Tuesday, July 16, 2024

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor


SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelum mayatnya ditemui semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata ini berdasarkan keadaan mayat ketika ditemui dalam sebuah paya di ladang kelapa sawit berhampiran Gedangsa, Hulu Selangor.

"Ketika mayat mangsa ditemukan, keadaannya sudah hampir reput kerana telah meninggal dunia beberapa hari.

"Buat masa ini, kita belum dapat memastikan jenis kecederaan yang dialami. Perlu tunggu proses bedah siasat yang dijalankan petang ini selesai," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Media semalam melaporkan graduan UPSI yang dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemui mati di kawasan tidak jauh dari FELDA Gedangsa, Hulu Selangor.

Susulan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Ia kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal polis mendapati tempat penemuan mayat adalah lokasi utama kejadian pembunuhan.

Mengulas lanjut, Hussein berkata masih terlalu awal pihaknya untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung motif kejadian selain tiada sebarang rampasan senjata di lokasi penemuan mayat termasuk dakwaan perselisihan faham antara mangsa dan suspek.


 

Polis tahan 2 lelaki, rampas dua pistol di Kedah


ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki dan merampas dua pucuk pistol serta pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM148,000 dalam dua tangkapan di Taman Lam Foong, di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata dalam tangkapan pertama, sepasukan anggota daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menahan seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun ketika sedang melakukan rondaan cegah jenayah.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek menjumpai dua pucuk pistol bersama 48 butir peluru. Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, suspek turut positif dadah jenis methamphetamine.

"Hasil tangkapan pertama telah membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan berumur 65 tahun pada hari yang sama.

"Polis turut menjumpai 62 paket plastik dadah disyaki ketamin seberat lebih 1.3 kilogram, 40 pembalut aluminium berisi pil Erimin 5 seberat 113 gram dan 76 peket plastik berisi ekstasi seberat 989 gram," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Fisol berkata polis turut menyita sebuah kereta jenis Audi A4 dan sebuah televisyen yang dipercayai diperoleh daripada aktiviti pengedaran dadah.

Katanya, suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah.

"Kedua-duanya ditahan reman selama tujuh hari hingga 21 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti) 1971, Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita percaya mereka ada kumpulan sendiri dan dadah jenis ketamin ini digunakan di pusat-pusat hiburan. Polis masih menjalankan siasatan, mungkin juga ada permintaan (dadah) oleh individu perseorangan," katanya.

Dalam pada itu, Fisol berkata pada Khamis lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar melancarkan Op Letrik bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan membuat serbuan terhadap 14 premis yang menjalankan aktiviti mencuri elektrik untuk menjalankan kegiatan melombong bitcoin di sekitar daerah Kota Setar.

"Hasil serbuanberjaya menahan tiga lelaki dan merampas 564 mesin bitcoin. Kita percaya mereka telah lama melakukan aktiviti melombong ini dan polis sebelum ini ada menerima aduan berhubung gangguan tenaga elektrik.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.

- BERNAMA



 

Monday, July 15, 2024

Suspek pembunuhan Nur Farah Kartini anggota polis di Perak

 


Pihak polis mengesahkan suspek utama kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah ialah seorang anggota polis.


PIHAK polis mengesahkan suspek utama kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah merupakan seorang anggota polis.

Perkara itu mendapat pengesahan daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris pada Selasa (16 Julai).

Azizi berkata, individu berusia 26 tahun itu merupakan lans koperal dari balai polis Slim River, Perak.

"Dia sudah berkhidmat dengan pasukan polis kira-kira lima tahun.

"Kini suspek sedang disiasat oleh polis Selangor.

"Dalam siasatan polis Muallim, (suspek) menunjukkan di mana kesalahan itu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, perintah mahkamah di Hulu Selangor diperolehi pada Selasa (16 Julai) untuk menahan reman suspek selama tujuh hari sehingga 22 Julai.

Sebelum ini, Farah Kartini, dilaporkan hilang selepas dipercayai menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu lalu.

Mangsa juga difahamkan, bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta.

