Saturday, July 13, 2024

Polis trafik cedera dirempuh kereta dipercayai pemandu mabuk

 


JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk di Kilometer 3.6 Jalan Pantai di sini, hari ini.

-ADVERTISEMENT-

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian jam 7.05 pagi itu, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan yang berusia 30-an itu sedang mengawal aliran trafik selepas berlaku satu kemalangan di lokasi terbabit.

"Kemalangan berlaku ketika mangsa sedang membuat kawalan lalu lintas berikutan satu kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas sendiri di lorong kanan menghala ke Permas Jaya.

"Ketika proses penundaan dilakukan, tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Wira warna perak dari arah belakang telah mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu melanggar anggota polis trafik yang sedang berdiri di sebelah trak tunda," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas cermin hadapan Proton Wira berkenaan sebelum melambung dan terjatuh di tengah jalan.

Menurutnya, mangsa patah tulang pinggul kiri, luka di muka dan dagu selain luka di bahagian tangan kanan.

Manakala, katanya, pemandu kereta berkenaan yang berusia 30-an pula luka pada tangan sebelah kiri.

"Hasil ujian pernafasan mendapati pemandu kereta berkenaan positif alkohol dalam darah, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapatinya negatif dadah," jelasnya.

Raub berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu bawah pengaruh alkohol.

"Kita memohon saksi awam yang melihat kemalangan itu supaya tampil ke balai trafik IPD Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek 014-6977122," katanya. - Berita Harian

Lelaki ada 13 rekod jenayah lampau, ditahan lagi

 


SEREMBAN: Seorang lelaki yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau, sekali lagi diberkas selepas cuba meragut beg silang dibawa seorang penunggang motosikal di sebuah kawasan perumahan di Sikamat, di sini, semalam.

-ADVERTISEMENT-

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dibantu orang awam yang mendengar jeritannya sebelum suspek berusia 46 tahun berjaya ditahan dan diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata insiden berlaku ketika mangsa lelaki berumur 39 tahun dikatakan sedang menunggang motosikal dan didatangi suspek yang juga menunggang motosikal lalu cuba meragut beg silangnya.

"Berikutan itu, mangsa dipercayai menjerit meminta tolong sambil cuba menghalang tindakan suspek sehingga berlaku pergelutan antara kedua-duanya.

"Hasil bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian, suspek berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Beliau berkata, suspek didapati adalah penduduk tempatan serta mempunyai 13 rekod lampau membabitkan jenayah samun, mendatangkan kecederaan, perbuatan khianat dan dadah.

"Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan. Dengan tertangkapnya lelaki itu, pihak polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes ragut sebelum ini yang menyasarkan mangsa sedang berjalan dan menunggang motosikal di sekitar kawasan daerah Seremban," katanya. - Berita Harian

Kereta diletupkan di luar kafe Mogadishu, 5 penonton final Euro 2024 maut, 20 parah

 SEKURANG-KURANGNYA lima terbunuh manakala 20 orang lagi cedera parah dalam kejadian letupan bom kereta di sebuah kafe di Mogadishu, Somalia pada awal pagi Isnin.


Lebih 20 orang cedera dalam kejadian letupan bom kereta di sebuah kafe di Mogadishu, Somalia pada awal pagi Isnin.

Dalam kejadian itu, kafe tersebut dipenuhi peminat bola sepak yang menonton perlawanan akhir Euro 2024 menyaksikan pertembungan antara England menentang Sepanyol yang berkesudahan Sepanyol menang 2-1.

Imej dan video yang disiarkan di internet menunjukkan bebola api besar dan kepulan asap tebal menyelubungi langit sewaktu letupan yang memusnahkan restoran popular di pusat bandar itu.

“Sebuah bom kereta diletupkan di luar Restoran Top Coffee. Bom ini diletakkan oleh pengganas Kharijite.

“Laporan awal polis mengesahkan lima maut dan 20 kecederaan,” lapor Agensi Berita Nasional Somalia(SONNA), memetik kenyataan jurucakap polis, Mejar Abdifitah Aden Hassan.

Saluran Televisyen Nasional Somalia melaporkan maklumat sama mengenai pengeboman tersebut, yang berlaku ketika sekumpulan anak muda menonton perlawanan akhir Euro 2024.

Seorang wartawan AFP berkata, anggota bomba, polis dan ambulans bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Polis telah mengepung kawasan itu, yang berhampiran dengan pekarangan istana presiden yang dikenali sebagai Villa Somalia.

