan suspek sempat patah balik untuk mengambil botol asid yang terjatuh semasa menyimbah asid sebelum melarikan diri menaiki motosikal.


Sebaik suspek melarikan diri, salah seorang saksi kejadian menghubungi polis untuk melaporkan kejadian tersebut.


Sebaik sahaja ambulan sampai, Faisal Halim dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.




'Kami tetap nantikan kemaskini kes Faisal Halim,' kerajaan, pembangkang sepakat lulus usul tergempar kecam keganasan sukan

 DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor sebulat suara menyokong usul tergempar yang mengecam keganasan dalam sukan terutamanya bola sepak hingga boleh mengancam kehidupan dan karier atlet.

Faisal (kiri) menjadi mangsa serangan asid pada Mei lalu.


Usul yang dikemukakan oleh Abbas Salimmi Che Adzmi (Seri Serdang) ketika Kajian Separuh Penggal RS-1 (KSP RS-1) pada Jumaat mahukan penyiasatan komprehensif terhadap kes simbah asid yang melanda pemain Selangor FC, Faisal Halim pada Mei lalu.

Usul tersebut sebulat suara diterima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor baik di pihak kerajaan atau pembangkang.


Najwan (kiri) menyokong usul tergempar mengecam keganasan dalam sukan.


Menurut Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri, Najwan Halimi, beliau berpendapat usul tersebut merupakan bukti kesatuan antara pihak kerajaan dan pembangkang dalam perkara tersebut.

Ia menjadi bukti yang kedua-dua pihak mempunyai pendirian tegas menentang apa jua jenis keganasan yang berlaku terhadap ahli sukan.

"Kita juga harus pastikan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya, selain dalam masa sama turut memberi makluman kepada kita mengenai status terkini atau perkembangan siasatan kes tersebut.

"Solidariti kita bukan hanya melibatkan kes Faisal Halim tetapi juga atlet lain yang menjadi mangsa jenayah dalam beberapa insiden baru-baru ini,” kata Najwan.

Dalam pada itu, Hilman Ilham (Gombak Setia) berpendapat yang insiden menimpa Faisal itu bukan sekadar satu jenayah tetapi merupakan isu kemanusiaan.

Beliau berpendapat hal tersebut tidak sepatutnya berlaku dan mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh secara profesional, tanpa kompromi dan tegas.

Selain Najwan dan Hilman, beberapa ADN lain turut berbahas berkenaan perkara itu iaitu Ong Chun Wei (Balakong), Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Lembah Jaya), Mu'izzuddeen Mahyuddin (Hulu Bernam) dan Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis). — The Star

Thursday, July 4, 2024

Suspek rentung, 2 anggota polis parah kereta masuk parit di Muar

 SEORANG lelaki rentung setelah kenderaan dipandunya terbabas ke dalam parit ketika cuba melarikan diri daripada dikejar kereta peronda berhampiran Parit Kongsi 4, Muar, Johor pada Khamis.


Kedua-dua kereta tersebut terbabas ke dalam parit dengan kereta suspek terbakar akibat kemalangan itu.

- PDRM


Dalam kemalangan pukul 4 pagi itu, dua anggota polis parah selepas kereta peronda dinaiki terbabas ke dalam parit sama, dengan kedua-duanya kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, Johor.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu suspek cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.


Satu kenyataan dikeluarkan berhubung kes tersebut pada awal pagi Khamis.


Dia berkata, sebelum kejadian, dua anggota polis berusia 40 dan 41 tahun dari cawangan kereta peronda sedang menjalankan tugas rondaan dan menahan suspek di pekan Parit Jawa bagi tujuan pemeriksaan.

"Namun, suspek melarikan diri dengan memecut kereta jenis Toyota Vios ke arah Parit Jamil. Pada masa sama, polis turut membunyikan siren amaran agar suspek memberhentikan kenderaan sebaliknya dia enggan dan terus memecut.

"Ketika usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan polis dan suspek terbabas dan memasuki parit sama. Selepas kemalangan itu, kereta dipandu suspek terbakar menyebabkannya rentung. Dua anggota polis pula parah dan dikejarkan ke HPSF untuk rawatan," katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, mayat suspek dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat serta menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identitinya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Orang ramai melihat kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Jalan sesak dipercayai punca penunggang motor tak puas hati tendang lelaki naik basikal tepi jalan

 SEORANG lelaki terkedu selepas basikal yang ditunggangnya ditendang penunggang motosikal ketika melalui jalan raya baru-baru ini.