Laporan kehilangan telah dibuat oleh rakannya pada awal pagi Khamis (11 Julai).

Namun, mangsa ditemui mati di Felda Gedangsa, Hulu Selangor pada Isnin (15 Julai).

Sementara itu, Azizi memuji tindakan yang diambil oleh Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir dalam mengendalikan siasatan tersebut.

"Saya berbangga dengan OCPD Muallim.

"Selepas laporan orang hilang dibuat, dia segera mengeluarkan kenyataan akhbar dalam usaha mengesan mangsa," jelasnya.

Pada Isnin, Hussein mengesahkan penahanan seorang penjawat awam berusia 26 tahun berikutan penemuan mayat itu. — The Star/ IVAN LOH dan JUSTIN ZACK



'Tak perlu tunggu 24 jam buat laporan polis', pakar jenayah mahu orang ramai kikis pemahaman lapuk

 TIDAK perlu menunggu sehingga cukup tempoh 24 jam untuk membuat sesuatu laporan polis, kata pakar kriminologi.


Kejadian seperti orang hilang tidak perlu menunggu sehingga cukup tempoh 24 jam untuk membuat laporan polis.

Pakar tersebut, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata sedemikian bagi mengulas mengenai berita seorang wanita, Nur Farah Kartini, 25 yang hilang sejak Rabu pagi sebelum ditemui mati pada Isnin.

Difahamkan, rakannya yang cuma mahu dikenali sebagai Amira hanya memuat naik berita kehilangannya menerusi media sosial sebelum memutuskan untuk membuat laporan polis gara-gara berfikir belum cukup tempoh 24 jam.

Bagaimanapun, selepas kira-kira 17 jam, atas nasihat orang ramai, dia kemudian membuat laporan mengenai perkara tersebut di Balai Polis Ulu Bernam.

Tampil menjelaskan mengenai hal itu, Shahul berkata, laporan polis sepatutnya dibuat secepat mungkin setelah mengetahui berita mengenai kehilangan.

"Tak perlu tunggu lama-lama dan tak payah tunggu 24 jam, serta-merta kena buat laporan polis. Tak kisah kes ugut, kes lain atau kes kehilangan.

"Dengan cara ini, polis dapat kesan tentang kejadian lebih awal terutama selepas beberapa jam hilang.

"Polis dapat melakukan tindakan secepat mungkin sebelum apa-apa berlaku," katanya kepada Majoriti. 

Meskipun tidak pasti sama ada seseorang itu benar-benar hilang ataupun tidak, Shahul berkata, orang ramai tidak perlu takut untuk membuat laporan polis.

"Kalau orang yang hilang itu sudah dijumpai semula atau apa-apa, hanya perlu pergi semula ke balai dan maklumkan bahawa individu tersebut sudah dijumpai," katanya.

Tambahnya lagi, sangat penting bagi kita menilai sifat seseorang sebelum memutuskan untuk memiliki sebarang perhubungan.

"Kita sebenarnya boleh fikir siapa musuh kita atau kawan kita.

"Jadi kita kena nilai dahulu sebelum ada apa-apa hubungan dengan seseorang kerana akhir-akhir ini kebanyakkan kes yang membawa kepada kematian berpunca daripada perasaan cemburu yang ada pada orang terdekat, " katanya,

Pada Selasa, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah adalah teman lelakinya.

Menurut laporan media tempatan, lelaki yang ditahan polis itu bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada Isnin.

Kekasih sendiri suspek kes bunuh Nur Farah Kartini — Polis

 KETUA Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, adalah teman lelakinya.


Suspek dilihat memakai pelitup muka dan memakai baju lokap polis berwarna oren.


Menurut laporan media tempatan, lelaki yang ditahan polis itu bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada Isnin.

Berpandukan siasatan terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam.

"Bagaimanapun, motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya.

Sebelum ini, suspek berusia 26 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor untuk permohonan reman.

Suspek dilihat memakai pelitup muka dan memakai baju lokap polis berwarna oren dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

Sebelum ini, Farah Kartini, dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu lalu.

Mangsa juga difahamkan, bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta.