Al-Shabaab melancarkan pemberontakan berdarah terhadap kerajaan persekutuan Somalia selama lebih 17 tahun dan melancarkan beberapa serangan bom di Mogadishu serta lokasi lain di negara itu. 

Perkelahan bertukar tragedi, 2 remaja lemas ketika bermandi-manda di Air Terjun Jami

 KEGEMBIRAAN sekumpulan remaja di Indonesia bermandi-mandi bertukar tragedi selepas dua meninggal dunia akibat lemas pada Ahad.


Kedua-dua remaja berkenaan ditemui di kedalaman lima meter. 

Memetik laporan Detik.com, sekumpulan remaja berkenaan dilihat sedang beriadah bersama-sama sambil menikmati keindahan air terjun yang terletak di Air Terjun Jami, Kabupaten, Indonesia.

Rakaman tersebut menunjukkan mereka sedang bermain keriangan sebelum dua rakan mereka hilang ditelan air.

Mangsa yang terkorban adalah gadis bertudung putih dan hitam dalam video berkenaan.

Menurut laporan, kedua-dua mangsa itu dikenali sebagai Tazkiyah Wulandari dan Salsabirah Azzahra Allisa, masing-masing berusia 17 tahun.

Difahamkan, pasukan keselamatan terlebih dahulu menemui jasad Salsabila, tidak lama kemudian barulah Tazkiyah ditemukan.

Kedua-dua mangsa yang ditemui di kedalaman lima meter itu dipercayai terperangkap di celah batu.

Rasionalisasi RON95 dijangka berperingkat elak kejutan kepada pengguna - Penganalisis

KUALA LUMPUR:Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dijangka dilaksanakan secara berperingkat dan terukur bagi mengurangkan potensi kejutan kepada pengguna dan ekonomi, kata penganalisis.


RON95


-ADVERTISEMENT-

Penganalisis TA Securities, Farid Burhanuddin, berkata semua perhatian kini tertumpu kepada rasionalisasi subsidi RON95, yang pihaknya percaya akan dilaksanakan dalam tahun ini juga.

Beliau berkata, pihaknya berpandangan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 berkemungkinan besar dilaksanakan melalui pendekatan berperingkat dan terukur untuk meminimumkan potensi kejutan kepada ekonomi dan pengguna.

"Pelaksanaan yang teliti ini bertujuan mengimbangi kemampanan fiskal dengan keperluan mengurangkan kesan ke atas belanjawan isi rumah dan kestabilan ekonomi keseluruhan," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Farid berkata, menurut Bank Negara Malaysia (BNM), tekanan inflasi pada separuh kedua tahun ini berkemungkinan meningkat. 

Namun, beliau berkata, kejutan itu mungkin terurus berikutan usaha kerajaan dalam menangani potensi kenaikan harga. 

Katanya, langkah itu bertujuan untuk mengurangkan kesan ke atas pengguna dan mengekalkan kestabilan ekonomi.

Mengulas lanjut, Farid berkata, inflasi keseluruhan dan teras berpurata sekitar 1.8 peratus dalam tempoh lima bulan tahun ini. 

Beliau berkata, seperti yang dijangkakan, inflasi akan meningkat pada separuh kedua 2024, di tengah-tengah rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini. 

Walau bagaimanapun, katanya, kenaikan inflasi akan kekal terkawal memandangkan langkah mitigasi untuk meminimumkan kesan kos ke atas perniagaan. 

"Melangkah ke hadapan, risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan selanjutnya langkah dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga kepada arah aliran harga yang lebih luas, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan. 

"Bagi tahun ini secara keseluruhan, inflasi utama dan teras dijangka berpurata dalam julat unjuran awal masing-masing 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus," katanya.

Mana ada istilah 'full loan' beli kereta - Penganalisis

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Tiada istilah pinjaman penuh kenderaan sejak dahulu lagi dan pelanggan perlu membayar minimum 10 peratus sebelum mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan, demikian menurut penganalisis.

-ADVERTISEMENT-

Penganalisis automotif, Shamsul Yunos, berkata Bank Negara Malaysia (BNM) juga tidak memiliki istilah pembiayaan penuh atau 'full loan' secara rasmi untuk urusan pembelian kereta, sebaliknya penggunaan 'full loan' adalah amalan tertentu yang digunakan pengedar untuk menarik pelanggan.

"Dahulu, sesetengah pengedar menambahkan kos tersembunyi harga kereta untuk menampung bayaran deposit pelanggan dengan memasukkan beberapa item dalam permohonan pinjaman yang dikemukakan kepada bank. Amalan ini lebih sukar dilakukan dengan sistem e-invois yang lebih telus," katanya.