Tangkap layar video memaparkan lelaki tersebut yang terjatuh ke tepi jalan selepas ditendang penunggang motosikal.


Menerusi video tular di media sosial sejak Khamis, tindakan penunggang motosikal tersebut menyebabkan lelaki itu terjatuh ke tepi jalan.

Menerusi video tular di media sosial sejak Khamis, tindakan penunggang motosikal tersebut menyebabkan lelaki itu terjatuh ke tepi jalan.

Pada masa sama, lelaki itu dilihat terduduk dan hanya memandang ke arah penunggang terbabit yang berlalu pergi selepas kejadian itu.

Punca kejadian bagaimanapun masih belum diketahui dan tiada kemalangan jiwa berlaku ketika kejadian.

Malah lokasi dan tarikh sebenar kejadian juga tidak dapat dipastikan.

Penunggang motosikal tersebut menendang seorang lelaki yang menunggang basikal di sebuah jalan raya baru-baru ini.


Video itu turut meraih perhatian orang ramai dan rata-rata warga maya mengecam tindakan penunggang terbabit.

"Susah sangat ke nak jadi baik, boleh lalu sebelah cakap tolong ke tepi, yang kau sepak kenapa?.

"Seronok sangat ke buat jahat macam tu? Tak ada simpati langsung," komen @kacakberderai.

Namun, ada juga yang menyalahkan mangsa kerana menjadi punca kesesakan jalan raya dan menghalang laluan beberapa kenderaan lain di belakangnya.

"Dia marahlah sebab basikal tu punca jalan sesak. Jalan sempit, banyak kereta dan motosikal tak sesuai buat untuk basikal.

"Lagi-lagi jenis bawa basikal santai macam tu. Tapi tak perlu sepak, hon dah tegur sudah," tulis @Manontherun99.

"Katanya jalan sempit dan belakang lori dan sesak sangat disebabkan basikal tu," kata @JAFZ8588

Skuad Olimpik akan sarung baju rekaan Rizman Ruzaini

 KONTINJEN negara akan menyarung pakaian berinspirasikan baju Melayu rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini sewaktu majlis perasmian Sukan Olimpik Paris pada 26 Julai nanti.


Pereka fesyen tempatan, Ruzaini Wan Jami (kiri) dan Rizman Nodin (tengah) menghasilkan rekaan baju bagi majlis perasmian Sukan Olimpik Paris pada 26 Julai nanti.


Perkata itu disahkan Ketua Kontinjen Negara (CDM) Olimpik Paris Datuk Hamidin Mohd Amin.

Difahamkan, perkara itu turut akan diumumkan kepada orang ramai tidak lama lagi.

“Ia akan bertemakan baju Melayu dan akan menjadi tradisional.

"Kami telah memuktamadkan reka bentuk dan akan menunjukkannya kepada umum tidak lama lagi,” katanya semasa sidang media di Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Rizman Ruzaini, baru-baru ini hangat diperbualkan serata dunia selepas penyanyi terkenal, Lady Gaga dilihat memakai rekaan gemerlapan yang dihasilkan mereka dalam sebuah pertunjukan di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Tidak hanya itu, jenama Rizman Ruzaini juga digunakan ramai artis tempatan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Nur Fazura, Fasha Sandha dan Elfira Loy. 

Lelaki rentung, 2 anggota polis parah kereta terbabas dalam parit


MUAR: Seorang lelaki rentung selepas kenderaan dipandunya terbabas dalam parit ketika cuba melarikan diri daripada dikejar sebuah kereta peronda, berhampiran Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan jam 4 pagi, dua anggota polis turut parah selepas kereta peronda dinaiki mereka terbabas ke dalam parit sama, dengan kedua-duanya kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kemalangan itu dikatakan berpunca apabila kereta dipandu suspek cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Beliau berkata, sebelum kejadian, dua anggota polis berusia 40 dan 41 tahun dari cawangan kereta peronda sedang menjalankan tugas rondaan dan menahan suspek di pekan Parit Jawa, bagi tujuan pemeriksaan.

"Namun, suspek melarikan diri dengan memecut kereta Toyota Vios ke arah Parit Jamil. Pada masa sama, polis turut membunyikan siren amaran supaya suspek memberhentikan kenderaan sebaliknya terus memecut.

"Ketika usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan polis dan suspek terbabas dan memasuki parit sama.