Polis sebelum ini merakam keterangan tujuh individu yang dapat membantu siasatan kes kehilangan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang. — The Star


Taktik lori lepas pemeriksaan tayar dibongkar, wujud servis 'tambah bunga'

 SEJAK akhir-akhir ini, kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori sering dilaporkan berlaku di dalam negara sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.


Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan individu sedang mengukir corak bunga tayar pada lapisan dasar tayar yang sudah haus.


Beberapa insiden nahas melibatkan jenis kenderaan berkenaan turut dirakam dan tular di media social termasuk kejadian membabitkan kehilangan nyawa orang awam yang tidak bersalah.

Pada 24 Jun lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah memaklumkan sebanyak 652 kes kemalangan direkodkan membabitkan pelbagai kenderaan berat setakat tiga bulan pertama 2024 iaitu sehingga Mac.

Nahas berkenaan antara lain melibatkan pengangkutan lori kontena, lori kecil dan bas ekspres.

Menurutnya, kemalangan itu berpunca pelbagai faktor.

Antara punca utama menyumbang terhadap situasi tu adalah kecuaian pemandu mengantuk, memandu melebihi had laju dibenarkan, kenderaan membawa lebih muatan dan penyelenggaraan yang lemah.

Situasi itu turut menimbulkan kerisauan terhadap orang awam yang rata-ratanya berpandangan kerajaan perlu meningkatkan pemantauan terhadap kenderaan pengangkutan tersebut.

Dalam pada itu, tular pada Isnin video didakwa mendedahkan taktik digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab yang menawarkan serivs 'menambah bunga' pada tayar sebuah lori yang sudah berada dalam keadaan haus atau 'botak'.

Berdasarkan klip berkenaan, seorang lelaki dilihat mengukir corak bunga tayar pada lapisan dasar tayar yang sudah haus.

Tindakan dikenali sebagai tyre retreading itu dipercayai dilakukan untuk mengelak daripada pemeriksaan oleh pihak berkuasa.

"Buat bunga sendiri ? Macam mana la tak terbabas la, tayar meletup semua," tulis mhmmdhsm yang memuat naik video berkenaan.

Dalam pada itu, di ruangan komen, terdapat juga beberapa netizen yang mendedahkan taktik lain digunakan oleh pemilik atau pemandu kenderaan berat untuk melepasi pemeriksaan berkuasa.

Malah, mereka turut mencadangkan agar kerajaan membuat penambahbaikan terhadap pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan kenderaan berkenaan.

"Ramai sewa tayar untuk bagi lepas Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer). Lepas habis pemeriksaan Puspakom semua tukar balik tayar lama. Ada sedikit rombakan dari segi penguatkuasaan perlu dibuat mengenai perkara ini," kongsi Marchfoward.

"Penyelesaiannya saman juta-juta syarikat tu sekali. Saman pemandu je, esok dia drive balik," ujar saifulhisyam.

"Sebenarnya kerajaan boleh sahaja ubah waktu operasi kenderaan berat 7.5 tan ke atas supaya tak campur dengan orang kebanyakan. Yang terjejas cumalah geng diorang iaitu penghantar, driver dengan penerima. Interstate boleh guna kontena nasional berhad. Lori-lori lain termasuk 4x4 paksa pakai speed limiter," ujar takberapanakok.

Majoriti sedang cuba mendapatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom berhubung dakwaan berkenaan.

Sunday, July 14, 2024

Peniaga bunuh pelancong warga Perancis terlepas hukuman mati


JOHOR BAHRU: Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini, hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadap peniaga yang membunuh pelancong warga Perancis pada Mei 2011.

Mahkamah kemudian menggantikan hukuman itu dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan bermula dari tarikh tertuduh, Asni Omar, 49, ditahan pada 21 Julai 2011.

Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Sebelum ini, Asni didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Stephanie Foray yang ketika itu berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Tekek, Pulau Tioman, antara jam 8 malam, 10 Mei 2011 hingga waktu tengah hari, 12 Mei 2011.