Sebelum ini, tular dakwaan mengatakan kerajaan akan menggunakan sistem e-invois dalam sistem jualan kenderaan bermula Ogos ini sekali gus menghapuskan amalan pinjaman penuh pembelian kereta.

Susulan itu, pembeli perlu membayar sekurang-kurangnya 10 peratus wang pendahuluan.

Difahamkan, amalan pinjaman penuh digunakan sesetengah pengedar dengan meletakkan jumlah termasuk pakej lain atau aksesori tambahan dalam invois supaya jumlah pinjaman sepadan dengan harga kereta sebelum permohonan pinjaman dikemukakan kepada bank.

Sebagai contoh, harga atas jalan termasuk insurans kereta A adalah RM50,000 di mana mengikut peraturan sebenar, jumlah pinjaman yang diluluskan bank adalah RM45,000 (90 peratus), manakala baki RM5,000 adalah deposit 10 peratus yang perlu dibayar pembeli.

Disebabkan pembeli tiada kemampuan membuat pembayaran deposit 10 peratus berkenaan, mereka tiada pilihan untuk bersetuju mendapatkan 'pinjaman penuh' dengan pengedar menambah beberapa aksesori dan pakej untuk melengkapkan harga atas jalan kereta A iaitu RM50,000 atau dalam situasi lain permohonan pinjaman lebih tinggi dari harga kereta di mana pengedar boleh menawarkan 'pulangan tunai' pula kepada pelanggan.

Seorang lagi penganalisis automotif, Hezeri Samsuri berkata, sememangnya menurut undang-undang pinjaman sewa beli kenderaan, had maksimum yang dibenarkan sejak dahulu lagi ialah sehingga 90 peratus, bukannya 100 peratus.

"Apa yang berlaku ialah kurang pengawalan daripada BNM dan pelbagai pihak menyalahguna cara invois dibuat dengan menjadikan harga kenderaan termasuk dengan aksesori atau pakej tambahan, sekali gus meningkatkan harga 'jualan' di atas kertas.

"Kenderaan yang diterima tidak datang pun dengan pakej atau varian yang dihantar semasa permohonan pinjaman," katanya.

Hezeri berkata, sekiranya pelaksanaan e-invois membebankan pembeli muda ketika didakwa tiada lagi 'full loan', maka mereka boleh mencari kenderaan yang lebih mampu dimiliki.

"Disiplin kewangan adalah sesuatu yang perlu dilakukan oleh kerajaan dan pinjaman sewa beli sehingga 90 peratus ini sebenarnya sangat tinggi dalam industri automotif global," katanya

Bagi Shamsul pula, bagi membantu golongan pembeli muda yang bergaji kecil memiliki kereta, beberapa cadangan boleh diberikan termasuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menabung deposit sebelum membeli kereta; dan menawarkan skim pembiayaan kereta dengan bayaran pendahuluan yang lebih rendah dan tempoh bayaran yang lebih panjang.

"Mungkin perlu mewujudkan program bantuan kewangan untuk pembeli kereta muda atau mereka boleh mempelajari kemungkinan penggunaan teknologi kewangan untuk menyediakan akses pembiayaan yang lebih baik kepada pembeli muda.

"Sebenarnya, membeli kereta adalah keputusan kewangan yang besar. Pembeli muda harus menimbang dengan teliti kemampuan kewangan mereka sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta," katanya.

Warga emas maut terlanggar lori parkir dekat bahu jalan di Lahad Datu

 SEORANG lelaki warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya melanggar pembahagi jalan dan belakang lori yang diletakkan di bahu Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu, Sabah sebelum terbabas ke dalam parit, pada Ahad.


Mangsa diusung keluar dari kereta oleh pihak bomba. — Facebook 

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, dalam kejadian pukul 5.04 pagi itu, mangsa seorang warga asing berusia 67 tahun dari arah Tungku cuba memotong sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), namun mangsa terlanggar pembahagi jalan.

"Kenderaan mangsa hilang kawalan lalu melanggar belakang lori yang berada di bahu kiri jalan dan terbabas ke dalam parit. Akibat kemalangan itu, pemandu pacuan empat roda berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan berharap saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, Inspektor Mohammad Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke balai polis bagi membantu siasatan.

Dzulbaharin turut menasihatkan pemilik dan pemandu kenderaan perdagangan agar tidak meletakkan lori di bahu jalan tanpa meletakkan sebarang tanda amaran kerana boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain. 