 "Selepas kemalangan itu, kereta dipandu suspek terbakar menyebabkannya rentung manakala dua anggota polis pula parah dan dikejarkan ke HPSF untuk rawatan," katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, mayat suspek dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat serta menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identitinya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Orang ramai melihat kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

'Niat kita ALLAH yang tahu', Raffi Ahmad jelaskan cuma mahu abadi kenangan selepas dikutuk buat haji demi konten

 BARU-BARU ini, pelakon terkenal Indonesia, Raffi Ahmad menerima kecaman hebat selepas sering memuat naik konten sewaktu menunaikan haji.

Raffi Ahmad (kiri) bergambar bersama ibunya (kanan),

Amy Qanita sewaktu menunaikan ibadah haji di Makkah.



Ramai netizen mula mempertikaikan niatnya sewaktu menunaikan rukun kelima haji itu kerana dilihat seakan-akan hanya mahu menghasilkan konten semata-mata.

Tampil menjelaskan isu berkenaan, pelakon drama Sinetron berjudul Olivia itu berkata, niatnya hanya mahu mengabadikan kenangan indah di tanah suci.

"Saya buat konten sebab nak abadikan kenangan sahaja.

"Tidak setiap saat kita beribadah, ada waktu berehat. Jadi saya merakam kenangan sewaktu rehat," katanya.


Raffi Ahmad (kiri) bersama isterinya (kanan), Nagita Slavina menunaikan haji bersama-sama.


Malah, Raffi berkata, dia bertemu ramai individu mengagumkan sewaktu berada di tanah suci seperti Ustaz Khalid Basalamah, Ustaz Syafiq dan ulama.

Dalam pertemuan dengan para ilmuan itu, suami Nagita Slavina berasa miliki banyak pesanan penting yang patut dikongsi bersama para pengikut di media sosial.

"Ustaz-ustaz menyampaikan kepada saya ilmu. Bersyukur saya sudah ada kemahuan dan mampu menunaikan haji dengan sempurna.

"Saya pun sampaikan kebaikan yang dikongsi kepada peminat-peminat saya juga," katanya.

Raffi juga mempercayai ALLAH Maha Mengetahui tentang niat sebenarnya sering membuat konten di media sosial.

"Sebenarnya semua bergantung niat. ALLAH juga Maha Mengetahui. Saya percaya orang yang ada di tanah suci kemahuannya adalah berdoa.

"Saya tidak kisah orang nak bercakap apa kerana saya mahu tunjukkan kebaikan di tanah suci supaya orang termotivasi untuk ke sana." katanya.

Raffi turut berpendapat bahawa lebih baik jika seseorang yang miliki kemampuan untuk menunaikan haji meneruskan niatnya meskipun masih muda.

"Jika anda berkemampuan dari segi fizikal dan kewangan, tidak ada salahnya menunaikan haji sewaktu masih muda," katanya. 

Didakwa langgar lampu isyarat, remaja nyaris kehilangan kaki akibat dirempuh kereta di Kuala Ketil

 TIGA individu cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan kereta bertembung dengan motosikal di Kuala Ketil, Kedah pada Rabu.


Tangkap layar kejadian kemalangan yang berlaku di Kuala Ketil, Kedah.


Kejadian dipercayai berlaku kerana mangsa yang terlibat melanggar lampu isyarat tetapi tidak dapat dipastikan sama ada pemandu kereta atau penunggang motosikal yang melakukan kesalahan tersebut.

Dalam satu hantaran di laman X menunjukkan seorang lelaki memakai pakaian serba hitam mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepalanya.

Turut dilihat, seorang mangsa yang masih remaja nyaris putus kaki setelah mengeluarkan darah yang sangat banyak pada kedua-dua belah kakinya.


Seorang lelaki menahan kesakitan selepas terlibat dalam kemalangan di Kuala Ketil.



Orang ramai yang berada di sekeliling kejadian turut dilihat membantu mangsa dengan meneliti barangan keperluan seperti lesen dan kad pengenalan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berasa bimbang dengan keadaan mangsa.

"Umur baru berapa itu tahu-tahu kaki dah jadi macam itu. Harap-harap boleh pakai balik. Haih," kata Arfabdim.

"Harap kakinya boleh diselamatkan. Laju-laju nak pergi mana," kata Simunjan46.

"Fuh tak tahan tengok, sakitnya," tulis Kimola94.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa mengenai kejadian itu. 

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...