Difahamkan, mayat Stephanie yang ditanam dalam sebuah gua di Pulau Tioman kemudian dijumpai kira-kira tiga bulan kemudian.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam, Kee Wie Lon dan Ee Gen You.

Pada 16 Ogos 2016, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman mati ke atas Asni selepas rayuan akhirnya ditolak panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria.

Arifin bersama empat lagi hakim yang bersidang dalam panel terbabit iaitu Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali; Tan Sri Abu Samah Nordin; Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan berkenaan.


 

Polis tahan penjawat awam lelaki disyaki terbabit kes bunuh Nur Farah Kartini

 POLIS menahan seorang penjawat awam susulan penemuan mayat seorang wanita Miri, Sarawak yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu.


Seorang suspek lelaki ditahan polis susulan kes kematian Nur Farah Kartini.


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek lelaki berusia 26 tahun itu ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada pukul 9 pagi Selasa di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Selangor untuk membantu siasatan.

Katanya, polis menemui mayat perempuan warga tempatan di sebuah ladang kelapa sawit, di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, Selangor.

"Pemeriksaan awal mendapati, mayat terbabit dipercayai adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait repot (OH) bersangkut Tanjung Malim pada 11 Julai lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, wanita tersebut dilaporkan ditemukan mati di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, Selangor pada Isnin.

Mangsa, Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu lalu.

Mangsa juga difahamkan, bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta. 

Tukang cuci maut motosikal terperosok bawah kereta di Johor Bahru

 SEORANG penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 11 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor pada awal pagi Isnin.


Mangsa warga Sri Lanka itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang maut dalam nahas kira-kira pukul 12.40 pagi itu merupakan warga Sri Lanka yang bekerja sebagai tukang cuci kereta.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah pusat bandar di lorong tengah melanggar sebuah motosikal lain yang berada di hadapannya.

"Akibatnya mangsa jatuh ke lorong kanan. Pada masa sama, datang sebuah kereta melanggar mangsa dan kereta tersebut turut dilanggar sebuah kereta lain di belakangnya.

"Mangsa yang berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Seorang lagi penunggang motosikal mengalami luka di tangan. Dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Raub memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi awam yang melihat kejadian tersebut diminta tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Hafiza Othman di talian 014-8068350," katanya.

Video kemalangan tersebut turut dikongsikan menerusi laman Facebook pada Isnin, sebelum ia menjadi tular. 

Abang tak putus harapan, keluarga di Sarawak terkedu terima khabar duka kematian Nur Farah Kartini

 ABANG kepada wanita berasal dari Miri, Sarawakyang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu meluahkan harapan agar adiknya ditemui beberapa jam sebelum menerima berita kematian mangsa pada Isnin.


Wanita Miri yang dilaporkan hilang ditemukan maut di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, Selangor pada Isnin. — Polis


Menerusi hantaran di Facebook, Mohd Farizza Azmi masih mengharapkan adiknya ditemui dalam keadaan selamat.

"Aku harap adik aku kembali dalam keadaan selamat. Jangan berhenti posting berkenaan adik aku. Dan jangan pernah berhenti mendoakan adik aku," tulisnya pada Isnin.

Hantarannya itu turut menerima ucapan takziah daripada orang awam yang bersimpati terhadap kejadian tragis yang menimpa adiknya itu.

Sementara itu, pihak keluarga yang dihubungi Majoriti memaklumkan masih belum menerima laporan polis berhubung perkhabaran duka tersebut.

Malah, mereka juga memberitahu yang pihak keluarga belum dimaklumkan andai mayat yang ditemui polis itu adalah Nur Farah Kartini.

Ketika ditanya lebih lanjut, pihak keluarga juga meminta ruang dan enggan mengulas lanjut kerana masih tidak dapat memastikan bahawa mayat mangsa adalah Nur Farah Kartini.

Terdahulu, wanita tersebut dilaporkan ditemukan mati di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, Selangor pada Isnin.

Mangsa, Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu lalu.

Mangsa juga difahamkan, bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta.

Polis sebelum ini merakam keterangan tujuh individu yang dapat membantu siasatan kes kehilangan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang.

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...