Lagi kes makan 'jajan' beracun: Remaja 13 tahun di Chukai dilapor pengsan

 CHUKAI: Seorang pelajar dilapor pengsan selepas termakan biskut yang dicampur racun di sebuah kebun pisang, dekat Kampung Air Puteh, dekat sini, kelmarin.

-ADVERTISEMENT-

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, mangsa, Mohd Daynail Haikal Alias, 13, terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.


Mohd Daynail Haikal Alias menerima rawatan di Hospital Kemaman selepas termakan biskut beracun - Foto ihsan keluarga

Bapa mangsa, Alias Saras, 57, mengesahkan kejadian menimpa anak keempat daripada lima beradik itu.

"Isteri saya, Roslina Ahmad, 52, ada menghubungi dan memaklumkan anak pengsan selepas termakan makanan beracun itu.

"Syukur anak saya semakin pulih... saya harap dia cepat sembuh dan dibenarkan keluar daripada hospital," katanya.

Alias berkata, sebelum kejadian, anaknya bersama seorang rakan dalam perjalanan untuk memancing.

"Mungkin ketika melalui sebuah kebun pisang dan kelapa yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah, anak termakan makanan dicampur racun itu.

"Makanan itu mungkin tergantung di situ di atas sebatang kayu bagi tujuan menghalau kera dan monyet di kebun," katanya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 4 petang tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Minggu lalu, media melaporkan, dua beradik, Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi masing-masing berusia tiga dan dua tahun maut selepas termakan jajan dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim, Kedah. 

Makanan ringan digantung di pagar kebun itu dipercayai dicampur racun tikus, juga bertujuan untuk menghalau haiwan liar.

Tahniah Selangor Red Giants banggakan Malaysia — Faisal Halim

 KEMARAAN wakil tunggal Malaysia, Selangor Red Giants (SRG) ke pentas akhir Mid Season Cup 2024 (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024, Riyadh, Arab Saudi pada Ahad turut mendapat perhatian pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim.


Tangkap layar video ucapan Faisal buat SRG yang akan bersaing di pentas akhir Mid Season Cup 2024 MLBB 2024, Riyadh, Arab Saudi pada Ahad.

Menerusi satu video pendek di Instagram, Faisal berkongsikan ucapan tahniah atas sejarah dicipta SRG yang berjaya melangkah ke pusingan akhir selepas menewaskan lawan dari Singapura NIP Flash 3-0 dalam pusingan separuh akhir pada Sabtu.

"Kepada SRG, saya ingin ucapkan selamat berjaya kepada anda semua kerana mara ke final Mid Season Cup 2024 (MSC) 2024.

"Selamat berjaya SRG, banggakan Selangor dan banggakan Malaysia," katanya menerusi klip dikongsikan di laman Instagram.

Dalam aksi final pada Ahad, wakil tunggal Malaysia itu muncul juara apabila menewaskan Team Falcons AP Bren Sport 4-3 sekali gus membolot wang tunai ASD1juta (RM4.7 juta).

Pekerja ladang maut ditetak rakan ketika mabuk


SANDAKAN: Angkara mabuk, seorang pekerja ladang warga asing maut ditetak rakannya sendiri dalam kejadian di rumah kongsi pekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Segaliud, di sini, Rabu lalu.

Mayat lelaki berusia 43 tahun itu ditemukan di belakang rumah kongsi pekerja di ladang berkenaan oleh pekerja, kira-kira jam 6 pagi, Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy, berkata sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, hasil siasatan mendapati mayat terbabit adalah warga asing telah dibunuh dengan kesan tetakan di bahagian belakang kepala dan leher.

"Siasatan awal mendapati pada 10 Julai lalu, mangsa yang juga pekerja ladang sawit bersebelahan datang ke rumah kawannya di tempat kejadian dipercayai untuk minum minuman keras.

"Dipercayai ketika mangsa minum bersama rakan-rakannya, mangsa telah ditetak oleh salah seorang rakannya dengan menggunakan senjata tajam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ramasamy berkata, sejurus kejadian berlaku, suspek yang juga seorang lelaki warga asing melarikan diri dan usaha sedang giat dilaksanakan oleh polis bagi mengesan dan menangkap suspek.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian juga mendapati mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan hanya disedari oleh pekerja ladang pada keesokan paginya.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Mayat Nur Farah hampir reput ketika ditemui - Ketua Polis Selangor

SUNGAI BULOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelu...